27 Jun 2021

KESERASIAN ZUL ARIFFIN, UYAINA DAN TRIVIA MENARIK DRAMA LOVE ELSA


DRAMA bersiri Love, Elsa ialah sebuah karya adaptasi novel dengan judul sama nukilan Acik Lana mengangkat genre fantasi cinta terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn Bhd. 

Drama 24 episod itu diarahkan oleh pengarah Michael Ang serta turut menampilkan Nadia Khan dan Mamu Vies selaku penulis skrip.

Love, Elsa bakal menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam mulai 15 Jun lalu menerusi slot Megadrama secara secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal;

“Berbeza dengan drama cinta yang biasa disajikan kepada penonton sebelum ini, keunikan naskhah Love, Elsa terletak kepada konsep kisah cinta santai dengan suntikan elemen magis yang sering diketengahkan dalam drama Korea atau istilah lebih dekat, K-Drama.

"Penceritaan kisah cinta fantasi seperti ini pastinya memberi kelainan kepada para penonton yang pastinya tertunggu-tunggu buah tangan terbaharu daripada kami selepas berakhirnya drama sensasi Rindu Awak Separuh Nyawa.

"Kesemua barisan pelakon yang membintangi drama ini juga telah memainkan peranan yang cukup bermakna dengan lakonan mantap yang mampu mengagumi khalayak penonton melalui pembawaan watak yang cukup berkesan. Drama Love, Elsa juga menjanjikan paparan yang menarik dengan olahan plot penceritaan yang menyeronokkan.

"Tambah menarik lagi, single terbaharu ciptaan penyanyi dan pelakon terkenal Marsha Milan featuring Fanzi Ruji Khan berjudul Ika Noh juga turut diangkat menjadi lagu tema untuk drama bersiri ini.

"Kami berharap gabungan kesemua elemen-elemen ini mampu meletakkan Love, Elsa sebagai sebuah drama yang paling ditunggu sekaligus mencetuskan fenomena yang tersendiri dikalangan peminat drama Melayu. Semoga terhibur," katanya.



Sementara itu pengarahnya, Michael Ang, berkata, Keunikan drama Love, Elsa sebenarnya terletak kepada chemistry lakonan di antara Zul Ariffin dan Uyaina yang merupakan penggerak utama yang memberi warna kepada drama itu.

"Pada mulanya saya agak gementar kerana chemistry di antara mereka agak lambat untuk muncul. Namun perasaan tersebut tidak lama kerana kegusaran tersebut terus hilang apabila kedua-dua teraju utama saya saling ‘memberi’ dan memudahkan keseluruhan penggambaran.

"Begitu juga dengan barisan pelakon lain yang masing-masing memberikan kerjasama penuh untuk mendapatkan hasil lakonan yang mantap.

"Sepanjang penggambaran dijalankan, pelbagai cabaran pahit manis telah kami tempuhi bersama sebagai satu pasukan.

"Cabaran paling getir adalah kekangan masa dan keselamatan. Pihak produksi juga harus mengejar masa yang terhad kerana kesibukan jadual kerja Zul dan Uyaina yang banyak terikat dengan komitmen kerja yang lain.

"Kekangan seperti ini memberi impak besar daripada segi jadual dan lokasi. Walau bagaimanapun, kami bersyukur kerana segala cabaran dapat diatasi dan penggambaran juga dapat diselesaikan seperti yang dirancang,” katanya.



TRIVIA LOVE, ELSA


  • Penggambaran drama Love, Elsa mengambil masa 65 hari untuk diselesaikan di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Langkawi.
  • Drama Love, Elsa menyaksikan gandingan julung kali Zul Ariffin dan Uyaina Arshad selaku teraju utama. Watak Ammara yang digalasnya merupakan seorang yang introvert, sering berpakaian pelik dan sentiasa memakai sarung tangan. Untuk mendapatkan look yang dikehendaki untuk watak ini, styling Uyaina mendapat sentuhan tata rias oleh fashion stylist Abu Shaef Hamza. Abu juga turut menyediakan 18 jenis sarung tangan unik yang berbeza untuk mewarnai watak tersebut.
  • Sebelum ini, Uyaina Arshad sudahpun mempunyai pengalaman bekerja di bawah Michael Ang menerusi drama Perempuan Tanpa Dosa yang pernah ditayangkan menerusi slot Megadrama sekitar bulan Oktober tahun lalu. Menurut Uyaina, sepanjang bekerjasama dengan pengarah tersebut, Michael merupakan seorang yang amat mementingkan kualiti kerja dan banyak berkongsi ilmu mengenai teknik lakonan yang berkesan. Uyaina juga berasa cukup bertuah kerana mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada beliau.
  • Menurut Zul Ariffin yang melakonkan watak Ridza, antara pengalaman paling manis sewaktu menjayakan penggambaran drama Love, Elsa ialah sewaktu babak selam untuk montaj pembukaan yang dilakukan di Langkawi. 
  • Drama Love, Elsa ini turut menampilkan lagu istimewa berjudul Ika Noh, nyanyian Marsha Milan feat Fanzi Ruji sebagai lagu runut bunyi. Lebih istimewa lagi, lagu tersebut juga merupakan ciptaan Marsha sendiri.


BARISAN PELAKON

Zul Ariffin sebagai RIDZA
Uyaina Arshad sebagai AMMARA
Riz Amin sebagai KAMARUL
Ramona Zam Zam sebagai RAMONA
Badrul Muhayat sebagai ELYAS
Ku Faridah sebagai NENEK AMMARA
Zeera Azizi sebagai SOFEA
Ikhram Juhari sebagai IMRAN
Azhar Amir sebagai TUAN ZAMIR
Mona Allen sebagai MADAM QISTINA
Iman Suhana sebagai HAMIDAH
Nasz Sally sebagai HABSAH
Mustapha Kamal sebagai WAHID 


SINOPSIS

Alahan? Kedengarannya seperti keadaan biasa yang berlaku pada banyak orang tetapi tidak kepadanya kerana ‘alahan’ itu mengubah hidupnya. Ammara alahan terhadap sentuhan manusia, setiap kali dia bersentuhan dengan kulit manusia lain, dia akan melihat masa lalu seseorang itu.

Alahannya menjadi seperti musibah bagi Ammara, penyakit itu tidak ada penawar atau ubat. Ammar membesar menjadi seorang gadis yang mengalami masalah kemurungan. Keluarganya tidak dapat menerima keadaannya dan membiarkannya bersendirian untuk menghadapi dunia.

Ketika Ridza muncul, hidupnya mula berubah. Dia mula bercakap dengan orang dan merasa gembira buat pertama kalinya dalam hidupnya. Ridza adalah satu-satunya rakan yang pernah dia ada.

Ketidaksempurnaannya menjadi kekuatannya ketika dia menggunakan kelebihannya untuk menolong Ridza dalam menyelesaikan kes pembunuhan ayahnya. Satu demi satu misteri dapat diselesaikan olehnya.


[KREDIT: Astro]








Tiada ulasan:

Catat Ulasan