Goh Liu Ying nokhtah perjalanan kerjaya badminton di kejohanan Petronas Malaysia Open 2023


PEMAIN beregu campuran negara, Goh Liu Ying meletak titik nokhtah pada saingan terakhirnya di kejohanan BWF World Tour Super 1000, Petronas Malaysia Open pada Selasa.

Liu Ying dan gandingannya, Chan Peng Soon akur dengan kekalahan kepada beregu Indonesia, Rehal Naufal-Lisa Ayu Kusumawati, 21-18, 15-21, 7-21 pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di gelanggang keramat, Arena Axiata, Bukit Jalil.

Biarpun tewas, Liu Ying atau cukup dikenali dengan gelaran Mummy dalam kalangan peminatnya menyifatkan perlawanan terakhir itu sebagai penutup indah dalam kerjayanya sebagai seorang pemain badminton negara.

Ini kerana kejohanan sama juga menjadi titik mula perjalanannya sebagai pemain beregu campuran bersama Peng Soon sejak 15 tahun lalu.

Apatah lagi Axiata Arena juga menjadi saksi bagaimana pemain kelahiran Melaka itu memula dan mengakhiri langkahnya bersama gandingan serasinya itu.

Perlawanan akhir itu juga menjadi begitu emosi apabila ribuan peminat Liu Ying hadir memberikan sokongan terakhir kepada pemain itu.

Jeritan dan laungan nama Goh Liu Ying bergema di seluruh pelosok Axiata Arena sebagai tanda apresiasi mereka terhadap jasa dan sumbangan satu-satunya pemain badminton wanita negara yang memiliki pingat di sukan Olimpik itu. 

Liu Ying sebelum ini sering kelihatan garang dan serius di gelanggang, tampil berbeza hari ini apabila cukup tenang dan sentiasa melemparkan senyum baik sebelum mahupun selepas perlawanan berlangsung.

Lebih manis perlawanan akhir itu juga turut menyaksikan kehadiran bapa dan keluarganya yang setia memberikan sokongan.

Pemain itu yang ditemui selepas perlawanan berakhir berkata, pengakhiran itu cukup indah dalam kerjayanya sebagai pemain badminton negara biarpun tidak dapat menghadirkan kemenangan dalam perlawanan tersebut.

Paling penting katanya, bapanya, Goh Chak Wee, 66,tidak lagi perlu risau tentang kecederaannya selepas ini kerana sudah tidak lagi beraksi di gelanggang dan rasmi menamatkan statusnya sebagai pemain badminton.

Sepanjang 13 tahun berpasangan, Liu Ying dan Peng Soon meraih pelbagai pencapaian dan gelaran. Paling gemilang, semestinya kejayaan mereka memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

Pasangan ini juga turut meraih keseluruhan 12 gelaran sepanjang gandingan bersama sejak 2008 termasuklah muncul juara Asia 2010 dan Terbuka Jepun 2012.

Liu Ying dan Peng Soon juga turut muncul sebagai naib juara dalam beberapa kejohanan utama termasuklah dua kali di Terbuka Malaysia 2013 dan 2016, Seluruh England 2017 dan Terbuka Indonesia 2018.

Tidak hanya itu, mereka juga meraih gangsa pada temasya sukan Komanwel 2018, pingat Sukan SEA dan lain-lain.

Terdahulu pada Disember 2021, Liu Ying menamatkan gandingannya bersama Peng Soon apabila kedua-duanya mempunyai perancangan lain dalam kerjaya masing-masing.

Liu Ying mencuba gandingan baharu bersama Ong Yew Sin (pemain beregu lelaki negara) dan kemudiannya bersama Soong Jo Ven (pemain perseorangan  negara). 

Sementara Peng Soon yang kembali menyertai BAM pula bergandingan bersama pemain muda, Valeree Siow dan Cheah Yee See.

Pada Sabtu ini, satu acara sempena persaraan Liu Ying anjuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Goh Liu Ying Farewell Ceremony akan diadakan di Axiata Arena.

Acara tersebut dijangka berlangsung pada jam 10 pagi, sebelum acara Separuh Akhir Petronas Malaysia Open 2023 bermula.

Bagi yang mereka yang memiliki tiket perlawanan separuh akhir, anda menjadi antara yang bertuah menyaksikan detik istimewa itu.

Selamat bersara Mummy Goh Liu Ying! - 7KLIK

ARTIKEL BERKAITAN: from-swatting-shuttlecocks-to-silver
ARTIKEL BERKAITAN: veteran-liu-ying-faces-tough-task-in
ARTIKEL BERKAITAN: chan-to-goh-lets-have-really-good-last









Post a Comment

Previous Post Next Post