Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Maya Karin terima pengiktirafan di Ramsgate International Film & TV Festival



PELAKON, penyanyi dan aktivis alam sekitar terkenal, Maya Karin menerima pengiktirafan Anugerah Kepujian dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik (Commendation in Best Actress Category) di  Ramsgate International Film & TV Festival yang berlangsung pada 11 – 14 Jun lalu. 

Pengiktirafan ini diperolehi menerusi lakonannya dalam filem Olympic Dream yang turut tersenarai sebagai Pilihan Rasmi (Official Selection) Festival tersebut.




Mengulas tentang pengiktirafan ini, Maya berkata, 

“Saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak juri Ramsgate International Film & TV Festival di atas pengiktirafan yang tidak saya jangkakan langsung ini. Mungkin apa yang saya cuba sampaikan dalam filem ini memberi impak kepada juri dan penonton. 

Sejak pertama kali menerima skrip filem ini ianya sudah pun memberi kesan secara peribadi kepada saya. Walaupun tiada nama besar di dalam filem ini, saya bersetuju untuk membintanginya kerana tertarik dengan watak Makcik Fatimah. 

Saya juga ingin berterima kasih kepada pengarah dan pihak produksi yang memberi peluang untuk saya berkarya dan ruang untuk saya mendalami watak ini mengikut cara saya tersendiri. Dengan pengiktirafan ini, saya lebih bersemangat untuk terus memberikan yang terbaik dalam setiap naskhah yang saya bintangi,” katanya.


Ramsgate International Film & TV Festival merupakan sebuah festival filem yang berpusat di bandar pesisir Ramsgate, England. Festival ini memberi platform kepada pembuat filem bebas dari UK dan antarabangsa untuk berkongsi karya baru kepada orang ramai, pengedar  serta memupuk bakat baru. 

Sejak penganjuran pertamanya pada tahun 2017, Ramsgate International Film & TV Festival telah menerima penyertaan dari seluruh dunia termasuk Australia, Brazil, Iran, Martinique, Filipina, Afrika Selatan dan Taiwan serta negara-negara Eropah dan benua Amerika Utara. 




Olympic Dream merupakan filem terbitan Full Billion Entertainment, sebuah syarikat produksi tempatan yang berpusat di Pulau Pinang. 

Filem arahan Don Hoe ini menyaksikan Maya memegang watak sebagai Makcik Fatimah menjadi pendorong kepada anak yatim di bawah jagaannya, Anna Wong yang mengejar impian untuk menjadi seorang permain badminton negara dan bertanding di kejohanan Olimpik. 

Olympic Dream juga pernah merangkul  anugerah Best Feature Film di Simply Indie Film Festival, Best Feature Film di Canadian Cinematography Award dan Best Family Film di Kinoduel International Film Festival. - 7KLIK

Post a Comment

0 Comments