21 Jan 2019

EMMA ROBERTS JADI DETEKTIF DALAM FILEM NANCY DREW


FILEM bergenre komedi misteri, Nancy Drew yang dibintangi oleh Emma Roberts, Josh Flitter, Max Thieriot, Rachael Leigh Cook, dan Tate Donovan menemui penonton RTM pada 22 Januari ini, pukul 9.30 malam menerusi TV2.

Karya arahan Andrew Fleming ini menceritakan tentang seorang gadis muda bernama Nancy Drew dan ayahnya berstatus duda iaitu Carson Drew yang berpindah dari River Heights ke California hanya untuk tempoh beberapa bulan saja.

Nancy dikenali sebagai gadis yang mudah tertarik dengan misteri-misteri pembunuhan yang belum diselesaikan. Baginya berdepan dengan situasi itu membuatkannya rasa seronok dan mencabar dirinya sendiri.

Justeru disebabkan itulah dia memutuskan untuk tinggal di sebuah rumah di California, di mana di rumah tersebut pernah berlaku kejadian pembunuhan seorang artis bernama Natalie Wood yang kesnya tidak pernah selesai sehingga kini.



Rumah itu dimiliki oleh individu bernama Dehlia Draycott. Ayah Nancy yang sedar tentang minat pelik anaknya itu terus meminta Nancy untuk tidak memperdulikan hal itu dan memberikan lebih fokus pada hal-hal persekolahannya.

Pada awalnya Nancy berusaha untuk menuruti kehendak ayahnya dengan tidak mempedulikan kes itu. Tetapi usahanya gagal. Otaknya masih ligat memikirkan cara dan jalan bagaimana mahu menyelesaikan misteri pembunuhan itu dan mencari pembunuh sebenar yang masih bebas. Situasi sama membuatkan tumpuannya di sekolah gagal.

Ketika itu juga Nancy begitu kecewa kerana tidak mempunyai kawan di sekolah. Dia berasa terasing di sekolah baru itu. Mujur ada seorang lelaki bernama Corky yang mahu berkawan dengannya.




Kerana tidak dapat memberi tumpuan di sekolah, Nancy memutuskan untuk meneruskan usaha untuk menyelesaikan misteri itu tanpa sepengetahuan ayahnya. Nancy pun memulakan siri penyiasatannya.

Ketika sedang menyelidik hal itu dia menemui sepucuk surat yang ditulis oleh Draycott kepada seseorang bermula huruf Z yang disyakki oleh Nancy sebagai orang yang pernah dicintai oleh Draycott.

Dia juga terjumpa beberapa foto milik Draycott yang ditinggalkan di rumah tersebut. Nancy kemudian menemukan fakta penting bahawa sebelum kematiannya, Draycott memiliki seorang anak dan menyerahkannya kepada keluarga angkat. Lalu apakah kisah selanjutnya? Dapatkan Nancy mencari jawapan penyelesaian kepada misteri itu? 



NANCY DREW
Tarikh Siaran: 22 January 2019
Hari: Selasa 
Masa: 9.30 Malam
Saluran: TV2  
Pelakon: Emma Roberts, Josh Flitter, Max Thieriot, Rachael Leigh Cook, Tate Donovan



[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan