24 Mac 2021

PERTAMA DAN TERAKHIR, KISAH ISTERI YANG DIPERSIAKAN


MEMILIH mendirikan rumah tangga dan berkeluarga itu satu pilihan. Ia tidak seharusnya dipersiakan. Mencintai, menyayangi, dan mengasihi antara pasangan itu merupakan satu kemestian dalam memelihara hubungan bahagia seperti diinginkan. 

Jika kita ditanya soal hati dan perasaan, ramai yang mengambil berat soalnya dan tak lain dan tak bukan pasti mereka yang bergelar wanita.

Tidak bermaksud membandingkan antara keduanya siapa yang lebih menonjolkan perasaan tersebut. Tetapi realitinya semua perasaan itu kelihatan begitu ketara dalam diri seorang wanita.

Setiap wanita dikurniakan rahim daripada Allah S.W.T. Bukankah rahim itu bermaksud ‘sayang’? Justeru itulah wanita lebih menunjukkan belas, kasih dan sayangnya.

Wahai wanita, teruslah menyayangi, teruslah mencintai dan teruslah meluaskan rasa kasihmu. Kerana rasa kasih dan sayang itu adalah hadiah kurniaan Allah buat insan disekelilingmu.

Ada satu ketika pastinya seorang wanita itu akan terasa terbeban dengan kasih dan sayang kerana kasihnya tidak berbalas. Dan mungkin kasihnya dipersiakan oleh mereka yang tidak tahu menghargainya. Lalu bagaimana?

Kisah pengajaran isteri yang dipersiakan ini dibawakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam telefilem berjudul Pertama dan Terakhir pada 26 Mac ini, jam 9.30 malam di TV2.

Plot cerita bermula dengan watak utama iaitu Murshid diminta oleh ibunya, Datin Rania untuk berkahwin dengan Annisa seperti yang telah diwasiatkan oleh arwah bapanya. Pada awalnya, Murshid menolak permintaan tersebut kerana dia sudah mempunyai teman wanita.

Namun, akhirnya dia akur dan memutuskan untuk berkahwin dengan Annisa tanpa pengetahuan teman wanitanya demi memenuhi wasiat arwah bapanya.

Sebagai isteri, Annisa menjalankan tanggungjawab dengan baik. Namun sebaliknya bagi Murshid. Saksikan kesudahan lakonan berkesan Ammar Bahrin, Izreen Azminda dan Amyra Rosli dalam Pertama dan Terakhir di TV2. 


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Komen