31 Jan 2021

KEMBALI BERSINAR DENGAN PERMATA, AYU DAMIT TIDAK AKAN HILANG LAGI



MENYERTAI program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) pada 2020, merupakan platform kepada Norayu Damit, 32, untuk kembali memeriahkan dunia hiburan tanah air.

Sebelum menyertai GV7, nama Norayu atau lebih dikenali sebagai Ayu yang menduduki tempat ketiga program terbitan Astro itu, seakan tenggelam timbul.

Ayu dilihat tidak konsisten dalam bidang seni suara, biarpun pernah dinobatkan sebagai juara untuk program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua, pada 2007.

Enggan mengulangi kesilapan lalu, Ayu mahu menjadikan penampilannya dalam GV7 sebagai permulaan untuknya kembali aktif sebagai penyanyi seiring dengan rakan-rakan lain.

Sebagai permulaan, Ayu bakal tampil dengan single berjudul Permata yang dicipta dan ditulis oleh Mohd. Atlas bersama Zimi Sofazr. Lagu bergenre balada itu dirakam di Pro Studio, Cheras, Selangor.

Menurut Ayu, lagu yang diterbitkan oleh syarikat Saudagar Seni itu dirakam sewaktu beliau masih lagi menyertai GV7 sebelum program itu berakhir pada 13 Disember untuk final.

“Masa Ayu sibuk dengan GV7 lagi, Datuk Gulzar (Mohd Atlas) ajak jumpa sebab sebelum ini Ayu pernah bekerjasama dengan beliau. Bila berjumpa, Datuk hasilkan melodi dan lirik dalam tempoh satu malam, ciptaan Mohd. Atlas dengan Zimi. Pada malam itu juga kami terus sesuaikan melodi dan lirik sehingga ke pagi.

“Ayu tertarik bila tengok liriknya yang banyak maksud tersirat. Lagu ini khas untuk pasangan suami isteri. Kalau untuk Ayu, suami (Syed Fauzi Syed Baharuddin) yang jadi tulang belakang kepada perjuangan Dalam lirik lagu itu semua ada maksudnya,” kata Ayu yang menjalani rakaman dari pukul 5 petang sampai 8 malam saja.


Ayu yang popular dengan lagu Hanya Di Mercu (2008) dan kali terakhir tampil dengan single pada 2016, Dari Hati, mengakui sedikit bimbang sewaktu berada di studio rakaman.


“Tak kekok sangat, cuma Ayu bimbang tentang pengawalan suara dekat mikrofon, itu saja. Yang lain alhamdulillah, Ayu dapat buat. Sebenarnya untung juga, rakaman dibuat sewaktu Ayu masih menyertai GV7 kerana ketika itu suara sudah biasa digunakan untuk nada tinggi atau rendah.

“Kalau ikutkan, lepas rakaman lagu dalam studio nak buat video muzik, dah siap rancang semua tapi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tak boleh nak shoot. Jadi akan keluar video lirik dulu,” jelasnya.


Tambah Ayu, walaupun tak berpeluang menjalani penggambaran video muzik lagu Permata, namun video lirik tetap akan dikeluarkan dulu sebelum menunggu waktu yang sesuai untuk penggambaran.

Kata Ayu, beliau sudah merancang jalan cerita untuk video muzik tersebut, di mana dua orang model akan ditampilkan untuk berlakon sebagai pasangan suami isteri.

“Kalau Ayu yang berlakon video muzik, nanti kaku jadinya. Biarlah Ayu nyanyi saja dan bagi orang lain yang berlakon. Kita dah rancang jalan cerita tapi buat masa sekarang tak boleh buat penggambaran.

“Itu yang kena keluarkan video lirik dulu. Pada 29 Januari ini jam 9 malam, video lirik Permata dapat ditonton di YouTube Saudagar Seni Media. Sebelum tarikh sebenar, kita akan bagi teaser dulu,” katanya tentang lagu yang sesuai untuk pasangan suami isteri itu.


Menjelaskan tentang penampilan Permata, Ayu berharap, single ini dapat mengingatkan orang ramai tentang kehadirannya dalam bidang seni suara.


Katanya, salah satu sebab kenapa beliau menyertai GV7 adalah untuk kembali aktif dalam bidang seni suara tanpa menyerah kalah.

“Bila dah masuk GV7, itu adalah pentas untuk Ayu keluar balik dalam industri bila orang dah lama tak tengok Ayu. Bila lepas GV dan keluarkan produk, itu satu promosi yang bagus. Sekurang-kurangnya, peminat tidak akan melupakan kita sebaik saja program itu tamat.

“Ayu harap perkara ini berkekalan dan Ayu akan teruskan lagi perjuangan dalam bidang seni. Kalau dulu, Ayu berfikiran, kita buat lagu tapi tak mainpun kat radio, dan cepat putus asa.

“Sekarang ini, follower pun dah ada, Ayu rasa peminat pun dah nampak balik kehadiran Ayu dan kena teruskan perjuanganlah, tak boleh nak give up seperti dulu,” katanya bersungguh.


Ibu kepada Syed Nashrul Haikal, 12, Sharifah Alya Aryana, 9 dan Syed Aqif Najmi, 6, itu berharap penampilannya menerusi single Permata dapat mengembalikan keceriaan perjalanan kerjaya seninya.

Sementara itu, selain menyanyi semua orang tahu Ayu adalah seorang usahawan pertanian yang berjaya. Ayu dan suami sudah melibatkan diri dalam pertanian sejak enam tahun lalu.

“Masa PKP ni, alhamdulillah dapat jadi pembekal. Baru habis cili dan sekarang sedang set up tanaman timun. Di Pangsoon, Hulu Langat, kami usahakan cili, kacang panjang, timun, terung dan rock melan (tembikai wangi).

“Disebabkan ada pengalaman dalam pertanian, Ayu pun cuba menyertai program Juara Agrotek, terbitan RTM. Mula-mula tengok lampiran penyertaan, macam menarik dan Ayu suruh suami masuk tapi dia tak mahu. Dia pula yang suruh Ayu.

"Nak sertai program itu kena buat video, tunjuk yang kita ada kebun. Mungkin produksi tertarik dengan persembahan video Ayu, akhirnya terpilih sertai program 13 episod itu,” ceritanya yang sempat menjalani penggambaran sebanyak tiga episod saja sebelum PKP.


Kata Ayu, program Juara Agrotek itu lebih susah berbanding beliau menyertai pertandingan nyanyian. Malah dalam kalangan peserta yang terpilih, Ayu adalah satu-satunya artis.

“Pesertanya, Ayu seorang saja artis, yang lain orang biasa tapi tapi semuanya berkerjaya, bukan calang-calang orang. Masa episod pertama, macam kelam kabut sikit la. Bila dah masuk episod seterusnya, Ayu dapat uruskan dengan baik. Rasanya program ini lagi susah daripada pertandingan nyanyian.

“Tak rugi Ayu sertai Juara Agrotek sebab banyak ilmu pertanian yang dapat dipelajari. Contohnya, kita selalu buang daun nanas tapi sebenarnya daun itu amat berharga sebab boleh buat benang. Harga serat benang tu, 100 gram bersamaan dengan RM100,” ceritanya yang turut mengeluarkan produk cili jeruk hasil daripada ladang.


Wanita kecil molek ini juga turut berkongsi dengan seorang rakan mengusahakan Restoran Ayu Damit X Tok Mak Citarasa Antarabangsa di Bukit Antarabangsa, sejak 12 Julai 2020.


PERMATA
by Ayu Damit

Aku merayu pada mu
Cintai aku sepenuh hati
Pada mu Tuhan aku bersujud
Berkatilah cinta kami

Ku rindu kamu
Ku Cinta kamu
Tunjukkan aku
Pimpinlah aku hingga ke jannah
Di dunia dan di sana

Permata indah yang engkau berikan
Akan ku pastikan selamanya
Amanah cinta ini
Untuk kita berdua

Permata indah yang engkau berikan
Akan ku gilap sepanjang waktu
Kerana itu lah diri hatiku
Pasrah menerima diriku seadanya
Seadanya..
Seadanya..
Seadanya..
Pasrah menerima diriku seadanya

Lagu: Mohd Atlas/Zimie
Lirik: Mohd Atlas

Tiada ulasan:

Catat Ulasan