16 Jan 2019

JODOH, PILIHAN ATAU TAKDIR?


JODOH adalah takdir dan juga pilihan kerana jodoh adalah pilihan kita dan juga takdir Allah. Allah menyuruh kita untuk memilih jodoh yang baik. Jika kita sengaja memilih jodoh yang kita tahu boleh membahayakan kita, kita melanggar perintah dan mendapat dosa kerana kita sengaja mencampakkan diri dalam kebinasaan. Begitu juga sebaliknya.

Mengangkat kisah redhanya seorang wanita dengan jodoh yang telah ditakdirnya untuknya, RTM menyiarkan telemovie bertajuk Kau Selalu di Hatiku mengisi slot Panggung Seri pada 19 Januari ini, pukul 9.00 malam di TV1.

Membawa penonton menghayati watak wanita bernama Siti Zawiyah yang cekal dan tabah bergelar pendidik lakonan mantap pelakon Siti Elizad, telemovie ini turut dibintangi oleh Eddy Ashraf, Fattah Amin, Fauziah Nawi, dan Eyka Farhana.

Babak-babak plot arahan Jumal Yunus ini bermula dengan paparan pergolakan dalam diri seorang pelajar miskin bernama Ridzuan yang dalam diam menyimpan perasaan terhadap guru sekolahnya iaitu Cikgu Siti Zawiyah. Pada mulanya cinta Ridzuan tidak berbalas kerana Cikgu Siti Zawiyah sudah mempunyai tunang, iaitu Azlam.




Namun Ridzuan tidak berputus asa. Dia terus berusaha untuk memikat hati Cikgu Siti Zawiyah dengan pelbagai cara meskipun sedar terdapat pelbagai rintangan yang perlu dihadapinya. Faktor umur dan status tidak pernah diendahkannnya. 

Ketika Cikgu Siti Zawiyah berjauhan dengan tunangnya, Ridzuan akhirnya berjaya juga mencuri hati Cikgu Siti Zawiyah. Namun keduanya masih meneruskan hubungan secara profesional antara seorang guru dan juga pelajarnya.

Setelah keputusan SPM diumumkan, Ridzuan mendapat tawaran masuk ke Universiti dan ini menggembirakan semua termasuk Cikgu Siti Zawiyah. Sedar pelajarnya itu tidak mampu daripada segi kewangan, pembelajaran Ridzuan telah di biayai secara rahsia oleh Cikgu Siti Zawiyah atas dasar mahu membantu anak bangsanya sendiri berjaya. Dia percaya Ridzuan pelajar cemerlang yang dapat mengubah nasib keluarganya kelak.




Masa berlalu takdir Allah menentukan berlaku keretakan dalam rumahtangga Cikgu Siti Zawiyah dengan Azlam apabila dia mengetahui Azlam mempunyai kekasih lain dan berlaku curang. Pada masa sama juga akhirnya terbongkar rahsia Cikgu Siti Zawiyah turut menjadi mangsa dera suaminya itu.

Setelah tamat pengajian di Universiti, Ridzuan mula menjejaki Cikgu Siti Zawiyah atas dasar ingin membalas jasa baik cikgunya itu selama ini. Namun dia begitu sedih apabila mendapati Cikgu Siti Zawiyah kini bukanlah seperti dirinya yang dahulu. Dia yang sekarang hanya mampu duduk di kerusi roda kerana lumpuh.

Ternyata cinta Ridzuan terhadap Cikgu Siti Zawiyah tidak pernah berubah. Dia mengambil keputusan mahu menjadikan bekas gurunya itu sebagai isterinya. Namun adakah Cikgu Siti Zawiyah terbuka hati mahu menerimanya? Ikuti kesudahannya di TV1.



KAU SELALU DI HATIKU
Bahasa: Melayu
Tarikh Siaran: 19 January 2019
Hari: Sabtu 
Masa: 9 Malam
Saluran: TV1  
Pelakon: Siti Elizad, Fattah Amin, Aedy Ashraf, Fauziah Nawi, Eyka Farhana


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan