9 Feb 2021

TAMBAHAN 45 EPISOD UNTUK DRAMA ANGKARA CINTA



BERIKUTAN sambutan hangat dan maklum balas positif yang diterima daripada para penonton, tayangan drama bersiri Angkara Cinta kini disambung lagi sebanyak 45 episod baharu yang akan terus menemui penonton bermula pada hari ini.

Mengikut perancangan awal, naskah adaptasi melodrama arahan sutradara Hadith Omar ini sepatutnya berakhir di episod 70 pada 5 Februari yang lalu. Namun, dengan pertambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 115 buah episod.

Drama bersiri Angkara Cinta terbitan syarikat produksi Juita Viden ini telah diadaptasi ke format kisah melayu daripada drama asal The Two of Us atau lebih dikenali dengan judul Tayong Dalawa yang mana ia merupakan telenovela popular yang mendapat sambutan hangat di Filipina sekitar tahun 2009.

Drama ini turut mendapat sentuhan sutradara berkaliber, Michael Ang selaku penerbit serta barisan penulis skrip yang diketuai oleh Amor Rizan dan Rehal Nuharis.

Antara barisan pelakon yang menjayakan drama ini termasuklah Hun Haqeeem, Meerqeen, Wanna Ali, Yuna Rahim, Syazwan Zulkifly, Datin Nina Juren, Sharifah Shahora, Normah Damanhuri, Roy Azman serta ramai lagi.

Angkara Cinta disiarkan menerusi slot Tiara secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Pengurus Saluran Astro Prima,  Norzeha Mohd Salleh, berkata, Astro berbesar hati dengan sambutan hangat yang diterima untuk drama Angkara Cinta sehingga meletakkan ia sebagai drama no. 1 yang meraih jumlah tontonan tertinggi di Astro Prima sepanjang tahun 2020.

"Drama ini juga turut mencuri perhatian ramai di laman media sosial menerusi pelbagai perkongsian positif menggunakan tanda pagar #AngkaraCinta dengan lebih 8 juta jumlah tontonan digital ke atas rangkaian video promosi yang dikeluarkan.

"Oleh itu, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami hadiahkan 45 episod tambahan kepada para peminat yang pastinya tertanya-tanya apakah pengakhiran konflik kisah ini. Sejak mula ditayangkan, drama Angkara Cinta ternyata berjaya menyelami emosi penonton menerusi plot penceritaan yang mendebarkan.

"Bukan itu sahaja, kesemua barisan pelakon yang terlibat dalam drama ini sama ada watak besar atau kecil juga telah memainkan peranan yang cukup bermakna dengan lakonan mantap yang mampu mengagumi khalayak penonton melalui pembawaan watak yang cukup berkesan.

"Setiap watak tersebut juga mempunyai potensi untuk dikembangkan lagi bagi menambahkan percikan warna dalam naratif penceritaan.

"Menerusi pertambahan 45 episod baharu ini, pihak produksi diberi cabaran mengolah naskah asal untuk dikembangkan secara kreatif dengan mengambil kira maklum balas yang diterima daripada penonton setia yang telah menyokong drama ini sejak mula ditayangkan.

Dalam pada itu, kami juga berharap agar situasi semasa Covid-19 akan bertambah baik dalam masa terdekat supaya penggambaran yang masih tergendala akibat perlaksanaan PKP 2.0 dapat diteruskan semula secepat mungkin. Kami juga masih menunggu pengumuman sekiranya terdapat sebarang keputusan terkini mengenai kelonggaran SOP berkaitan untuk sektor industri kreatif.

"Semoga para penonton akan berpuas hati dengan garapan segar yang akan mula dipertontonkan petang ini. Sama-sama kita saksikan apakah kesudahan drama ini nanti. Selamat terhibur,” katanya.


TRIVIA DRAMA ANGKARA CINTA

1. Susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP) di Lembah Klang bermula 13 Januari lalu, pihak produksi mengambil keputusan untuk berpindah lokasi ke Ipoh, Perak bagi menyambung penggambaran yang masih berbaki untuk mengekalkan momentum sekaligus mengelakkan sebarang kesulitan.

2. Namun begitu, penggambaran tersebut hanya sempat diteruskan selama beberapa hari sahaja dan terpaksa dihentikan buat sementara waktu apabila Perak turut diumumkan berada di bawah PKP 2.0 bermula 22 Januari sehingga kini. Sepanjang tempoh PKP 2.0 berkuatkuasa, seluruh kru produksi dan barisan pelakon yang terlibat memutuskan untuk kekal berada di Ipoh.

3. Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan tenaga kerja terjamin, pihak produksi turut mengambil inisiatif agar kesemua yang terlibat dengan penggambaran drama Angkara Cinta perlu menjalani ujian saringan berkumpulan serta terikat dengan kawalan kendiri dan pematuhan SOP yang ketat sebagai langkah berjaga-jaga.

4. Pihak produksi juga terpaksa menggunakan perkhidmatan kurier setiap hari dari Ipoh untuk menghantar ‘footage’ penggambaran kepada penyunting drama yang berada di Kuala Lumpur.

5. Pihak produksi juga harus berfikir di luar kotak secara kreatif dan teliti bagi memastikan rekaan set untuk lokasi di Ipoh kelihatan sama seperti set di Kuala Lumpur supaya perubahan lokasi tidak nampak ketara di skrin.

6. Kesemua pelakon yang terlibat memberikan komitmen sepenuhnya untuk menjayakan drama ini meskipun terpaksa berpindah lokasi di luar Lembah Klang untuk satu jangka masa yang tidak menentu buat masa sekarang akibat peningkatan kes Covid-19.

7. Sebahagian daripada garapan plot dan skrip asal terpaksa dirombak semula daripada episod 60 untuk memastikan naratif penceritaan selari dengan penambahan episod.


BARISAN PELAKON ANGKARA CINTA

Hun Haqeem sebagai LUQMAN
Meerqeen sebagai HAQEEM
Wanna Ali sebagai ADIRA
Datin Nina Juren sebagai MARIANI
Sharifah Shahora sebagai INDAH
Normah Damanhuri sebagai CIK MILAH
Ku Faridah sebagai PUAN LIZA
Yuna Rahim sebagai JIJIE
Syazwan Zulkifly sebagai REMY
Azhar Amir sebagai RAZLAN
Roy Azman sebagai ATAN


SINOPSIS DRAMA ANGKARA CINTA

Konflik makin mendalam di antara Luqman dan Haqeem selepas kematian Aiman. Haqeem muncul sebagai kawan kepada Adira menyebabkan Jijie curiga akan cinta Haqeem. Cemburu buta Luqman membuatkan Adira makin bosan. Indah ibarat ular cuba meruntuhkan rumah tangga mereka. Dalam Remy menyimpan perasaan kepada Jijie, Mariani dapat menghidu sesuatu yang tidak kena tentang Remy. Nyawa dan perasaan siapa lagikah yang menjadi mangsa akibat angkara cinta ini?


[KREDIT: Astro]









































































Tiada ulasan:

Catat Komen