19 Nov 2018

PENGHIJRAHAN 3 QUL


BERSEMPENA sambutan Maulidur Rasul tahun 1440 Hijrah ini, yang jatuh pada 20 November 2018, RTM akan menyiarkan telemovie khas kisah tentang penghijrahan pemuda yang menjadikan contoh sifat dan kehidupan Nabi Muhammad S.A.W sebagai teladan terbaik dalam kehidupannya yang mulai tersasar jauh.

Menerusi telemovie diberi tajuk 3Qul yang disiarkan pada 20 November ini, pukul 2.00 petang menerusi saluran TV2, menariknya ia menampilkan lakonan mantap Johan As'ari, Shafie Naswip, Nik Adam Mika, Wan Sharmila, Rashid Jaafar, Shakilla Khoriri, dan Qazem Nor.

Telemovie arahan Haris Kadir ini mengetengahkan kisah watak Faiz mempunyai seorang isteri yang sarat mengandung. Dia tinggal bersama bapa mertua dan iparnya Nazrul di sebuah kampung. Faiz tiada pekerjaan tetap. Lalu dia menjadikan punca rezekinya dengan mencuri harta penduduk kampung. 

Perbuatannya itu menjadi kecaman dan memalukan keluarga. Bapa mertuanya selalu menasihatinya supaya berubah. Begitu pun Faiz masih dengan sikap buruknya itu tanpa sekalipun niat untuk berubah.




Kesudahannya Faiz melarikan diri ke kota apabila sering menjadi perhatian penduduk kampung. Di kota dia terjebak dengan pelbagai lagi kerja maksiat. Dia seronok melakukan kesalahan tersebut apatahlagi tinggal di bandar tiada siapa yang dapat memantau perbuatannya itu. 

Namun satu hari segalanya berubah. Semuanya disebabkan apabila hampir setiap malam beliau mengalami mimpi buruk iaitu hari kematiannya telah hampir. Faiz menjadi tidak menentu dan akhirnya membuat keputusan untuk bertaubat dan belajar agama. 

Kepulangannya merisaukan Pak Hassan, bapa mertuanya. Beliau bimbang Faiz akan mengulangi kerja lamanya dan membawa pergi cucunya Ilham yang dipelihara setelah kematian isteri Faiz. Namun hakikatnya Faiz kini telah benar-benar berubah dan akhirnya diterima tinggal di rumah mertuanya. 

Setiap malam beliau belajar al-Qur'an dengan seorang ustaz apabila anaknya mendesak supaya dia diajar Surah 3 Qul untuk disedekahkan kepada arwah ibunya. Samada mahu atau tidak Faiz bersungguh-sungguh menghafal surah tersebut. 

Sementara itu Nazrul yang baru pulang dari kota ke kampung hampa apabila duit yang dicari untuk meminang Malisa masih tidak mencukupi. Bingung dengan desakan keluarga Malisa beliau mengambil jalan singkat menjual tanah ayahnya dengan menipu tandatangan. 

Rancangan tersebut gagal apabila diketahui ayahnya. Untuk menyelamatkan keadaan Faiz bersetuju membiayai perkahwinan Nazrul dengan Malisa menggunakan wang simpanannya. Mereka sekeluarga dikejutkan apabila bapa mertuanya tidak sedarkan diri dan meninggal dunia.



3QUL
Tarikh Siaran: 20 Disember 2018
Hari: Selasa 
Masa: 2 petang
Saluran: TV2
Pengarah: Haris Kadir  
Pelakon: Johan As'ari, Shafie Naswip, Nik Adam Mika, Wan Sharmila, Rashid Jaafar, Shakilla Khoriri, Qazem Nor.


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan