Hot Posts

6/recent/ticker-posts

KOPETRO rasmi cawangan pertama ArRahnuKita



P
ENGERUSI Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Haji Zazali Haron, hari ini telah merasmikan cawangan pertama ArRahnukita milik Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO).

Mula beroperasi sejak 8 Ogos 2022, ArRahnukita adalah premis perniagaan pajak gadai emas patuh syariah milik KOPETRO, terletak di Medan Niaga Tasik Damai, sebuah kawasan perniagaan yang menjadi tumpuan ramai di Sungai Besi.

Turut sama hadir sebagai tanda sokongan terhadap perniagaan baharu yang diusahakan KOPETRO adalah Jaafar Ahmad, Pengarah, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Persekutuan dan Datuk Abdul Razak Hussain, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Wilayah Persekutuan, yang hadir bersama pegawai-pegawai mereka.

Dianggarkan lebih 200 orang pengunjung termasuk Anggota-anggota Lembaga Koperasi, perwakilan-perwakilan dan anggota-anggota KOPETRO telah hadir memeriahkan majlis tersebut selain peniaga-peniaga dan orang ramai sekitar kawasan Medan Niaga Tasik Damai serta jemputan-jemputan khas, seperti wakil-wakil koperasi, rakan-rakan niaga dan wakil-wakil Ar-Rahnu yang berada di sekitar kawasan Lembah Klang.

Pengerusi KOPETRO, Roslan Abdul Rahim telah menzahirkan rasa kesyukuran atas majlis perasmian yang berlangsung dan menganggap ianya sebagai hadiah yang paling bermakna bagi warga KOPETRO sempena ulang tahun penubuhan KOPETRO ke-42 yang disambut pada tarikh yang sama.

“Alhamdulillah, hari ini amat istimewa buat warga KOPETRO kerana setelah 42 tahun KOPETRO ditubuhkan, hari ini kami berjaya mengorak selangkah lagi ke hadapan dengan terasminya perniagaan ArRahnukita,” ujarnya.


Sebuah upacara sambutan ulang tahun penubuhan KOPETRO ke-42 telah diadakan dengan meriah dan penuh kesyukuran dengan menyaksikan Anggota-anggota Lembaga Koperasi, perwakilan-perwakilan, anggota-anggota Jawatankuasa Audit Dalaman dan barisan pengurusan KOPETRO menadah tangan mengaminkan doa yang dibaca sebelum bersama-sama memotong kek ulang tahun yang disediakan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir bin Ahmad, kejayaan perniagaan ArRahnukita ini adalah bukti komitmen KOPETRO dalam memberikan pulangan yang menguntungkan kepada anggota-anggota dengan melipat-gandakan pendapatan syarikat seterusnya menyumbangkan kepada ekonomi negara.

Ahmad Shakir memberitahu bahawa selepas cawangan di Sungai Besi, ArRahnukita bakal membuka tiga buah lagi cawangan pada tahun hadapan dengan mensasarkan kawasan perniagaan di Ampang, Bangi dan Shah Alam sebagai kawasan pilihan.

Bersempena dengan perasmian ArRahnukita, sebuah karnival turut diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan dan meraikan tetamu-tetamu dan pelanggan-pelanggan yang hadir.

Antara aktiviti yang menarik perhatian pengunjung-pengunjung adalah ujian dan cucian emas secara percuma dan jualan promosi produk-produk keluaran KOPETRO seperti makanan sedia dimakan jenama LengQuas, minyak pelincir jenama PETRONAS dan pakej percutian dan pelancongan yang ditawarkan KOPETRO Travel.

Lebih meriah lagi apabila 100 pengunjung pertama yang hadir telah menerima beg saguhati dan 20 penggadai pada hari tersebut turut dihadiahkan dengan barangan eksklusif ArRahnukita sebagai tanda penghargaan atas kepercayaan mereka menggunakan perkhidmatan ArRahnukita.

Istimewa buat Anggota KOPETRO yang ingin mendapatkan pembiayaan kewangan, ArRahnukita menawarkan had pembiayaan harian sehingga 80% atau sehingga RM50,000 (mana-mana yang lebih rendah) dan pembiayaan terkumpul sehingga RM150,000.

Perkhidmatan ArRahnukita terbuka kepada orang ramai tanpa mengira bangsa mahupun kewarganegaraan, malah atas sambutan yang memberangsangkan sejak mula beroperasi, ArRahnukita turut menawarkan pembiayaan terkumpul sehingga RM350,000, khas buat peniaga-peniaga, broker emas mahupun kedai emas yang memerlukan wang tunai secara segera dengan mengguna pakai barangan emas sebagai cagaran ke atas pembiayaan yang diberikan.

Tuan Haji Shamsudin Haron, selaku Ketua Bahagian Keanggotaan dan Perkhidmatan yang bertanggungjawab di dalam menerajui perniagaan ArRahnukita memberitahu bahawa pihaknya berinsipirasi untuk menjadikan ArRahnukita sebuah perkhidmatan pajak gadai emas yang menjadi contoh kepada ArRahnu lain dengan menawarkan perkhidmatan yang mesra pelanggan dan sebuah jenama yang dipercayai.

Untuk mengetahui kadar emas harian dan promosi terkini daripada ArRahnukita, ikuti akaun media sosial @ArRahnukita di Facebook dan Instagram atau hubungi talian 03-90559839 untuk sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan ArRahnukita. - 7KLIK


[KREDIT: KOPETRO]

Post a Comment

0 Comments