22 Dis 2018

AMBON, PENGALAMAN CUTI SEKOLAH DI KAMPUNG


APAKAH pengalaman cuti sekolah anak-anak anda? Pergi melancong ke dalam negeri mahu pun luar negara? Pastinya melakukan apa sahaja aktiviti asalkan meluangkan masa bersama keluarga yang tercinta. Namun realitinya bagi anak-anak yang tinggal di bandar, kegembiraan cuti sekolah pastinya berganda bila dapat meluangkan masa pulang menjenguk nenek dan datuk di kampung.

Masakan tidak, dalam tempoh masa cuti persekolahan inilah anak-anak dapat melakukan aktiviti di kampung contohnya mandi sungai, dan merasai resipi masakan air tangan nenek sendiri. Pada masa sama dapat melupakan seketika gajet yang menjadi peneman setia seperti sebelumnya.

Khas cuti sekolah ini, RTM menyiarkan telemovie bertajuk Ambon pada 23 Disember ini, pukul 10.05 pagi di TV1 yang dibintangi pelakon Muhammad Aidil Rafiq, Ebby Yus, Zarina Zainuddin, Fateha Khairul Nizam dan Alif Hadi.

Telemovie arahan Amin Masyhur ini memaparkan tentang Ambon, seorang budak lelaki yang berumur 10 tahun bersekolah di bandar menghabiskan cuti sekolah di kampung neneknya. Pada masa yang sama, sepupunya Nadia yang juga bersekolah di bandar datang bercuti di kampung neneknya. 

Nadia seorang budak yang kurang berkawan, suka bermain bersendirian dan gemar menggunakan gajet-gajet komputer. Manakala, Ambon pula mempunyai pengetahuan tentang komputer tetapi gemar berkawan dan bersosial. Ambon seorang budak yang sangat peramah. Manakala, Nadia pula sangat pendiam. 

Apabila bercuti di kampung, Ambon mempunyai ramai kawan. Sebaliknya, Nadia tidak suka berkawan. Tetapi Ambon cuba mengajak Nadia berkawan dan tidak menyombong diri. Di kampung juga mereka mengenali Chan, Pul, Kak Aida, Abang Edi, Tuk Sabariah dan Haji Jefri.

 Ambon dan kawan-kawannya berkawan baik, bermain bersama-sama seperti bermandi-manda di sungai serta bermain dengan serangga dan rama-rama. Satu perkara yang terpuji yang dibuat oleh Ambon dan Nadia adalah menjadi orang perantaraan yang dapat mengeratkan perhubungan antara Abang Edi dan Kak Aida. Pada masa sama juga mereka juga menjadi wakil perhubungan antara Tuk Sabariah dan Haji Jefri. 

Kemuncak kepada kisah keangkuhan Nadia ialah apabila Nadia bersikap sombong, tidak mahu bergerak bersama-sama ketika mereka berjalan di hutan. Akhirnya Nadia tersesat jalan, jatuh ke dalam lubang dan kakinya cedera. 

Ambon dan rakan-rakan berusaha mencari Nadia. Dalam pada itu, Nadia mula insaf dan ingin memohon maaf atas keegoannya sebelum ini. Bagaimanakah Nadia dijumpai? Ikuti kesudahan telemovie penuh pengajaran ini di TV1. 



AMBON
Tarikh Siaran: 23 Disember 2018
Hari: Ahad
Masa: 10.05 pagi
Saluran: TV1   
Pelakon: Muhammad Aidil Rafiq, Ebby Yus, Zarina Zainuddin, Fateha Khairul Nizam dan Alif Hadi


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan