3 Mac 2019

SEPUTIH CINTA RANG BULAN, CINTA PEMUDA BAJAU


RTM menerusi saluran TV Okey (Astro 109) menyiarkan drama bersiri terbaharu bertajuk ‘Seputih Cinta Rangbulan’ terbitan Global Station Sdn Bhd yang meneroka elemen kemasyarakatan, sosio budaya dan integrasi nasional dengan negeri Sabah sebagai lokasi utama.

Drama bersiri 50 episod arahan MP Roslin yang mula bersiaran 27 Februari ini, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 8.00 malam ini menampilkan barisan pelakon utama Fezrul Khan, Dayana Roza, Fasha Sandha, Rita Rudaini, Ruminah Sidek, Azwan Kombos, Lia Natalia, Wilma Muhammad dan Fikhree Bakar.

Menariknya, drama mengangkat penerokaan kisah masyarakat luar bandar di Kota Belud dengan perjuangan adat dan budaya selain penyatuan dua jiwa dari latar belakang yang berbeza di Semenanjung selain pada masa sama mempromosikan keindahan budaya dan etnik yang ada di Kota Belud dan Sabah amnya kepada semua penonton. 

Kisahnya bermula dengan kepulangan Ira dan rakannya Lydia yang baru kembali dari Dublin setelah tamat pengajian dalam bidang perubatan. Ira terus dengan sikapnya yang sombong dan berlagak seperti anak orang berada. 

Sikapnya itu tidak disenangi oleh Bella, adiknya. Ira kemudiannya diterima bertugas sebagai doktor pelatih di hospital Kota Belud Sabah. Ira kecewa kerana tidak mahu bertugas di kampung. Namun akhirnya dia terpaksa bersetuju.

Di Sabah dia berkenalan dengan Johan, pemuda Bajau yang juga graduan universiti dalam bidang arkitek. Johan memutuskan tinggal di kampung kelahirannya dan bekerja sambilan kerana perlu menjaga ibunya yang sakit. 

Johan berhubungan baik dengan dua beradik Benjy dan Suraya. Ira tetap dengan sikap sombongnya dalam melayan Johan yang dianggap pemuda kampung. Ketika itu ibu Johan mendapat rawatan daripada Ira yang cuba mengesan penyakitnya.

Ditakdirkan ibu Johan meninggal dunia setelah dirawat Ira. Suraya yang menyukai Johan dalam diam memfitnah Ira mengatakan Ira penyebab kematian ibu Johan. Benjy menggunakan kesempatan yang ada memujuk Ira. 

Ira dan Johan yang sebenarnya sudah mulai suka antara satu sama lain mula dingin. Benjy menasihatkan Johan supaya menikahi adiknya Suraya. Suraya mula mengukit kebaikan keluarganya dan kemuncaknya mahu membunuh diri. Johan yang tertekan akhirnya bersetuju.

Begitu pun setelah mengetahui kebenaran, Johan membatalkan perkahwinan mereka. Benjy begitu marah padanya apatahlagi bila mengetahui Johan mahu ke Kuala Lumpur bertemu Ira. Benjy terus bertindak pantas ke Kuala Lumpur bertemu Ira dan keluarganya. Kekayaan Benjy berjaya mengaburi mata keluarga Ira termasuk Bella. Benjy mengarahkan agar Johan dipukul.




Johan tiba di Kuala Lumpur bersama-sama dengan Kamal namun mereka telah dirompak. Tanpa sengaja mereka bertemu dengan ayah Ira, Pak Adnan yang kemudiannya menawarkan mereka bekerja sementara di restoren miliknya. Ira terus menyatakan kerinduannya terhadap Johan kepada Benjy. Benjy cemburu. Benjy terus memburukkan Johan kepada keluarga Ira.

Kecoh apabila muncul Hani, kekasih Benjy yang menyebabkan Ira marahkan Benjy. Benjy berjaya memujuk keluarga Ira dengan ceritanya. Ira akhirnya bertemu Johan yang bekerja dengan ayahnya. Ira memperkenalkan Johan adalah kekasihnya kepada keluarganya. Namun keluarganya lebih memilih Benjy kerana kemewahannya. Benjy memburukkan Johan kepada keluarga Ira.

Johan meminta tempoh setahun kepada keluarga Ira untuk membuktikan cintanya kepada Ira. Benjy berpura-pura baik mahu membantu Johan dan Kamal. Dato’ Nazri, bapa Lydia menawarkan Johan sebagai arkitek di syarikatnya. Ira gembira menerima berita itu. 

Hubungan Ira dan Johan bertambah mesra. Sebaliknya keluarga Ira mahu Benjy memujuk Ira menerimanya dan melupakan Johan. Ira tertekan kerana ibunya lebih menyebelahi Benjy. Sementara itu Johan komited dengan kerjayanya membuatkan Ira rasa terabai. Ira mula melayan Benjy dan keluar bersama-sama. Hubungan Johan dan Ira mulai dingin.

Kemunculan Iriani yang bersahabat dengan Johan menambah amarah Ira. Sedangkan Johan hanya menganggap Iriani sebagai pelanggan yang ingin mendapatkan khidmatnya untuk mengubah suai rumahnya.

Lydia cuba menjadi orang tengah memulihkan hubungan Johan dengan Ira. Johan berbincang dengan Iriani hal berkaitan kerja sebaliknya Iriani lebih berminat mahu mendekati Johan dengan lebih lagi. Johan terus terang dengan Ira tentang perasaannya. Keluarganya pula jadi penghalang kerana mereka lebih sukakan Benjy. 

Dalam diam Iriani berkomplot dengan Benjy untuk memutuskan hubungan Johan dengan Ira. Mereka mula pasang perangkap untuk memburukkan Johan di mata Ira dan cubaan mereka berjaya. Ira memutuskan hubungan dengan Johan. Johan mengamuk besar dan menyerang Benjy. Lydia minta Johan tidak putus asa sekiranya ikhlas sayangkan Ira.




Iriani mengupah lelaki menakut-nakutkan Ira. Iriani melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan Johan. Lydia dan Ira bercuti. Johan menggunakan kesempatan itu memujuk Ira dan mereka berbaik semula. Benjy kembali ke Kuala Lumpur dari Sabah dan berbuat baik dengan keluarga Ira. Ibu Ira berpakat dengan Benjy menyatukan hubungan mereka semula. 

Benjy memfitnah Johan dan Ira cuba membetulkan keadaan namun kecewa bila melihat Iriani keluar dari rumah Johan. Ira dan Johan terus bermusuh. Iriani minta Johan lupakan Ira. Ira menolak untuk berbaik dengan Johan. Kemuncaknya Iriani reka cerita kepada Benjy yang Ira dan Johan ingin kahwin lari ke Thailand. Iriani mula tak percayakan Benjy.

Iriani mulakan taktik kotor berbaik dengan Johan. Dia menyebabkan Johan keracunan makanan dan membantunya mendapatkan rawatan. Bella cuba membantu Benjy pulihkan hubungan dengan kakaknya. Ira pula menuduh Johan bercinta dengan Iriani. 

Iriani hilang tiba-tiba yang membuatkan Benjy kerisauan. Ketika ini Benjy sudah putus asa untuk mengejar cinta Ira. Benjy terkejut bila dimaklumkan penyiasat peribadinya Iriani adalah musuhnya. Benjy merasakan orang bawahannya cuba untuk membelot. Dia teringatkan Farouk, musuh lamanya dan risau rahsia perniagaan mereka terbongkar. 

Benjy mula mendapatkan bantuan Johan untuk menyiasat siapakah sebenarnya Iriani. Johan kemudiannya mengajak Ira berkahwin. Apakah penerimaan Ira? Bagaimana pula dengan Benjy? Ikuti kesudahannya dalam drama bersiri ini di TV Okey (Astro 109). 



SEPUTIH CINTA SANG RANG BULAN
Bahasa: Melayu
Episod: 50      
Hari: Setiap Isnin hingga Jumaat 
Masa: 8.00 Malam 
Saluran: TV Okey (Astro 109)
Terbitan: Global Station Sdn Bhd    
Arahan: MP Roslin 
Pelakon: Fezrul Khan, Dayana Roza, Fasha Sandha, Rita Rudaini, Ruminah Sidek, Azwan Kombos, Lia Natalia, Wilma Muhammad, Fikhree Bakar.



[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan