3 Ogo 2019

SALAM BAITULLAH, PROGRAM TERBAIK MUSIM HAJI


LEBIH sedekad menyumbang dalam memberikan maklumat dan informasi kepada bakal-bakal haji mengenai ibadah rukun Islam kelima dan perkembangan jemaah di tanah suci, RTM tahun ini membawakan program terbaik musim haji RTM iaitu Salam Baitullah 2019.

Dengan tema ‘Kembara Hati, Takzim Ilahi’ warna-warni suasana jemaah haji di Mekah dikongsikan program edisi ke-11 disiarkan secara langsung mulai 29 Julai hingga 12 Ogos ini, pukul 9.00 malam di TV1 dan saluran 123 Myfreview.

Siaran ulangan program 15 episod ini boleh diikuti setiap hari, mulai 30 Julai hingga 13 Ogos 2019, pukul 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang, di saluran yang sama. Siaran Langsung Salam Baitullah Edisi Khas (Wukuf) pula disiarkan pada 10 Julai ini, pukul 6.00 petang hingga 8.00 malam dan dari 9.00 hingga 11.00 malam.

Komitmen RTM dalam menyediakan perkhidmatan yang inklusif kepada masyarakat ini menerusi  laporan perkembangan terkini persiapan oleh kerajaan Arab Saudi, pengendalian dan pergerakan jemaah haji di Tanah Suci yang diuruskan oleh Tabung Haji. Uniknya rancangan ini kerana fokus utamanya menumpukan semua aktiviti dan pergerakan jemaah haji Malaysia. 

Tahun ini meneruskan kesinambungan dengan membawakan perkembangan semasa jemaah haji dan segmen–segmen menarik yang memberi satu pengalaman baharu kepada penonton dengan pelaporan secara langsung dari tanah suci bersama-sama pengacara di studio iaitu Ustaz Muhammad Hafiz Haneefa dan Ustaz Muhammad Tajdid Hadhari dengan Ustaz Ahmad Farkhan di dalam pelbagai segmen. 

Ada juga perkongsian bersama-sama tetamu jemputan Ustaz Elyas Ismail, Ustaz Zul Ramli M Razali, Dato. Dr Hj Abdul Basit Hj Abdul Rahman, Dr Sharifah Hayati, Dato Ustaz Zawawi Yusof, Ustaz Asyraf Mohd Ridzuan, Ustaz Roslan Mohamad, Ustazah Isfadiah, Ustaz Firdaus Wong, Ustaz Dr. Zahazan, Ustaz Haslin Baharin,  dan Ustaz Lim.

Di samping itu, berita mengenai para jemaah haji bakal dibawakan menerusi bingkisan “Dari tanah Suci”. Kru Salam Baitullah juga akan berkongsi ucapan jemaah menerusi bingkisan “Khabar Salam”. 

Selain itu, paparan kisah jemaah yang dekat dihati penonton dan menyentuh perasaan juga disiarkan menerusi bingkisan “Duyufur Rahman” (Tetamu Allah). Diikuti “Langsung Dari Tanah Suci” pula membawakan 'live telecast' pelapor bersama jemaah di tanah suci situasi dan aktiviti mereka.     

Segmen ‘Rehlah Haramain’ yang bermaksud tempat menarik tanah haram membawa penonton menyelusuri sirah Rasulullah dan tempat-tempat bersejarah yang belum pernah disiarkan di dalam Salam Baitullah sebelum ini.

Penonton Salam Baitullah juga tidak ketinggalan boleh mengambil bahagian menyertai kuiz dan membuat panggilan telefon di studio.

Menariknya program ini juga melibatkan kehadiran penonton di studio yang pelbagai seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan, komuniti setempat dan pelajar Tahfiz yang akan mengambil bahagian dalam sesi soal jawab bersama ahli panel dan tetamu jemputan. Untuk lebih interaktif, soalan juga dibuka kepada penonton melalui whatsapp, facebook, instagram dan twitter ‘Salam Baitullah’.

Program ini turut menyasarkan dapat memberikan laporan yang terbaik kepada penonton setia RTM di samping menjadi wadah dalam melengkapkan diri bagi mengerjakan Rukun Islam yang ke-5 kepada seluruh umat Islam.

Melalui penerbitan program ini juga, peranan Malaysia yang aktif sebagai negara anggota OIC khususnya dalam bidang penyiaran aktiviti haji dapat ditonjolkan. Pada masa sama dapat berkongsi peranan RTM dalam menyediakan program berorientasi Corporate Social Resposibility  (CSR) kepada komuniti Islam di Malaysia khususnya dan serantau umumnya.

Bagaimanapun sebelum Salam Baitullah bersiaran, segala perkembangan di tanah suci telah mula dilaporkan di dalam berita RTM dan program Selamat Pagi Malaysia melalui platform radio, TV dan media baharu.

Lima orang petugas media RTM di tanah suci terdiri daripada Muhammad Shahril Sarapudin, Mohd Shamsul Ishak, Iqbal Rizal Bahari, Lahmuddin Jamaluddin dan Abdul Halim Mohd Yusoff.


SALAM BAITULLAH 2019
Bahasa: Melayu
Episod: 15        
Hari: Setiap Hari (29 Julai hingga 12 Ogos)
Masa: 1.30 tengahari, 6 petang 
Saluran: TV1 & 123 Myfreview
Terbitan: RTM     


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan