25 Dis 2018

TV2 SIAR FILEM, TELEMOVIE TERBAIK MENJELANG SAMBUTAN TAHUN BAHARU 2019



TAHUN 2018 bakal melabuhkan tirainya. Mengimbas kembali perjalanan sepanjang tahun ini RTM telah berkongsi tayangan banyak program khasnya filem dan telemovie terbaik untuk semua penonton setia salurannya. 

Menjelang sambutan tahun baharu 2019 yang bakal diraikan, RTM menerusi saluran TV2 telah pun menyediakan variasi tiga filem dan sebuah telemovie mengisi slot popular menghiburkan waktu malam anda termasuklah slot Bollywood (setiap Rabu, pukul 9.30 malam), Golden Dragon (setiap Khamis, pukul 9.30 malam), slot Citra (setiap Jumaat, pukul 9.30 malam) dan Layar Asia (setiap Sabtu, pukul 10.00 malam). 

Disiarkan empat hari berturut-turut, pada 26 Disember ini, pukul 9.30 malam disiarkan filem romantik komedi arahan Raj Nidimoru dan Krishna D.K. bertajuk Happy Ending yang mengangkat kisah percintaan lelaki yang takut membuat keputusan berkahwin. 




Happy Ending
Lakonan mantap Kareena Kapoor, Saif Ali Khan, Kalki Koechlin, Govinda, Ranvir Shorey dan Ileana D'cruz ini mengisahkan Yudi Jaitely, tinggal di Los Angeles dan mempunyai ramai teman wanita. 

Apabila seseorang teman wanitanya ingin berkahwin dengannya, Yudi akan memutuskan hubungan itu dengan serta merta. 

Yudi berkerja sebagai seorang pengarang buku, tetapi selama lima tahun kebelakangan ini dia tidak menulis buku baru kerana menghadapi 'mental block'. Oleh kerana itu, beliau menghadapi masalah kewangan. 

Pada suatu hari, beliau berjumpa Aanchal Reddy, seorang penulis buku dari India yang mempunyai buku 'hot-seller' di pasaran. Tidak lama kemudian, Yudi berjatuh cinta dengan Aanchal dan ingin berkahwin dengan beliau tetapi lamaran Yudi itu ditolak oleh Aanchal. 

Aanchal kemudian pulang ke Mumbai. Yudi kini merasa amat kecewa. Yudi insaf bahawa dia memang ikhlas mencintai Aanchal dan tidak boleh hidup tanpa Aanchal. Yudi juga ke India untuk menemui Aanchal. Yudi cuba meyakinkan Aanchal mengenai percintaannya. Namun adakah Aanchal setuju berkahwin dengannya?




Fist Of Legend

Dalam slot Golden Dragon yang menyiarkan seleksi filem Kantonis pula menyiarkan filem Fist of Legend pada 27 Disember ini, pukul 9.30 malam. 

Filem seni bela diri Hong Kong yang meletakkan Jet Li sebagai penerbit dan Yuen Woo-ping sebagai koreografer kungfu. Ia merupakan remake daripada filem Bruce Lee tahun 1972, Fist of Fury. 

Fist of Legend menceritakan Chen Zhen, seorang mahasiswa China di Universiti Kyoto, yang telah dilayan dengan buruk oleh orang Jepun yang merupakan teman-teman sekuliahnya. 

Namun Chen yang memiliki kelebihan seni bela diri ternyata mampu mengatasi mereka. Satu hari, Chen menerima berita gurunya, Huo Yuanjia, tewas setelah dikalahkan seorang petarung Jepun. Apa tindakan selanjutnya yang diambil Chen? 




Telingkah

Telemovie persilatan bertajuk Telingkah arahan Wan Afzam Wan Daud, terbitan Unit Drama TV RTM menyusul mengisi slot Citra pada 28 Disember ini, pukul 9.30 malam. 

Menariknya telemovie ini mengisahkan pertarungan dua orang pahlawan yang ingin mencapai misi bagi merebut sebuah peti rahsia yang mengandungi dokumen dan peta istana kubu kuat pertahanan Negeri Melaka. 

Mereka terperangkap dalam suatu tempat yang sama akhirnya membawa kepada pertelingkahan. Babak-babak drama seni mempertahankan diri ini menampilkan pelakon Azlan Komeng, Yusran Hashim, Che Kem, Nur Farahaizah Ahmad, Siti Elizad, Kamarozaman Yusof, Aidaruyati, Myza Rafika, Bella Paloma, dan Syalizawani. 




Polis Evo

Karya sutradara Ghaz Abu Bakar yang menampilkan tunggak utama, Shaheizy Sam, Zizan Razak, Allahyarham Harun Salim Bachik, Pablo Amirul, Amerul Affendi, Mimi Ernida, Nora Danish, Wan Hanafi Su, dan Eyka Farhana disiarkan dalam filem “Polis Evo” mengisi slot Layar Asia pada 29 Disember ini, pukul 10.00 malam. 

Filem aksi komedi popular ini memaparkan dua anggota polis, Khai dan Sani yang mempunyai personaliti yang sangat berbeza tetapi mereka harus berkerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah. Berjayakan Sani dan Khai menyelesaikan misi mereka bersama?


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan