Hot Posts

6/recent/ticker-posts

GV10: Jac, Liza Hanim terus ungguli kedudukan teratas, tiada penyingkiran minggu ke-3



TIADA penyingkiran dilakukan pada konsert All Star Gegar Vaganza (ASGV) minggu ketiga sekali gus memberi peluang kepada kesemua peserta melangkah ke minggu seterusnya,

Pengumuman tersebut menyelamatkan Ayai Illusi yang berada di kedudukan paling bawah menerusi persembahan lagu Donde nyanyian asal Andi Bernadee yang hanya memperoleh markah sebanyak 51.75 peratus (%).

Zamani dan Datuk Aishah juga turut berada dalam kelompok tiga terbawah apabila masing-masing mendapat markah yang rendah dengan  53.75% dan 57.25%.

Dalam pada itu, Jaclyn Victor mengungguli carta apabila mendapat markah paling tinggi iaitu 76.00% dengan persembahanya memikatnya menerusi lagu Hindi, Bole Chudiyan.

Diikuti Liza Hanim yang bersaing rapat apabila tampil dengan persembahan cemerlang menerusi lagu irama dangdut, Pantun Janda. Vokal dan persembahan yang ditampilkan Liza mendapat pujian ramai dan menjadi bualan di media sosial. 

Kesemua peserta diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.

Konsert minggu keempat akan membawakan tema 'Berdua Lebih Baik' iaitu persembahan duet bersama bintang jemputan. Menariknya barisan artis jemputan yang bakal bergandingan dengan para peserta pada minggu depan  terdiri daripada bintang nama besar, sekali gus mengundang teruja penonton.

Antaranya ialah Datuk M.Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Ziana Zain, Liza Aziz, Misha Omar dan lain-lain.

ASGV yang dihoskan oleh Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein itu berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam. - 7KLIK


Kedudukan dan markah peserta pada minggu ketiga

1. Jaclyn Victor - Bole Chudiyan (76.00%)
2. Liza Hanim - Pantun Janda (74.75%)
3. Naqiu - Santai (74.50%)
4. Noryn Aziz - Kemelut Di Muara Kasih (66.00%)
5. Aliff Aziz - Kasih (66.00%)
6. Nikki Palikat - Canggung (65.75%)
7. Hady Mirza - Lemak Manis (65.00%)
8. Siti Nordiana - Temberang (62.75%)
9. Tomok - Cinta Tak Keruan (61.00%)
10. Ezad Lazim - Zapin Rindu-Rinduan (58.00%)
11. Azharina - Sayang Disayang (58.00%)
12. Datuk Aishah - Pematah Hati (57.25%)
13. Zamani - Yang Sedang Sedang Saja (51.75%)
14. Ayai Ilusi - Donde (51.75%)

Post a Comment

0 Comments