MAJLIS perkahwinan penyanyi Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pastinya menjadi antara momen yang dinanti ramai, apatah lagi sejak pasangan ini mengumumkan langkah mereka menuju alam rumah tangga.
Bukan sekadar menanti detik mereka disatukan, perhatian turut terarah kepada segala persiapan dan momen di sebalik hari bahagia tersebut.
Melihat kepada kisah yang cukup istimewa ini, Astro tampil dengan sebuah program khas yang merakam perjalanan pasangan berkenaan secara lebih dekat.
Menerusi Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq, penonton bakal mengikuti persiapan mereka bersama keluarga, detik pernikahan serta kehidupan selepas bergelar suami isteri.
Lebih menarik, kisah mereka turut memperlihatkan bagaimana dua latar kehidupan berbeza disatukan dalam sebuah perjalanan yang turut melibatkan anak-anak serta insan terdekat yang sentiasa berada di sisi.
Bagi Astro, peluang merakam perjalanan peribadi pasangan ini menjadi satu kepercayaan yang cukup bermakna, apatah lagi apabila setiap detik tersebut bakal dikongsi bersama penonton di seluruh Malaysia.
Naib Pengerusi Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata, siri berkenaan menjadi ruang untuk penonton mengikuti sendiri perjalanan Bella dan Syed Saddiq menuju kehidupan baharu mereka.
“Bagi kami, satu penghormatan apabila diberi kepercayaan untuk mengabadikan perjalanan istimewa ini dan membolehkan seluruh Malaysia menyaksikan detik-detik tersebut secara eksklusif hanya di Astro.
“Kami berharap ‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’ dapat menjadi satu perjalanan yang dinikmati bersama, bermula dari debaran menuju hari bahagia, detik mereka disatukan, hinggalah melangkah ke fasa kehidupan baharu.
“Astro sentiasa komited menghubungkan peminat dengan momen terindah personaliti kegemaran mereka menerusi liputan eksklusif ini,” ujarnya.
Dari Momen Nikah Hingga Lembaran Baharu
Perjalanan pasangan ini bukan sahaja berhenti pada hari pernikahan. Dua majlis resepsi turut dirancang di lokasi berbeza, dengan Kuala Lumpur menjadi antara detik awal mereka diraikan sebagai suami isteri sebelum kemeriahan diteruskan di Muar, Johor pada 25 Oktober 2026 bersama keluarga Syed Saddiq dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober 2026 untuk keluarga serta kenalan Bella.
Buat Bella atau nama lengkapnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, perjalanan tersebut menjadi lebih istimewa kerana ia turut dikongsi bersama keluarga dan anak-anak yang menjadi sebahagian penting dalam kehidupan mereka.
“Perjalanan ini sangat bermakna buat kami lebih-lebih lagi apabila dapat berkongsi detik-detik bahagia ini bersama keluarga, Ayden, Ara dan semua yang sentiasa mendoakan kami. Semoga kisah ini menjadi kenangan manis yang akan kami simpan selamanya,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menghargai sokongan yang diterima sepanjang perjalanan tersebut, selain berterima kasih kepada Astro kerana menjadi sebahagian daripada momen istimewa mereka.
“Kami sangat menghargai setiap doa dan sokongan yang diberikan. Terima kasih Astro kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan istimewa ini dan merakam detik bahagia kami secara eksklusif,” katanya.
| Syed Saddiq dan Bella Astillah teruja berkongsi momen perjalanan mereka menuju hari bahagia bersama seluruh rakyat Malaysia | FOTO: Astro (Azrul Rafi) |
Bahagian awal memberi tumpuan kepada kisah perkenalan, persiapan pernikahan dan momen bersama keluarga, sebelum penonton dibawa menyaksikan akad nikah secara langsung dari Menara 118 pada 10 Oktober 2026.
Kemeriahan kemudiannya diteruskan menerusi majlis resepsi di MITEC, Kuala Lumpur pada 18 Oktober, manakala episod-episod seterusnya membuka sisi kehidupan Bella dan Syed Saddiq selepas bergelar suami isteri, termasuk rutin harian, masa bersama keluarga dan anak-anak serta persiapan untuk bulan madu.
Menariknya, siri ini turut menjanjikan rakaman eksklusif di sebalik hari bahagia mereka, termasuk momen pernikahan dan resepsi yang sebelum ini belum pernah dikongsikan kepada umum.
Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq mula bersiaran 6 Oktober 2026, setiap Selasa, jam 11 malam di Astro Ria (Saluran 104), selain boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.
Majlis pernikahan pasangan ini pula akan disiarkan secara langsung pada 10 Oktober 2026, Sabtu, jam 9 pagi menerusi Astro Ria (Saluran 104), Astro Prima (Saluran 105), Astro Awani (Saluran 501), Sooka dan Astro GO. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- FIFA ASEAN Cup 2026: RTM Bawa 5 Aksi Pilihan Secara Langsung
- Dari Dream Academy Ke Pentas Dunia, Kisah Katseye Dibawa Ke Disney+
- Kempen ‘Go Halal’ TV AlHijrah Di MIHAS 2026
0 Comments