6 Jan 2021

MISI MIKROFON IMPIAN BANTU RINGANKAN BEBAN KEWANGAN


PROGRAM Mikrofon Impian ialah sebuah program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian yang diadaptasi daripada program game show nyanyian nombor satu di Thailand. 

Ia diterbitkan khusus untuk membantu para peserta yang memerlukan bantuan kewangan untuk melunaskan bebanan hutang. Bagi menambah baik format asal, pelbagai pengisian elemen tempatan turut disuntik agar bersesuaian dengan budaya serta relevan untuk tontonan masyarakat di Malaysia.

Kembali serba baharu dengan misi yang berbeza untuk musim kedua, edisi kali ini juga turut membuka penyertaan kepada orang ramai yang ingin membantu golongan yang kurang bernasib baik dengan menyumbang suara mereka bagi mewakili pihak individu yang ingin dibantu.

Peruntukan bantuan kewangan yang diberikan untuk musim ini juga bukan sekadar memfokuskan untuk membantu melangsaikan bebanan hutang semata-mata tetapi turut merangkumi pelbagai masalah kewangan yang lain seperti bagi membiayai kos rawatan perubatan, dijadikan sebagai modal perniagaan, menampung kos harian akibat kehilangan pekerjaan, meneruskan kelangsungan hidup yang terjejas akibat krisis Covid-19 dan sebagainya.

Hadiah wang tunai yang ditawarkan pula adalah mengikut jumlah keperluan bantuan kewangan yang diminta berdasarkan situasi masing-masing.

Tiga peserta akan berentap dalam pusingan kalah mati untuk setiap episod. Mereka akan diminta untuk menjelaskan situasi kewangan yang dihadapi sebelum menyanyikan lagu pilihan masing-masing di hadapan juri. Peserta yang berjaya memikat hati juri akan mara ke pusingan akhir untuk menentukan jumlah wang tunai yang bakal dimenangi.

Dalam pusingan akhir, peserta akan diajukan soalan lazim berkenaan industri hiburan. Untuk menjawab soalan tersebut, peserta harus memilih salah satu mikrofon yang telah ditanda dengan nombor di hadapan dan menyanyi mengikut pilihan jawapan yang telah dipilih.

Jika mikrofon yang dipilih berbunyi, ia menandakan jawapan yang dipilih adalah tepat. Jika gagal, peserta hanya berjaya membawa pulang separuh daripada jumlah bantuan kewangan yang diminta.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, Astro cukup berbesar hati dengan reaksi dan sambutan positif yang diterima sewaktu program ini diperkenalkan buat pertama kali pada tahun lalu.

"Ini membuktikan inisiatif kemasyarakatan sebegini juga mampu mendapat tempat di hati para penonton yang prihatin.

"Kembali serba baharu dengan kes dan situasi yang berbeza, musim kedua program ‘Mikrofon Impian’ pastinya bakal menyentuh hati dan emosi masyarakat di luar sana. 

"Bagi menambah baik matlamat penerbitan program untuk edisi kali ini, kami turut bekerjasama dengan saluran pengumpulan dana sosial menerusi platform ‘KitaFund’ khusus untuk orang ramai yang ingin menyumbang secara ikhlas kepada para peserta menerusi saluran yang betul. 

"Di kesempatan ini, ingin kami tegaskan bahawa jumlah sumbangan bukanlah untuk dijadikan ukuran utama tetapi nilai ingatan kepada mereka yang memerlukan lebih diberikan perhatian sewajarnya.

"Semoga kes-kes yang ditonjolkan untuk musim ini dapat dijadikan sebagai sumber inspirasi, motivasi dan pemangkin semangat kepada kita semua untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik dan berkualiti, insya-Allah,” katanya.


TRIVIA MENGENAI ‘MIKROFON IMPIAN’ MUSIM KEDUA

1. Penerbitan ‘Mikrofon Impian’ Musim Kedua turut disokong oleh aplikasi Astro GO dan portal Gempak selaku Rakan Digital Impian. Manakala ZAYAN dan GEGAR pula sebagai Rakan Radio Impian.

2. Figura popular tanah air, Datuk Aznil Haji Nawawi atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas ‘Mikrofon Impian’ selaku pengacara program untuk musim terbaharu.

3. Penyanyi Fauziah Latiff dan Azmi Saat yang juga merupakan salah seorang anggota Caliph Buskers juga turut dikekalkan sebagai juri tetap untuk musim kedua.

4. Sementara itu, seorang juri jemputan juga turut diundang khas secara bergilir-gillir pada setiap minggu untuk menyertai juri tetap bagi mengadili persembahan para peserta. Antara juri jemputan yang memeriahkan penerbitan ‘Mikrofon Impian’ musim kedua ialah Ameng, Lisa Surihani, Syamel, Hazama, Erra Fazira, Azlan The Typewriter, Ernie Zakri, Akim Ahmad, Ezad Lazim, Siti Sarah, Datuk Hattan, Datuk Rosyam Nor dan Liza Hanim.

5. Menerusi ‘Mikrofon Impian’ musim kedua, para penonton berpeluang menyaksikan banyak momen yang menyentuh hati apabila ada di antara juri-juri yang turut sama berkongsi kisah peribadi mereka yang tidak pernah diketahui umum.

6. Azlan The Typewriter yang diundang selaku juri jemputan turut mengalirkan air mata setelah mendengar kisah menyayat hati tentang masalah yang dihadapi oleh peserta dalam salah satu episod untuk musim ini.

7. Datuk Hattan juga turut bangun untuk memberikan standing ovation selepas mendengar salah seorang peserta membuat persembahan.

8. Pengakuan seorang ayah dalam salah sebuah episod untuk musim ini telah membuatkan Datuk  Rosyam Nor mengalirkan air mata sewaktu program sedang berlangsung.

9. Selain menghulurkan bantuan kewangan, program ‘Mikrofon Impian’ musim kedua juga berperanan untuk menyambungkan kembali silaturahim yang telah lama terpisah.

10. Antaranya termasuklah menyaksikan momen manis yang cukup menyentuh hati apabila seorang anak yang pernah dibuang keluarga disatukan semula dengan keluarga tercinta setelah dapat menebus kembali kesilapan silam dan mendapat kemaafan daripada kedua ibu bapanya.

11. Musim ini juga turut merealisasikan impian seorang anak untuk bertemu kembali dengan ayah kandung yang telah terpisah selama lebih dari 20 tahun.

12. Program ‘Mikrofon Impian’ juga merupakan antara program realiti nyanyian yang tidak meletakkan had umur maksimum kepada peserta. Perserta tertua yang menyertai musim ini berumur 53 tahun. Manakala peserta termuda pula berumur 18 tahun.

13. Program ‘Mikrofon Impian’ musim kedua juga turut berkolaborasi dengan saluran  ‘KitaFund’ yang merupakan sebuah platform pengumpulan dana sosial yang membolehkan orang ramai menyalurkan bantuan kewangan untuk keperluan perubatan, kemanusian, haiwan dan juga pendidikan.

14. Menerusi kolaborasi ini, para penonton prihatin yang ingin menghulurkan sumbangan ikhlas kepada mana-mana peserta yang berjaya atau tidak berjaya yang memerlukan dana yang lebih daripada hadiah yang ditawarkan boleh berbuat sedemikian menerusi platform yang betul. Tabung akaun khas bagi menyalurkan sumbangan tersebut akan dibuka untuk para peserta dalam tempoh masa sebulan. Untuk mendapatkan sebarang info lanjut, sila layari www.kitafund.com/mikrofonimpian 


INFO SIARAN 

Program ‘Mikrofon Impian’ Musim Kedua akan berdurasi selama 60 minit sepanjang 13 buah episod pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam bermula 27 Disember 2020 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123). Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ia turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan ‘on demand’.


[KREDIT: ASTRO]



































Tiada ulasan:

Catat Ulasan