4 Dis 2018

SYURGA KECIL KAMI, DUGAAN MENANTI ZURIAT



HAKIKATNYA tiada satupun pasangan suami isteri yang telah Allah satukan dalam pernikahan yang sah yang tidak mahukan zuriat. Tapi rezeki manusia itu berbeza-beza. Ada yang sudah bernikah bertahun-tahun lamanya tapi masih belum ada rezeki anak. Orang keliling hanya tahu bertanya dan berkata tanpa fikir perasaan orang lain.

Mengangkat kisah sama, RTM menyiarkan telemovie bertajuk Syurga Kecil Kami pada 5 Disember ini, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV2 yang berkongsi perasaan pasangan suami isteri yang belum dikurniakan zuriat walaupun sudah lama mencuba untuk tujuan itu. 

Menampilkan lakonan mantap Irdina Ridwan, Wan Sharmila, Falisia Crossley dan Zain Hamid, perjalanan plot drama ini bermula dengan watak utama sumai bernama Rizal yang berkahwin dengan Farah. 

Mereka merupakan pasangan kekasih dari zaman universiti lagi. Meskipun berkahwin atas dasar suka sama suka namun mereka merancang untuk membina kerjaya yang stabil sebelum mempunyai anak di mana Farah mengambil pil perancang. 

Masa berlalu Rizal bosan setelah melihat rakan mereka sudah mempunyai keluarga dengan anak-anak. Timbul perasaan  kecewa kerana belum dikurniakan zuriat kerana Farah yang masih belum bersedia untuk bergelar ibu dalam masa terdekat. 

Konflik mula timbul dan Farah mengambil seorang anak angkat, Puteri yang menjadi yatim piatu setelah ayahnya meninggal dunia ketika terlibat dalam kemalangan dengan Farah. Farah rasa bersalah lalu cuba menebus kesalahannya dengan berjanji menjaga Puteri seperti anaknya sendiri.

Begitu Rizal tidak suka akan Puteri kerana beliau inginkan anaknya sendiri. Apatah lagi baginya dia mampu untuk memberikan zuriat sendiri cuma tindakan Farah yang terus-terusan ‘merancang’ tidak membolehkan mereka memiliki anak sendiri.

Kesudahannya Rizal mula berlaku curang dalam diam menjalin hubungan cinta dengan Nilam Sari, rakan sekerjanya. Keadaan menjadi huru-hara apabila Farah mengetahui akan situasi tersebut dan meninggalkan Rizal. Dia begitu kecewa dengan tindakan Rizal sedangkan pada masa sama Farah sudah bersedia mengandungkan zuriat suaminya itu. 

Tidak lama kemudian, Rizal sedar akan kesilapan beliau dan berusaha mencari Farah dan Puteri untuk memohon maaf dan membina semula keluarga mereka setelah mengetahui yang Farah akhirnya mengandung.

Namun masihkah ada ruang kemaafan buat Rizal? Dapatkah dia meyakinkan isterinya itu yang dia sedar akan kesilapannya itu? Ikuti kesudahannya dalam telemovie ini. 



SYURGA KECIL KAMI
Tarikh Siaran: 5 Disember 2018
Hari: Rabu 
Masa: 9.30 malam
Saluran: TV2    
Pelakon: Irdina Ridwan, Wan Sharmila, Falisia Crossley, Zain Hamid



[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan