23 Dis 2019

KIRA DETIK 2020, MULAI 24 DISEMBER HINGGA 1 JANUARI DI TV2


SALURAN media paling diyakini, RTM menghimpunkan lebih daripada 11 filem dan tiga program hiburan sepanjang seminggu menjelang sambutan tahun baharu 2020. Kesemua program yang merangkumi filem dalam dan luar negara juga konsert menampilkan artis popular tanah air ini menemui penonton saluran TV2 mulai 24 Disember ini hingga 1 Januari 2020. 




Santai keluarga anda pastinya lebih bermakna dengan menyaksikan tayangan filem muzikal komedi, Pitch Perfect 2 pada 24 Disember ini, pukul 10:00 malam lakonan Anna Kendrick, Rebel Wilson, dan Hailee Steinfeld yang mengisahkan selepas kemerosotan prestasi di The Kennedy Centre, Barden Bellas memasuki pertandingan antarabangsa yang tidak pernah dimenangi oleh kumpulan Amerika. 




Diteruskan dengan siaran filem genre pengembaraan aksi, Everest pada 25 Disember ini, pukul 10:00 malam dengan kisah Robert 'Rob' Edwin Hall pada 10 Mei 1996 bersama Scott Fisher yang bekerjasama untuk ekspedisi menaiki gunung Everest. Filem ini dibintangi pelakon Jason Clarke, Ang Phula Sherpa, dan Thomas M. Wright.



Filem Little Boy pula pada 26 Disember ini, pukul 9.30 malam menonjolkan genre drama peperangan menyorot sisi seorang mekanik auto, James Busbee telah dihantar untuk melawan Jepun semasa Perang Dunia kedua. Dia meninggalkan isteri dan dua orang anak lelakinya, London dan Lada. Lada terasa kehilangan ayahnya dan sanggup melakukan apa sahaja supaya dia boleh membawa kembali bapanya kepangkuan keluarganya. Pelakon utama iaitu Jakob Salvati, Emily Watson, dan David Henrie.



Esoknya, 27 Disember ini, pukul 2.00 petang ikuti perjalanan cinta romantik dalam Dear Zindagi. Menampilkan lakonan mantap Alia Bhatt, Shah Rukh Khan, dan Kunal Kapoor, plot filem ini berkaitan Kaira seorang sinematografer sedang mencari kehidupan yang sempurna. Pertemuannya dengan Jug membantu Kaira mendapat perspektif baru dalam kehidupan.



Masih lagi kisah Hindustan, hari sama pukul 9.30 malam menghadiahkan kepada penonton filem Fan, sebuah drama aksi  kisah Gaurav yang obses dengan selebriti Aryan Khana. Dia memenangi pertandingan meniru gaya artis di tempatnya yang mana dia telah meniru gaya artis Aryan Khana. Disebabkan terlalu obses dia nekad untuk bertemu dengan Aryan Khana. Ia menampilkan kemunculan artis ternama Shah Rukh Khan, Sayani Gupta, dan Atul Sharma.



Sama-sama layari keindahan jalan cerita filem Ikinci Sans pada 28 Disember ini, pukul 10:30 malam tentang Yasmein, seorang guru matematik yang cantik bertemu dengan Cemal, seorang pemilik restoran yang berkarisma. Walaupun kedua-dua mereka mempunyai watak yang bertentangan, akhirnya mereka saling jatuh cinta. Ia mengetengahkan bakat lakonan Ozcan Denix, Nurgul Yesilcay dan Mesut Can Tomay.



Filem Dear Other Self lakonan Maria, Xian Lim dan Joseph Marco pula disiarkan pada 29 Disember ini, pukul 9:30 malam perjalanan cerita menarik seorang wanita yang menghadapi dilema sama ada meneruskan kerjayanya ataupun mengejar impiannya untuk mengembara. 

Kembali menggamit nostalgia dengan filem Nasib Si Labu Labi pada 30 Disember ini, pukul 9:30 malam kisah Haji Bakhil angau dengan Cikgu Murni yang datang minta derma di rumahnya. Dia meminta Labu dan Labi meminang Cikgu Murni tetapi ditolak oleh bapanya Haji Kemetot. Labu dan Labi cuba menculik Cikgu Murni tetapi gagal menyebabkan mereka dan Haji Bakhil ditangkap. Haji Bakhil membayar denda untuk dirinya sahaja manakala Labu dan Labi meringkuk dalam penjara. 

Misteri penjenayah menonjolkan watak utama aktor hebat Pierce Brosnan, di samping Jason Barry, Karen Moskow, Kai Rysdal, dan Rico Hizon mewarnai jalan cerita filem bertajuk I.T disiarkan malam menjelang tahun baharu, 31 Disember ini, pukul 8:30 malam. Kisahnya tentang Mike Reagan seorang yang kaya dan mempunyai kehidupan yang sempurna. Namun hidupnya mula punah apabila orang kepercayaannya yang menguruskan IT syarikatnya mula mengintip Mike dan keluarganya. Mike perlu menewaskan musuhnya dengan kemahirannya sendiri. 

Tanggal 1 Januari ini, pukul 1.00 tengah hari disiarkan filem Rudy Habibie merupakan filem biopik tahun 2016 karya Hanung Bramantyo merupakan sekuel dari fiem Habibie. Genre drama romantik ini mengangkat watak Rudy Habibie yang belajar di Jerman dan bercinta dengan Ilona seorang gadis dari Polandia. Namun setelah pengajiannya tamat Rudy berkahwin dengan Ainun seorang gadis Indonesia dan kembali ke Indonesia. Pelakon filem ini Reza Rahadian, Chelsea Islan dan Indah Permatasari.

Sementara itu sebelah malamnya pukul 9.30 malam, saksikan filem Jai Ho berkenalan dengan watak Jai seorang bekas tentera berpangkat Mejar berlawan menghapuskan penindasan Dashrath Singh dan orang-orangnya ke atas penduduk di sebuah kawasan. Dia juga berjaya membangunkan masyarakat penyayang di kawasan tersebut. Pelakon utama adalah Salman Khan, Daisy Shah, Tabu, Danny Denzongpa, dan Sunil Shetty.

Kerancakan barisan filem ini turut diwarnai dengan program hiburan dan muzikal untuk semua sesuai tontonan seisi keluarga. Muzikal Inggeris, Lady Antebellum -Wheels Up Tour Live pada 27 Disember ini, pukul 1.00 tengah hari menampilkan persembahan konsert Wheels Up Tour di California, USA oleh kumpulan Lady Antebellum dari Amerika Syarikat. Kumpulan ini terdiri daripada tiga orang anggota Hillary Scott, Chorles Kelly dan Dave Haywood.

Malam tahun baharu, 31 Disember ini, pukul 10.30 malam, RTM menyiarkan Konsert Kita Punya #2puluh2puluh @ RTM terbitan Unit Hiburan TV RTM gabungan 20 band popular dan artis solo terkenal tanah air. Artis memeriahkan konsert ini Dato AC Mizal, Ella, Sarah Suhairi, Sasi The Don, Fuying & Sam, Hujan, Bunkface, Kugiran Masdo, Floor 88, Paladin, Dato Awie & Dragon Malaya, House Band Lead, The Times, Joanna N Co, Subculture, Underpressure, The Fatalis, Azarra, Treehill, Iqbal.M, 7 Days, Pesawat, Super Massive, Reuz, dan Humanoid Band.

Akhir sekali luangkan masa berhibur dengan Konsert Minggu Ini (Ratu 2.0) pada 1 Januari ini, pukul 3.30 petang gabungan persembahan mantap 3 Ratu yang popular dan diminati ramai Ziana Zain, Ella dan Siti Nordiana.


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Komen