25 Apr 2018

KONSERT HORA HOREY DIDI & FRIENDS’ KINI DI ASTRO FIRST


SELEPAS lebih sebulan ditayangkan di 61 buah pawagam di seluruh negara termasuk di Brunei, ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ melabuhkan tirai tayangan di pawagam pada 18 April lalu dengan meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM2.75 juta. 

Sambutan hangat yang diterima Konsert Hora Horey Didi & Friends mendorong Digital Durian dan Astro untuk membawa konsert animasi pertama di layar perak ini ke platform televisyen pula menerusi tayangan di Astro First (saluran 480) bermula pada 26 April 2018 dengan dua tawaran pakej pembelian yang menarik. 

Tampil berbeza dan eksklusif, terdapat tambahan dua lagu baharu iaitu ‘Nyam Nyam’ dan ‘Tong Tong Tong’ bagi tontonan di televisyen menjadikan jumlah keseluruhan lagu sebanyak 32 buah di mana 19 daripada lagu-lagu tersebut merupakan lagu baharu, tujuh buah lagu hit yang telah melonjakkan jenama Didi & Friends dan enam buah lagu yang telah diberi nafas baharu. 

Selain itu, penonton juga dapat menonton klip-klip disebalik tabir pembikinan Konsert Hora Horey Didi & Friends. 





Mengulas mengenai kehadiran Konsert Hora Horey Didi & Friends di televisyen, Sinan Ismail, Pengarah Digital Durian berkata, 

“Tayangan Konsert Hora Horey Didi & Friends di saluran Astro First memberi peluang kepada peminat setia Didi & Friends untuk meluangkan masa berhibur bersama keluarga di ruang tamu masing-masing, pada bila-bila masa selama dua hari berturut-turut.  
Selain itu, mereka yang tidak berkesempatan menonton Konsert Hora Horey Didi & Friends di pawagam atau ingin menonton sekali lagi konsert animasi ini, kini boleh menikmatinya di kaca televisyen masing-masing”.



Pakej pertama menawarkan tayangan Konsert Hora Horey Didi & Friends selama 48 jam dengan harga RM15.90 sahaja. Pakej kedua yang berharga RM21.10 pula disertakan sekali tayangan 48 jam Konsert Hora Horey Didi & Friends bersama sebuah buku warna Didi & Friends edisi terhad (penghantaran percuma). 

Sejak memulakan tayangan pada 10 Mac lalu di pawagam-pawagam terpilih seluruh Malaysia, Konsert Hora Horey Didi & Friends telah menarik perhatian ramai khususnya golongan kanak-kanak dan ibu bapa sehingga melakar kejayaan yang cukup membanggakan. 




Bermula dengan kutipan sebanyak RM1.4 juta dalam tempoh hanya 10 hari tayangan sehingga ke penambahan 27 lagi pawagam termasuk di Brunei.

Istimewanya, konsert animasi ini turut menampilkan penyanyi tersohor Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang mendendangkan lagu bertajuk ‘Oh Nana’ dan juga penyanyi popular Tomok yang mendendangkan lagu Tayar Bas.

Maklumat lanjut mengenai ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ boleh didapati di www.didiandfriends.com. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan