DRAMA TERBARU VIU ORIGINAL, HILANG KETENGAHKAN ELEMEN SERAM DAN MENDEBARKAN



VIU perkhidmatan penstriman video OTT pan serantau terkemuka diterajui oleh PCCW melancarkan drama Viu Original kelima tahun ini, Hilang.

Siri yang dibintangi oleh Khir Rahman, Jasmine Suraya, Siti Saleha dan Aqasha itu boleh ditonton di platform berkenaan mulai 17 November lalu, dengan dua episod baharu pada setiap Khamis minggu seterusnya.

Pengurus Viu Malaysia, Kingsley Warner, berkata;

“Viu Malaysia berjaya menghasilkan karya hebat yang memenangi pelbagai anugerah seperti Ganjil, Seribu Nina, dan She Was Pretty, yang kesemuanya diiktiraf dalam Anugerah Kreatif Akademi Asia baru-baru ini.

"Dengan karya thriller Viu Original seperti Black dan The Bridge yang sebelum ini pernah memenangi anugerah dan menawan hati bukan sahaja peminat di Malaysia, kami berharap dapat meningkatkan lagi kualiti drama misteri di Malaysia dengan pelancaran drama terbaru kami, Hilang.

"Penonton Viu pastinya akan berasa seronok dengan drama ini, lebih-lebih lagi mereka yang meminati kisah pembunuhan misteri, ditambah pula dengan elemen mistik,” ujarnya.



Hilang diarahkan oleh pengarah tempatan Ghaz Abu Bakar bersama Sein Qudsi setelah menjadi pengarah bersama untuk Black Season 2 (2021). Ghaz sebelum ini mengarah filem blockbuster Polis Evo, selain Bulan Dan Pria Terhebat (2020), Cicakman 3 (2015) dan Hantu Kapcai (2013).

Sein pula bermula sebagai pelakon pada awal tahun 2000-an, sebelum mengarah buat pertama kali untuk filem aksi mendebarkan, Langgar. Diikuti filem Dendam Azalea (2019), filem Malaysia pertama yang ditayangkan secara eksklusif di sebuah platform penstriman sebelum ditayangkan di pawagam.

Drama penyiasatan yang mendebarkan ini mempunyai 10 episod yang menceritakan tentang Inspektor Munir, penduduk tempatan dalam sebuah bandar fiksyen, Seri Daik yang kembali ke kampung halamannya selepas 17 tahun untuk menyiasat sebuah kes pembunuhan seorang remaja perempuan.

Munir bertemu Yusof, seorang guru agama yang dituduh Munir sebagai punca kematian adiknya semasa satu upacara rawatan yang gagal. Yusof percaya yang pelakunya bukanlah dari dunia ini. Apabila seorang lagi remaja hilang atas sebab misteri, Munir dan Yusof terpaksa bekerjasama untuk merungkai kejahatan yang membelenggu Seri Daik.

Watak Inspektor Munir dipegang oleh Khir Rahman, yang merupakan wajah yang cukup dikenali di kalangan penonton Viu, setelah membintangi beberapa siri Viu Original seperti Keluarga Baha Don Musim 1-3, Black dan AI.5YA. 

Khir merupakan pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Kreatif Akademi Asia 2021, Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) di Anugerah Skrin 2017, dan juga Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2013.

Inspektor Munir bekerjasama dengan pegawai Chen Ai Yun (lebih dikenali sebagai Cay), yang merupakan individu yang disukai dan dipercayai oleh pihak berkuasa di Seri Daik. Watak Cay dipegang oleh Jasmine Suraya, yang cukup dikenali dalam pelbagai watak yang pernah dipegang beliau dalam filem seperti Daulat (2020) dan Paskal (2018), serta siri Bidadari Salju pada tahun 2020. 

Aqasha pula memegang watak Yusof, berikutan pelbagai watak yang pernah dipegang beliau dalam Mr Millennium (2021), Beri Sedikit Waktu (2020) dan Hilang Yang Kembali (2019). Baru-baru ini, beliau juga tampil dalam filem blockbuster hit, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa (2022).

Melengkapkan lagi watak utama untuk Hilang ialah Siti Saleha, sebagai Wangi, anak angkat kepada ayah Yusof, yang membesar bersama-sama Yusof. Siti Saleha pernah membintangi adaptasi K-drama Viu yang hit iaitu Black, dimana beliau memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Kreatif Akademi Asia 2021. Karya lain yang pernah dibintangi beliau termasuklah Mandatori (2017) dan 7 Hari Mencintaiku (2016) yang kemudiannya menjadi sekuel. 

Penonton Viu boleh menonton siri ini di aplikasi Viu, yang boleh dimuat turun secara percuma melalui App Store, Google Play, Huawei App gallery dan TV pintar terpilih, serta laman web www.viu.com


[KREDIT: VIU Malaysia]






Post a Comment

Previous Post Next Post