TIDAK perlu berbelanja besar untuk menikmati percutian indah hingga ke luar negara. Dalam Malaysia sahaja anda boleh merealisasikan hasrat tersebut. Caranya luangkan masa untuk menyaksikan program Penginapan Unik sedang bersiaran setiap Jumaat, jam 10 malam di TV1.
Anda akan berpeluang menyaksikan 13 lokasi istimewa berbeza dalam negara termasuklah destinasi indah hingga ke Sabah dan Sarawak. Setiap lokasi pastinya mampu memberikan memori berbeza dan membuatkan percutian anda bertambah unik. Pada masa sama hos akan melakukan aktiviti yang ditawarkan untuk dicuba di situ.
Bersama hos Ellyas Abdullah, episod pertama mengajak anda menyaksikan keunikan penginapan Mongolian Yurt Wind Paradise di Kundasang, Sabah serta aktiviti yang ditawarkan. Sesiapa yang ingin merasai pengalaman berbeza menginap dalam khemah Mongolia, tak perlu pergi jauh sampai ke Mongolia kerana ianya ada di Kundasang, Sabah.
Seterusnya program ini berkongsi keunikan dan keindahan lokasi percutian yang sesuai bagi pencinta alam semulajadi iaitu Bamboo Village, Hulu Langat, Selangor. Lokasi ini pastinya sesuai bagi mereka yang ingin mencari ketenangan dan lari daripada kesibukan kota.
Bamboo Village juga adalah pilihan yang tepat bagi penduduk yang tinggal di ibu kota, kerana ia merupakan sebuah rumah penginapan atau resort yang terletak berhampiran dengan bandaraya Kuala Lumpur.
Ikuti juga episod berada di Terrapuri Heritage Village, Kg. Mangkok Setiu, Terengganu serta aktiviti yang ditawarkan. merupakan sebuah pusat peranginan yang menempatkan bilik-bilik yang berkonsepkan tradisional dengan menjanjikan pengalaman bertaraf 5 bintang.
Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh diaturkan bersama pihak Terrapuri yang akan memberikan 1001 perasaan di hati anda.
Berkonsepkan The First Pop Up Beach Resort di Malaysia, penonton berpeluang mengikuti aktiviti dilakukan hos ketika mengunjungi Cabana Retreat yang terletak di sepanjang pantai Rampayan, Kota Belud. Ia adalah lokasi yang ideal untuk bersantai dan berehat.
Episod seterusnya penonton dapat merasai suasana semulajadi rumah pokok yang berada di kawasan ladang yang terletak jauh di Terra Tree House, Cameron Highlands, Pahang serta aktiviti yang ditawarkan di situ.
Ikuti juga beberapa lokasi lain antaranya Lamin Dana Heritage Lodge, Mukah Sarawak, Time Capsule Retreat, Sungai Lembing, Pahang dan Tagal Luanti Homestay, Ranau, Sabah.
0 Comments