28 Jul 2019

MASAKAN KESIHATAN DALAM CITARASA MEDIKA


SANTAI tapi profesional. Sambil berkongsi menu lazat diselitkan juga dengan tip kesihatan bersama-sama doktor pakar yang diundang sebagai tetamu. 

Menampilkan hos Chef Fikree, RTM menyiarkan program terbaharu berbentuk majalah masakan kesihatan bertajuk Citarasa Medika mulai 10 Julai ini, setiap Rabu dan Khamis, pukul 12.30 tengah hari di TV1.

Menerusi 13 episod siarannya, Chef Fikree, seorang pakar pemakanan akan mengundang selebriti untuk bersama-sama memasak beberapa jenis menu hidangan sambil berbincang tentang kebaikan nutrisi masakan itu kepada kesihatan.

Dalam episod pengenalannya resipi yang pertama dikongsikan adalah Pita Ayam. Penonton diberikan tip untuk memilih bahagian dada ayam kerana ia kurang berlemak. Selain itu chef menggunakan minyak zaitun yang baik untuk kesihatan. 

Penyediaan hidangan kedua, iaitu 'Salmon Bakar' yang diperap dengan bawang putih. Dr. Natasha, seorang pakar perunding Ginekologi menjelaskan bahawa bawang putih sangat baik untuk kesuburan lelaki dan wanita. Selebriti jemputan pelakon Faralyna menyediakan jus avocado yang sangat baik untuk kesihatan terutama untuk awet muda.

Ikuti perkongsian menu yang sangat sesuai untuk pesakit strok (angin ahmar). Tetamu adalah Pegawai Perunding Pemakanan Hospital Pusrawi, Afif Azizi dan Tuan Haji Mansor Omar, Pegawai Komunikasi FAMA. 

Menurut mereka, bahagian dada ayam paling baik dibuang kulitnya dan dibakar. Resepi yang disediakan ialah Telur, Ayam Cincang dan Salat Bungkus, dan Ayam Bakar. Selain itu, disediakan jus buah-buahan tropika berasaskan nanas, tembikai dan yogurt. 




Episod berikutnya memaparkan jenis makanan yang sangat sesuai untuk menjaga kesihatan tulang. Tetamu adalah Pakar Ortopedik Hospital Pusrawi, Dr. Zanariah Othman dan pelakon Arja Lee. 

Menurut Dr. Zanariah, putih telur banyak khasiatnya kerana ia mengandungi kalsium yang tinggi untuk meningkatkan kekuatan tulang. Episod ini menyediakan hidangan Ayam Keju Nasi Berempah dan Ayam Keju Nasi Herba Casserole. 

Seterusnya dua orang doktor dari Pusrawi berbincang tentang makanan yang sesuai dimakan oleh pesakit ghout. Dr. Norhashimah Mokhtar, menyatakan bahawa penyakit ghout adalah disebabkan terdapat kandungan asid urik yang tinggi dalam darah. Hal ini disebabkan pesakit mengambil makanan laut berlebihan. 

Chef Fikree menyediakan hidangan yang baik untuk pesakit ghout iaitu 'Sup Labu' dimakan dengan Roti Perancis dan lontong. Dr. Siti Norsafiyah pula berkongsi mudarat penggunaan kekacang dalam 'lontong' bagi mengelakkan bertambahnya asid urik dalam darah. 

Seterusnya Doktor Norizan Mohamad berbincang tentang penyakit buah pinggang cepat rosak yang kebiasaannya berpunca daripada pengambilan makanan yang mengandungi banyak protein. Chef menyediakan 'Makaroni Goreng' dan 'Popia Vietnam'. Pada akhir episod, chef dan tetamu undangan telah menunjukkan cara-cara membuat 'Agar-agar Cendol'.

Episod berikutnya demonstrasi masakan tiga jenis hidangan kesihatan iaitu Bubur Ikan Haruan baik dimakan oleh wanita yang baru bersalin. Menurut Dr.Fayadah, seorang doktor perubatan yang diundang, ikan haruan mengandungi banyak bahan kolagen yang sangat baik untuk merawat sebarang luka dalaman. Menu kedua Ikan Haruan Bakar Bersama Kerabu Kacang Botol. 

Pada akhir episod ini, Lisdawati diundang untuk bersama-sama dengan chef menyediakan jus buah-buahan.


Menyusul tiga jenis hidangan kesihatan sesuai untuk orang-orang yang ada penyakit alahan, terutamanya kulit. Pertama, beliau menyediakan Kerabu Coklat yang mana Dr.Fazlina, Pakar Perunding Kanak-kanak mengatakan coklat baik untuk kesihatan otak dan mengurangkan alahan. 

Menu kedua Daging Goreng Bercoklat. Pada akhir episod ini, seorang blogger, iaitu Ben Ashaari diundang untuk bersama-sama dengan chef menyediakan Yogurt Buah-buahan.

Ada juga episod berkongsi tentang menu sesuai ibu mengandung. Chef ditemani oleh Puan Nur Syafeqah, jururawat perbidanan memasak Omellet Tempe dan Poached Egg dan Daging Kacang Peas. Puan Nur Syafeqah menyatakan bahawa makanan yang berasaskan telur adalah baik untuk perkembangan otak anak. Selain itu, pelakon Ayu Raudhah berkongsi resipi Susu Labu Bawang Putih. 

Chef Fikree turut berada di dapur di Institut Jantung Negara (IJN). Pada sesi ini beliau membuat demonstrasi masakan yang sesuai untuk pesakit-pesakit jantung. Tetamu undangan Dato' Dr.Azmee Mohd Ghazi menyediakan Ayam Cajun Dan Quinoa Pedas. Sambil memasak, Dr.Azmee menerangkan tanda-tanda seseorang yang kena serangan jantung. 

Selain itu, Puan Geetaanggili Subramaniam, Pakar Pemakanan juga menjelaskan tentang kebaikan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk seorang pesakit jantung. Pada akhir episod ini mengundang pelakon, Salina Saibi untuk bersama-sama menyediakan Smoothie Bit It. 

Masih di IJN, saksikan penyediaan makanan yang sesuai untuk kanak-kanak bersama-sama tetamu Puan Norisah Mohd Tajuddin, Ketua Chef di IJN. Puan Norisah menjelaskan lobak merak baik untuk kanak-kanak kerana ia mengandungi bahan beta karotin untuk tumbesaran dan menghalang daripada sel-sel kanser. 

Selain itu, Puan Vatana Sunder, Pakar Permakanan IJN menunjukkan cara-cara menyediakan Nasi Goreng Pelangi. Pada akhir episod ini Pakar Jantung Kanak-kanak Dr. Marhisham Che Mood menyediakan jus buah oren. 

Episod berikutnya demonstrasi tiga jenis menu makanan untuk mengawal dan mengurangkan berat badan, dan diakhiri episod berkongsi menu dapat mengawal tekanan darah tinggi, pesakit kencing manis atau diabetes.


 CITARASA MEDIKA
Bahasa: Melayu
Episod: 13       
Hari: Setiap Rabu
Masa: 12.30 pagi 
Saluran: TV1 
Terbitan: RTM     
Pengacara: Chef Fikree

[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan