26 Jul 2020

HERO 2, DRAMA ABANG BOMBA KEMBALI LAGI


RTM berbesar hati menyiarkan kembali drama berkisar dunia bomba, Hero musim kedua dengan barisan pelakon baharu, dan pendekatan lebih segar yang disiarkan mulai 27 Julai ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 1.00 tengah hari di TV2. 

Realiti kisah kehidupan sebenar seorang anggota bomba mendepani pelbagai cabaran pekerjaan mereka sebagai pasukan penyelamat ini disampaikan dalam 26 episod terbitan syarikat NS Star Sdn Bhd. 

Menerusi musim kedua ini, penonton dapat menyaksikan babak-babak mencemaskan dan warna-warni kehidupan harian anggota bomba yang menampilkan lakonan mantap Redza Rosli, Sarah Hildebrand, dan Aidil Aziz bergandingan dengan Riz Amin, Oktovia Manrose, Shah Havzee, Anne Ngasri, Naim Shamsol, Shaharudin Thamby dan ramai lagi.

Menariknya plot kisah ini diselitkan dengan unsur kekeluargaan, persahabatan dan tanggungjawab dalam diri seseorang yang menjadi tarikan untuk tontonan semua lapisan masyarakat seisi keluarga dan semua rakyat Malaysia.

Menerusi setiap episod siarannya, drama bersiri arahan Jo Yusof ini lebih menumpukan kepada setiap kes tugasan yang pernah berlaku antaranya kemalangan, kebakaran dan termasuk juga panggilan palsu yang diterima anggota bomba dalam menjalankan amanah tugasan mereka. Pada masa sama mereka juga tidak terlepas daripada memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga dan insan tersayang. 

Ada juga kisah peribadi melalui perwatakan menarik dan lucu yang mewarnai kehidupan harian anggota bomba ditonjolkan dalam drama ini. Ia termasuklah kisah unik dan menarik yang pernah terjadi, didedahkan untuk memberikan gambaran jelas berkenaan tugas sebenar yang digalas anggota bomba.

Kenyataannya, drama ini secara tidak langsung mengajak masyarakat untuk menghayati pengorbanan pegawai dan anggota bomba yang sentiasa memberi komitmen dalam tugas memadam api serta menyelamat tanpa mengira kepentingan peribadi. 

Kerjaya mereka yang berdepan risiko setiap saat dan masa. Hanya dengan sedikit kesilapan mampu mengundang membahayakan nyawa sendiri. Ikuti setiap episod drama bersiri aksi bomba pertama di Malaysia ini menerusi saluran TV2. 



Hero 2
Bahasa: Melayu
Episod: 26          
Hari: Setiap Isnin hingga Khamis (Bermula 27 Julai) 
Masa: 1 Tengahari 
Saluran: TV2  
Terbitan: NS Star Sdn Bhd     
Arahan: Jo Yusof   
Pelakon: Redza Rosli, Sarah Hildebrand, Aidil Aziz, Riz Amin, Oktovia Manrose, Shah Havzee, Anne Ngasri, Naim Shamsol, Shaharudin Thamby.



[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Komen