25 Feb 2018

AKTRES LAGENDA BOLLYWOOD, SRIDEVI MENINGGAL DUNIA


PELAKON handalan Bollywood, Sridevi dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu, 24 Februari, di Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada usia 54 tahun akibat komplikasi jantung.

Berita tersebut disahkan oleh abang iparnya, Sanjay Kapoor menerusi media Indian Express.

Pelakon era 80an yang cukup terkenal dengan filem Nagin itu menghembuskan nafas terakhirnya di sisi suami yang juga produser, Boney Kapoor dan anak perempuan mereka, Khushi.




Difahamkan pelakon ini berada di UAE kerana menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya di Dubai.

Berita ini tentunya mengejutkan ramai termasuk selebriti Bollywood sendiri yang turut sama meluahkan kesedihan mereka atas kehilangan ini menerusi laman media sosial masing-masing.




Antaranya Juhi Chawla, Akshay Kumar, Kamal Hassan, Shilpa Shetty, Preity Zinta, Sushmita Sen, Priyanka Chopra dan ramai lagi.    

Begitu juga dengan peminat pelakon ini di seluruh dunia yang tidak henti-henti mengucapkan takziah ke atas kematian mengejut ini.  




Sridevi atau nama sebenarnya Shree Amma Yanger Ayappan memulakan kerjaya seninya seawal usia empat tahun dan mewaranai dunia lakonan Bollywood lebih empat dekad.

Sepanjang hayatnya, beliau telah membintangi filem dalam pelbagai bahasa termasuk Tamil, Telugu, Malayalam, Kannada dan Hindi.




Sridevi pernah dicalonkan untuk 10 Anugerah Filmfare dan memenangi lima daripadanya, selain diiktiraf kerajaan India menerusi anugerah Padma Shri pada 2013, hasil sumbangannya yang tidak berbelah bahagi kepada dunia perfileman India.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan