2 Jun 2021

HATI YANG DIKHIANATI DIREHATKAN KERANA PKP 3.0



SUSULAN perlaksanaan PKP 3.0 melibatkan sekatan pergerakan skala penuh bagi sektor sosial dan ekonomi yang dikeluarkan oleh kerajaan atas faktor keselamatan, pihak Astro Prima dan syarikat produksi  Global Station Sdn. Bhd. mengambil keputusan untuk menghentikan sebarang aktiviti penggambaran drama adaptasi Hati Yang Dikhianati (HYD) yang kini masih lagi ditayangkan menerusi slot Tiara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang berkuatkuasa serta merta.

Keputusan ini sekaligus memberi kesan kepada slot jadual siaran drama tersebut yang juga terpaksa direhatkan buat sementara waktu bagi episod ke-41 dan seterusnya bermula Isnin depan, 7 Jun 2021. Drama bersiri terbaharu Derita Untuk Bahagia akan mengambil alih slot tersebut dan akan ditayangkan secara eksklusif buat pertama kali mulai 7 Jun ini.

Untuk makluman, drama HYD mengetengahkan format interaktif ‘open-ended’ yang memberikan kuasa kepada netizen untuk menentukan plot twist dan kesudahan drama tersebut.

Jalan penceritaan dan pembinaan watak turut dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa. Jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.

Sementara itu, drama bersiri Derita Untuk Bahagia terbitan Astro Prima dan syarikat produksi MIG Productions Sdn. Bhd. pula merupakan sebuah naskhah asal yang mengangkat genre kekeluargaan, persahabatan dan cinta. 

Drama 30 episod arahan Ejump Mohd ini turut menampilkan David Teo selaku Penerbit. Antara barisan pelakon yang membintangi drama ini termasuklah Azar Azmi, Hafreez Adam, Amar Baharin, Marisa Yasmin, Dayang Areeda, Jasmin Hamid, Dian P Ramlee, Riezman Khuzaimi, Harieyanto Hassan, Datuk Hilal Azman, Aida Othman, Zarina Zainuddin dan ramai lagi.

Kisah Derita Untuk Bahagia bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang mulai 7 Jun 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.


[KREDIT: ASTRO PRIMA]









Tiada ulasan:

Catat Ulasan