19 Nov 2018

MALAIKAT PUN TAHU


CINTA tidak dapat dipisahkan dengan hati dan perasaan. Hakikatnya cinta yang jujur dan ikhlas dapat mengatasi segala halangan termasuk kedudukan dan darjat. Mengangkat sisi keberkatan dalam sesuatu hubungan ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah, RTM tampil dengan telemovie bertajuk Malaikat Pun Tahu pada 20 November ini, pukul 11.05 pagi di TV1.

Telemovie khas sempena sambutan Maulidur Rasul ini mengetengahkan lakonan mantap pelakon berpengalaman termasuklah Syafie Naswip, Sweet Qismina, Dato’ Shah Reza, Connie Norlidah Ahmad, dan Qazim Nor. 

Kisahnya berkembang dengan watak utama iaitu Lutfi seorang penulis cerpen Islamik yang tinggal di Melbourne, Australia. Satu hari dia telah berjaya menyelamatkan beg wanita bernama Tengku Ashikin yang dilarikan peragut. 

Kebetulan Lutfi pula bekerja dengan Tengku Ashman yang merupakan abang kepada Tengku Ashikin. Lutfi yang telah pun putus tunang dengan Marlia telah jatuh cinta kepada Tengku Ashikin lalu melamar Tengku Ashikin menjadi isterinya. 

Mereka berkahwin di Melbourne dengan diwalikan oleh Tengku Ashman tanpa pengetahuan ibu bapa mereka di tanah air. Perkahwinan tersebut dirahsiakan kerana bapa mereka, Tengku Amran ingin menjodohkan Tengku Ashikin dengan orang yang sama keturunan dengan mereka. 

Hubungan Lutfi dan Tengku Ashikin sedikit goyah apabila Marlia terjumpa Lutfi dan meminta dia diberikan peluang kedua setelah Tengku Ashman menolak untuk dijodohkan dengan Marlia yang diatur oleh keluarga mereka. 

Dalam masa yang sama, Tengku Ashikin terjatuh dan telah dikejarkan ke hospital. Dia telah keguguran setelah mengandung dua bulan dan turut disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat. 

Tengku Amran yang pada mulanya tidak merestui perkahwinan Lutfi dengan Tengku Ashikin telah berubah hati setelah Tengku Ashikin jatuh sakit dan melihatkan kesungguhan serta keikhlasan Lutfi. Namun masihkah ada peluang untuk keduanya kembali melalui saat-saat bahagia dalam kehidupan bersama? 



MALAIKAT PUN TAHU
Tarikh Siaran: 20 Disember 2018
Hari: Selasa 
Masa: 11.05 pagi
Saluran: TV1   
Pelakon: Syafie Naswip, Sweet Qismina, Dato’ Shah Reza, Connie Norlidah Ahmad, Qazim Nor


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan