19 Jan 2019

ASPIRASI, JAUHARI BANGSA SIRI 3


BERKONSEPKAN majalah yang memaparkan aktiviti-aktiviti yang dilakukan dalam membantu para penduduk dan menangani masalah tertentu, RTM berkongsi prihatin dengan menyiarkan program bertajuk Jauhari Bangsa mulai 20 Januari ini, setiap Ahad, pukul 6.00 petang di TV1. 

Memasuki musim ketiga siarannya, program 13 episod menampilkan hos Halim Radzi ini semakin mantap mengupas informasi berkaitan ternakan akuakultur Ikan Tilapia, pembinaan tebatan banjir di sesebuah kawasan, membantu golongan wanita dari pelbagai segi termasuklah aspek ekonomi, kaedah pengambilan darah untuk ujian kandungan gula dalam badan, dan peranan untuk memastikan sukan terus berkembang dengan penubuhan lebih banyak kompleks sukan.

Turut diketengahkan peranan yang penting dalam menjana ekonomi negara, penghasilan kraf tangan yang dihasilkan oleh masyarakat Malaysia yang kreatif, berkisar pada sukan sepak takraw yang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu, juga bertumpu kepada kumpulan B40 di Perlis yang perlu diberi perhatian dalam meningkatkan taraf hidup.

Tidak sekadar itu, program ini berkaitan dengan peranan yang dimainkan oleh SME Corp. untuk membantu para peniaga dalam pelbagai aspek, memfokus pada peranan yang dipikul oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM), mengupas maklumat berkaitan masalah penyakit jantung dan berkongsi maklumat berkaitan dengan penternakan tiram.    

Pengenalan majalah ini mengupas informasi tentang ternakan akuakultur ikan tilapia yang memfokus pada spesies baru ternakan ikan tilapia yang dikenali sebagai GIFT – Genetically Improved Farm Tilapia. Pegawai Penyelidik MADA memaklumkan projek tersebut dimulakan sejak 2001 di mana benih GIFT sentiasa ditambah baik bagi meningkatkan kualiti dan telah mencapai generasi ke 17. 

Antara fungsi Jabatan Pengairan dan Saliran ialah pembinaan tebatan banjir di sesebuah kawasan. Kejadian banjir di Jitra dan Alor Setar telah mencetuskan idea Projek Tebatan Banjir Sg. Kedah. Mereka berkongsi tentang konsep pengorekan tanah serta pembinaan struktur tebing yang lebih stabil apabila siap kelak. 

Paparan lawatan ke tapak projek ditunjukkan seperti di Baraj Alor Geluncur serta Ampang Jajar. Mereka juga berkongsi manfaat-manfaat yang didapati melalui projek Tebatan Banjir Kedah apabila siap kelak.

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) berusaha membantu wanita dari pelbagai segi dan antaranya berkisar pada aspek ekonomi. Hos berkongsi fungsi serta peranan yang dijalankan oleh JPW. Antara aktiviti yang disediakan oleh pihak jabatan merangkumi beberapa siri kelas kemahiran, kelas bimbingan dan kaunseling, literasi undang-undang serta seminar keusahawanan ‘U Boleh’. 

Hos juga berkongsi kisah kejayaan dengan menemu bual beberapa orang peserta yang mula menghasilkan pendapatan berganda selepas menyertai program ditawarkan oleh pihak JPW. Kumpulan sasaran ialah wanita lepasan universiti, ibu tunggal dan golongan yang mahu meningkatkan ekonomi keluarga.

Episod seterusnya berkisar kepada inovasi yang dijalankan berkaitan kaedah pengambilan darah untuk ujian kandungan gula dalam badan. Beliau berkongsi kelebihan penggunaan alat yang diinovasinya melalui pengambilan air liur untuk diuji bagi menggantikan ujian melalui pengambilan darah. 

Beliau mencipta Alat Pengesan Diagnostik Penyakit Pantas yang mampu mengesan sebanyak 24 jenis penyakit. Aspek lain yang turut dipaparkan ialah aspek agroteknologi dengan penyediaan Rumah Hijau hasil kajian pihak UNIMAP. Buah mempelam Harum Manis tanpa musim mampu dihasilkan yang bermakna buah tersebut boleh dinikmati sepanjang tahun. 

Peranan Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) memastikan sukan terus berkembang dengan penubuhan lebih banyak kompleks sukan. Antaranya ialah melalui kewujudan Kompleks Belia & Sukan dan berkongsi pelbagai maklumat yang berkaitan. 

Rancangan memaparkan beberapa gelanggang yang sering digunakan oleh masyarakat seperti gimnasium, gelanggang badminton, futsal dan juga padang bola sepak sintetik.

Industri pembalakan memainkan peranan yang penting dalam menjana ekonomi negara. Dr. Kodi dari Perbadanan Kemajuan BioEkonomi Malaysia di bawah Kementerian Sains Teknologi Dan Inovasi berkongsi penjelasan dan peranan penjanaan ekonomi berasakan kepada teknologi bio. 

Episod kali ini bertumpu pada penghasilan kraf tangan yang dihasilkan oleh masyarakat Malaysia yang kreatif. Perbadanan Kemajuan KrafTangan Malaysia diwujudkan pada tahun 1979 untuk membantu usahawan kraf dalam penghasilan serta pemasaran produk kraf tangan. 

Berkongsi hasrat dan hala tuju kerajaan dalam industri kraf antaranya mengadakan pameran setiap tahun sebagai langkah pendedahan industri kraf kepada semua golongan masyarakat bagi merancakkan industri tersebut.

Tumpuan episod seterusnya berkisar pada sukan sepak takraw yang sinonim dengan masyarakat Melayu dahulu. Namun kini hakikatnya sukan tersebut semakin kurang mendapat perhatian masyarakat. Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengulas sejarah sukan tersebut di Malaysia dan negara Asean amnya. Tan Sri Mohd Yusof Latif, mantan Presiden PSM juga berkongsi pengalaman beliau dalam memperjuangkan dan menaikkan martabat sukan tersebut. 

Ikuti episod menumpukan kepada kumpulan B40 di Perlis yang perlu diberi perhatian dalam meningkatkan taraf hidup. Kumpulan B40 ini dikategorikan berpendapatan rendah dan merupakan kumpulan sasaran. 

Rancangan menemu ramah Hj. Mohd Nazim Mohd Nor dari Majlis Agama Islam & Adat Melayu Negeri Perlis berkongsi pelbagai maklumat berkaitan. Antara yang difokuskan mereka ialah bantuan sara hidup dan bantuan perumahan untuk golongan asnaf. 

Saksikan perkongsian berkaitan dengan peranan yang dimainkan oleh SME Corp. untuk membantu para peniaga dalam pelbagai aspek, fokus pada peranan yang dipikul oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) menerusi temu ramah berkongsi teknologi yang digunakan bagi menghasilkan produk berasaskan getah, mengupas maklumat berkaitan masalah penyakit jantung.

Ia diakhiri  tumpuan memilih lokasi di Universiti Sains Malaysia (USM) berkongsi maklumat berkaitan dengan penternakan tiram. Temu ramah dilakukan bersama beberapa orang penternak tiram yang sudi berkongsi maklumat, sejarah penglibatan mereka serta manfaat dalam penternakan tiram. 
JAUHARI BANGSA 
Episod: 13      
Hari: Setiap Ahad (Mulai 20 Januari 2019)
Masa: 6 petang
Saluran: TV1 
Terbitan: RTM      
Pengacara: Halim Radzi 


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan