13 Jun 2018

DOKUMENTARI MUZIK TERIMA KASIH, FAIZAL TAHIR


TERDAPAT pelbagai cara untuk merasai kasih sayang. Sentuhan, percakapan, penglihatan, pendengaran, dan rasa. 

Kelima-lima pancaindera menyalurkan satu rasa, sayang. Kebiasaanya, kita sentiasa melafazkan cinta dan terima kasih. Namun mereka yang kurang upaya juga punya hati dan perasaan. Mereka juga mahu bergelak-tawa dan senda gurau, merasai cinta dan kecewa. Hanya kaedah yang berbeza, matlamatnya tetap sama iaitu melahirkan kasih sayang dan menzahirkan terima kasih. 

Tahun ini, Rangkaian Televisyen Media Prima telah berkolaborasi dengan Faizal Tahir untuk menghasilkan sebuah dokumentari muzik menerusi lagu ciptaan beliau (Starfeather) yang turut diangkat sebagai lagu tema kempen Terima Kasih tahun ini.




Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Johan Ishak, 

“Saban tahun, setiap organisasi pastinya menerbitkan iklan raya yang unik dan menarik untuk ditonton di samping mesej-mesej kemasyarakatan yang disampaikan. Rangkaian Televisyen Media Prima telah berkolaborasi dengan Faizal Tahir melalui pendekatan yang berbeza iaitu dokumentari muzik namun masih mempunyai matlamat yang sama iaitu mendidik orang ramai untuk berbuat baik dan berterima kasih dalam apa jua keadaan.” 


Dokumentari muzik ini dihasilkan bersama Faizal Tahir yang memaparkan pengalaman beliau mendekati golongan kanak-kanak istimewa dari Tadika Istika Jaya untuk menyampaikan mesej “terima kasih’ kepada khalayak ramai.

Menurut penyanyi dan aktivis kemanusiaan pula, Faizal Tahir berkata, 

“Pengalaman ini telah membuka mata dan hati saya bahawa kita perlu sentiasa bersyukur. Kita selalu berfikir yang usaha seperti ini akan memberi inspirasi dan motivasi kepada mereka tapi hakikatnya, kita akan sedar bahawa merekalah sumber inspirasi dan motivasi yang sebenar. Saya berterima kasih kepada anak-anak ini yang telah berkongsi momen istimewa bersama kami. ”



Seiring dengan kolaborasi kedua kami dengan Pavilion Kuala Lumpur, sesi previu khas telah diadakan pada 8 Jun 2018, jam 6.15 petang menerusi skrin LED gergasi Pavilion Elite yang berhadapan Bukit Bintang.

Bagi memeriahkan acara, kami telah menjemput 10 kanak-kanak dari Tadika Istika Jaya termasuk guru dan ibu bapa mereka untuk menyaksikan mesej khas daripada Faizal Tahir dan hasil dokumentari muzik tersebut. Seterusnya, Faizal Tahir dan krew turut meluangkan masa dengan mereka di majlis berbuka puasa.

Kolaborasi kali ini amat menyentuh hati dan jiwa Faizal Tahir yang sememangnya aktif dalam aktiviti kemanusiaan. Pada percubaan awal Faizal mendekati golongan kanak-kanak yang kehilangan upaya pendengaran ini, beliau sedih apabila tidak dapat berinteraksi secara langsung dengan mereka kerana mereka tidak dapat mendengar apa yang ingin disampaikan.



Namun, kanak-kanak ini sangat istimewa. Mereka sangat positif dan menerima kunjungan Uncle Faizal dengan hati yang terbuka tanpa Mengetahui siapakah sebenarnya Faizal Tahir. Faizal Tahir amat bersyukur apabila kanak-kanak ini memulakan langkah untuk menunjukkan bagaimana cara untuk berkomunikasi dengan mereka.

Selain disiarkan di kaca TV, dokumentari muzik ini juga dapat ditonton di Youtube @TV3Malaysia.

Untuk maklumat terkini, anda boleh menonton semua rangkaian televisyen Media Prima Berhad. Layari laman web www.xtra.com.my dan ikuti laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram @TV3Malaysia, @TV9Malaysia, dan @ntv7malaysia untuk berita dan informasi terkini mengenai kempen Terima Kasih.


[KREDIT: TV3]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan