Sang Kancil Kembali Beraksi Dalam Dunia Muzikal Penuh Fantasi Di Istana Budaya


KEBIJAKSANAAN Sang Kancil sudah sekian lama menjadi sebahagian daripada cerita rakyat yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Watak kecil yang sering mengatasi cabaran dengan akal dan helahnya itu kini kembali dalam sebuah pengembaraan baharu, kali ini menerusi pentas muzikal yang menggabungkan fantasi, muzik dan keindahan warisan Nusantara.

Daripada kisah yang diceritakan turun-temurun, dunia Sang Kancil kini diterjemahkan ke pentas dengan pendekatan yang lebih dekat dengan imaginasi kanak-kanak.

Menerusi Teater Muzikal Kanak-Kanak Pengembaraan Sang Kancil, Istana Budaya membawa penonton menyelami dunia rimba yang penuh warna, dihuni pelbagai watak haiwan serta kisah yang menyentuh tentang keberanian, persahabatan dan kasih sayang keluarga.

Pementasan ini turut menandakan kemunculan semula produksi teater kanak-kanak Istana Budaya selepas kali terakhir menerusi Teater Siti di Alam Fantasi pada 2020. Bagaimanapun, pementasan berkenaan terpaksa dibatalkan ketika sesi pratonton susulan pengumuman sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19.

Sentuhan Warisan Nusantara

Berteraskan konsep 'Magika Nusantara', pementasan ini membawa penonton ke sebuah rimba tropika yang dipenuhi lokasi imaginatif seperti Perkampungan Kancil, Hutan Ajaib, sungai, taman buah-buahan, sarang madu, taman kelip-kelip dan kawasan Raja Rimba.

Gabungan lakonan, nyanyian, tarian serta jenaka menjadikan pengembaraan ini lebih dinamik, dengan hampir 60 peratus persembahan terdiri daripada lagu, muzik dan koreografi.

Keindahan alam dan warisan tempatan turut diterjemahkan menerusi rekaan set, kostum, prop serta grafik pentas yang diinspirasikan daripada motif batik Malaysia.

Unsur flora dan fauna seperti bunga raya, pucuk rebung, orkid dan pakis digabungkan dengan bentuk organik, tekstur serta warna alam semula jadi bagi menghasilkan identiti visual kontemporari yang sesuai dengan imaginasi kanak-kanak.


Naskhah arahan Nawfal Zamri dengan skrip tulisan Siti Jasmina Ibrahim ini mengikuti pengembaraan Sang Kancil yang bersama Wang Wang, Cerdas dan Cergas membantu haiwan yang ditindas.

Namun, perjalanan mereka berdepan ujian apabila persahabatan mula goyah dan Taring, adik Raja Rimba yang tamak kuasa, mengancam keluarga Sang Kancil. Berbekalkan kebijaksanaan serta seni berbalas pantun, mereka bersatu untuk menentang ancaman itu tanpa kekerasan.

Pengalaman di pentas turut diperhebat dengan muzik ciptaan pengarah muzik Ayop Azril yang menghasilkan 16 lagu baharu, termasuk Wira Bijaksana, Kita Kancil Kecil, Sekawan-kawan dan Dondang Pantun Rimba.

Kesemua lagu dimainkan secara langsung oleh 36 pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia dan bahagian strings Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Seramai 46 kanak-kanak menjayakan pementasan ini selepas menjalani latihan intensif selama dua bulan. 

Watak Sang Kancil dibawakan Ahmad Zaid Ahmad Zaha, selain Jihad Katharsis Jiwa Junizam@Juna sebagai Cerdas, Firman Uzair Muhammad Zulfadzli (Wang Wang) dan Nur Humaira Md Aizam (Cergas).

Barisan pelakon dewasa pula menampilkan Iedil Dzuhrie Alaudin sebagai Bapa Kancil, Asmidar (Ibu Kancil), Taqim Zaki (Taring), Anas Ridzuan (Mat Tanduk) dan Khir Rahman (Raja Rimba).

Bagi keluarga yang ingin menyaksikan pengembaraan ini secara langsung, Pengembaraan Sang Kancil bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 13 hingga 15 November 2026, jam 8.30 dan 2.30 petang.

Harga tiket bermula RM30 hingga RM150 dan boleh dibeli melalui Cloudjoi, ejen rasmi pementasan, menerusi platform media sosial Istana Budaya atau kod QR pada poster hebahan. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui portal dan media sosial Istana Budaya. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments