Hot Posts

6/recent/ticker-posts

LANGSUIR, BUAH TANGAN TERBARU OSMAN ALI


SEBUAH treler pra-rasmi filem Langsuir lakonan Syafiq Kyle dan Hannah Delisha telah dilancarkan hari ini. 

Treler berdurasi 30 saat itu memberi gambaran tentang kandungan filem seram romantis yang dijadualkan bakal menggamatkan pawagam-pawagam bermula 21 Jun 2018 nanti. 

LANGSUIR menceritakan kisah cinta dua dunia antara Azlan (Syafiq Kyle) dan Suri (Hannah Delisha). Mereka bertemu ketika Azlan dan kawan-kawannya berkunjung ke pulau terlarang bernama Pulau Langsuir. 

Azlan yang jatuh cinta dengan Suri tidak mengetahui bahawa Suri adalah langsuir yang mendiami pulau itu. Zaman irihati dengan hubungan Azlan dan Suri telah merancang untuk menikam paku tajam ke kepala Suri untuk melihat sejauh mana kebenaran mitos mengatakan langsuir akan kekal menjadi perempuan cantik jika kepalanya ditebuk paku. Tindakan Zaman telah berjaya dengan bantuan Kamal namun telah menimbulkan kemarahan 

Dewi, kakak Suri. Dewi nekad mahu membalas dendam dan menghancurkan Zaman serta rakan-rakannya. Mampukah cinta antara dua dunia bertahan atau terkubur demi menyelamatkan sebuah persahabatan? 

Selain Syafiq Kyle dan Hannah Delisha, filem Langsuir turut dibintangi oleh Firdaus Nadzaman, Julia Farhana, Halim Radzi, Shahkimin, Nazri, Daaim Jailani dan Naza Manas. 

Filem arahan Osman Ali ini adalah filem sulung terbitan syarikat Guam Teamwork Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama produksi milik Osman, Nuansa Films. Langsuir telah menjalani sesi penggambaran selama 25 hari yang berlangsung di Pulau Langkawi serta beberapa lokasi sekitar yang dipercayai sudah ditinggalkan lama seperti Gua Langsir, Gua Tembus, Pantai Talam Dua Muka dan Teluk Datai. 

Ketahui maklumat terkini mengenai filem Langsuir di akaun Instagram @filemlangsuir atau akaun Facebook @GuamTeamwork 


MENGENAI NUANSA FILMS SDN BHD 

Nuansa Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 2003 dengan tujuan untuk menghasilkan filem dan program televisyen berkualiti tinggi yang menghiburkan dan menguntungkan kerana kisah-kisah terbaik adalah disampaikan dengan baik. 

Nuansa Films percaya filem, program televisyen dan teater mempunyai peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara dan rakyatnya. Nuansa Films berhasrat untuk menyokong dan mengukuhkan industri hiburan di Malaysia dan mencapai pengiktirafan antarabangsa di suatu masa nanti. 

Post a Comment

0 Comments