Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Filem tempatan Stone Turtle bertanding di Festival Filem Antarabangsa Locarno ke-75



GREENLIGHT Pictures dengan sukacitanya mengumumkan bahawa filem terbaharu Woo Ming Jin Stone Turtle, telah dipilih ke pertandingan utama Concorso Internationale di Festival Filem Antarabangsa Locarno.

Buat kali pertama dalam sejarah, sebuah filem berbahasa Melayu akan bertanding di festival tersebut yang dianggap antara lima festival filem paling berprestij di dunia.

Selain bertanding untuk anugerah utama, Golden Leopard, Woo Ming Jin turut bertanding untuk anugerah Pengarah Terbaik, manakala kedua-dua pelakon utamanya Bront Palarae dan bintang Indonesia Asmara Abigail akan bertanding untuk anugerah Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik. Filem ini juga dibintangi  Amerul Affendi, Maisyarah Mazlan, Samara Kenzo dan Alison Khor.

Stone Turtle merupakan thriller dramatik yang menggabungkan aksi langsung dan animasi; menceritakan kisah kembara masa seorang wanita dan lelaki di pantai timur yang terjerat dalam kencah disepsi yang berbahaya.

Diterbitkan oleh Greenlight Pictures, penggambaran Stone Turtle bermula di Terengganu pada Januari 2022 dan selesai pada bulan yang sama. Edmund Yeo, pembikin filem tersohor yang kerap bekerja di Jepun dan Malaysia berperanan sebagai penerbit dan editor.

Penataan seni dikendalikan oleh pembikin filem Flower in the Pocket dan Lelaki Harapan Dunia, Liew Seng Tat yang banyak memenangi anugerah.

Woo Ming Jin, Edmund Yeo, Bront Palarae dan Asmara Abigail dijangka menghadiri festival tersebut yang akan bermula pada 3 Ogos dan berakhir pada 13 Ogos.


Siapa Woo Ming Jin?

Seorang  pengarah dari gerakan sinema ‘Malaysian New Wave’, filem-filem arahan Woo Ming Jin banyak mendapat pujian di litar filem antarabangsa. Beliau merupakan pengarah pertama dalam sejarah  Malaysia yang berjaya mewakili negara ke tiga festival filem paling berprestij: Cannes, Berlin dan Venice.

Filem pertama Woo, Monday Morning Glory (2005) telah ditayangkan di Festival Filem Berlin. Elephant and The Sea (2007), filem keduanya memenangi anugerah di Torino dan Sepanyol. Filem ketiganya Woman on Fire Looks for Water (2009) merupakan filem cereka kedua dari  Malaysia yang dipilih untuk kategori Orrizonti di Festival Filem Venice, manakala Tiger Factory (2010) merupakan filem Malaysia yang ketiga dipilih secara rasmi untuk Festival Filem Cannes.

"Saya amat gembira kerana usaha gigih seluruh pasukan kami telah menghasilkan sebuah filem yang membanggakan, dan festival yang berprestij, penuh bersejarah seperti Locarno telah memilih Stone Turtle untuk pertandingan utamanya.

"Ini  merupakan tayangan perdana dunia kami, jadi saat ini juga menandakan permulaan perjalanan filem ini. Kami tidak sabar untuk menayangkan filem kami bersama pembikin-pembikin filem hebat di Locarno.

"Stone Turtle bercerita tentang keterangkuman dan keupayaan untuk mengambil risiko. Ini secara langsung mencerminkan semangat di sebalik pembikinan filem ini. Filem kami mengetengahkan bakat-bakat hebat dari negara yang berbeza. Kami juga membikin filem ini untuk memelihara cerita – cerita rakyat.

"Saya menantikan hari apabila Stone Turtle ditayangkan di lokasi tersohor Piazza Grande di Locarno, sebuah tempat tayangan terbuka yang mempunyai kapasiti 8000 penonton," katanya. - 7KLIK



[KREDIT: Greenlight Pictures]

Post a Comment

0 Comments