Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kini bergelar isteri, Amylea pilih pegawai bomba Singapura



PENYANYI dan komposer, Amylea Azizan selamat melangsungkan penikahan dengan lelaki pilihannya, Mohammad Aqbar Mohamad, 40, yang juga merupakan seorang anggota bomba dari Singapura.

Majlis ijab dan kabul yang dirahsiakan tarikhnya itu diadakan di rumah keluarga pengantin perempuan di Kedah. Pada majlis yang diadakan secara tertutup untuk kelaurga kedua-dua belah pihak itu, Amylea, 37, menerima mas kahwin berupa senaskhah al-Quran dan telekung serta wang hantaran berjumlah RM8,888.

Kedua-dua mempelai tampil memakai dua busana rekaan pereka fesyen terkenal, Teruntum Putih Redzuan Alias. Amylea dan suami bakal diraikan dalam majlis resepsi yang akan diadakan pada 27 Januari tahun hadapan.


Berkongsi tentang perkenalannya dengan suami, penyanyi yang popular dengan lagu Kendati itu berkata, menzahirkan rasa syukur dirinya sudah pun bergelar isteri tanpa disangka kerana perkenalannya dengan Aqbar atau lebih dikenali sebagai Ash begitu singkat.

“Ternyata Allah itu maha berkuasa. Dan dalam fikiran saya yang tidak bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini, tup-tup, saya kini sudah bergelar isteri. Alhamdulillah.

“Perkenalan saya dengan Ash pun melalui media sosial sejak beberapa  bulan lalu. Bila dah selesa berkawan, Ash terus melamar saya.

“Selepas  mengamalkan beberapa doa dan solat istikharah, ada petanda baik yang berlaku. Kemudian dia terus berjumpa dengan keluarga saya. Alhamdulillah, saya tak pernah setenang ini sejak Ash hadir dalam hidup saya,” katanya.




Sementara itu, Ash pula menyifatkan Amylea seorang wanita bijak dan serba serbi tahu mengenai segala perkara, membuatkan dirinya tertarik pada penyanyi itu.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini mereka terpaksa melalui kehidupan jarak jauh kerana tugasannya sebagai pegawai Bomba di Singapura.

“Mujur Amylea faham dengan situasi ini dan kami sedang mencari jalan macam mana nak duduk sekali. Perkara ini berlaku terlalu pantas. Saya jugak tidak sangka perkenalan singkat kami ini diakhiri dengan penyatuan cinta yang indah. Maka, tengoklah macam mana nanti, just go with the flow,” katanya.

Bersempena hari bahagianya itu juga, Amylea turut tampil dengan single terbaharu berjudul Panji Putih Buat Pangeran, didedikasikan khas buat suaminya dan bakal dilancarkan pada penghujung Disember ini. Namun, peminat boleh mula mendengar ‘teaser’ di media sosial penyanyi itu.

Jelasnya, lagu itu dicipta sebagai tanda cinta mereka yang akan kekal hingga akhir hayat dan dapat didengari oleh anak cucu mereka satu hari nanti.

“Lagu ini berkisarkan kedegilan hati saya yang merasakan hidup ini seperti sudah berakhir. Panji Putih itu diibaratkan seperti saya mengalah (bendera putih). Dan Pangeran pula sebagai tanda Ash sebagai orang barisan hadapan yang kerjanya saya hormat dan pandang tinggi.

“Ash meminati perkara-perkara tradisional dan saya gabungkan citarasa saya dan dia dengan menghasilkan lagu ini dalam genre keroncong moden,” ujarnya. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: selamat-disatukan-nabila-razali-kini
ARTIKEL LAIN: akhiri-status-duda-fizi-ali-kembali
ARTIKEL LAIN:
sabri-yunus-angeline-tan-kini-suami

[FOTO: Instagram Amylea]

Post a Comment

0 Comments