19 Nov 2018

AKSARA KASIH AYAH



KISAH kasih sayang tulus di antara bukan darah daging iaitu seorang anak angkat dengan sebuah keluarga angkat dibawakan RTM dalam drama bersiri bertajuk Aksara Kasih Ayah mulai 20 November ini, setiap Isnin hingga Ahad, pukul 6.00 petang menerusi saluran TV Okey (Astro 109).

Menampilkan pelakon Saufi Qahhar, Wafiy Ilhan, Zamarul Hisham, Izreen Azminda dan Awang Hamyzan, 13 episod drama ini memaparkan kisah kekeluargaan yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita bila mana seorang ayah itu jarang menunjukkan rasa kasih kepada anak secara terang-terangan. Berbeza dengan ibu yang dilihat sangat mengambil berat kebajikan si anak.  

Ia bermula dengan watak Badrul dan Aminah belum mempunyai anak setelah beberapa ketika mendirikan rumah tangga. Aminah mengidap sakit kanser dan pemeriksaan doktor terkini mengesahkan yang kesihatan beliau semakin baik. Beliau menyatakan hasratnya untuk mengambil anak angkat bagi menemaninya di rumah akibat kesunyian, namun tidak diendahkan Badrul. 




Aminah berkongsi masalahnya Kak Mon yang merupakan seorang janda dengan 4 orang anak. Badrul sedar yang Aminah merajuk dengannya berkaitan isu anak angkat tempoh hari. Dia mengajak Kak Mon serta anak-anaknya ke rumah untuk menjamu mereka makan sebagai hadiah seorang anaknya berjaya memasuki sekolah berasrama dan juga untuk menggembirakan Aminah.

Setelah dinasihati Hamid, Badrul akur dengan kehendak Aminah untuk mendapatkan anak angkat untuk mengubati kesunyian dirinya. Badrul akhirnya bersetuju dan mengajak Aminah ke pejabat Kebajikan Masyarakat untuk membuat permohonan anak angkat. Selepas beberapa ketika, Aminah gembira apabila permohonan mereka diluluskan. 

Seorang anak lelaki berusia 10 tahun bernama Hilmi dari sebuah rumah anak yatim dipilih untuk dijadikan anak angkat Badrul dan Aminah. Hilmi telah dimaklumkan oleh ustaz bahawa beliau akan berpindah ke rumah keluarga angkat yang baru. Hilmi sedih dengan keadaan berikut kerana beliau terpaksa berpisah dengan rakan-rakan beliau di rumah anak yatim tersebut.





Aminah sibuk siapkan bekalan makanan untuk Hilmi bawa ke sekolah. Badrul menghantar Hilmi ke sekolah dan beliau juga memberikan Hilmi wang belanja. Hilmi menghulurkan tangan untuk bersalam dan mencium tangan Badrul namun Badrul tidak menyambutnya, hanya mengusap kepala Hilmi. 

Keadaan sebegini sudah berlaku berulang kali seolah-olah Badrul belum menerima Hilmi dengan sepenuh hati. Aminah bersyukur mendapat anak seperti Hilmi yang rajin, taat serta cemerlang dalam pelajaran. 

Beberapa ketika berlalu dan Hilmi sudah meningkat remaja. Suatu petang, Badrul memarahi dan memukul Hilmi kerana pulang lewat dari sekolah akibat menghadiri latihan bola sepak dan tidak menjaga ibunya yang sedang sakit. 




Fikiran Badrul sedang kusut ketika itu memikirkan kesihatan Aminah. Hilmi memutuskan berhenti daripada bermain bola sepak. Tambahan pula Badrul juga membantah minatnya itu kerana mahu Hilmi menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

Namun Hilmi kemudiannya kembali bermain bola di atas permintaan Badrul dan dalam diam dia menghadiahkan kasut bola baru untuk Hilmi. Sebaliknya Hilmi berterima kasih kepada ibunya kerana menyangka beliau yang membeli kasut bola tersebut. 

Aminah gembira ketika mengambil keputusan peperiksaan Hilmi yang cemerlang di sekolah. Beliau menelefon Badrul dan meminta Badrul bercakap dengan Hilmi namun Badrul memberi alasan hendak menghantar buah. 

Aminah berbincang tentang isu tersebut dengan Badrul dan Badrul menyatakan bahawa kasih sayang tidak perlu ditunjuk. Hilmi semakin meningkat remaja dan beliau tetap rajin serta taat. Hilmi membelikan jam baru sebagai hadiah hari jadi ibunya dan ketika itu ibunya jatuh pengsan.




Doktor mendapati sel kanser wujud semula di dalam tubuh Aminah. Sikap Badrul berubah sering menyalahkan Hilmi kerana tidak memberi perhatian kepada Aminah. Badrul juga menegur Aminah kerana sikapnya yang terlalu melayan dan manjakan Hilmi. 

Aminah pula meminta Badrul agar tidak selalu memarahi Hilmi. Ketika itu Hilmi dan Badrul mula risau memikirkan kesihatan Aminah yang semakin merosot. Hilmi lulus cemerlang dalam pelajaran dan berjaya masuk ke asrama. Aminah ternyata gembira dengan kejayaan tersebut manakala Badrul sekadar mengiakan pencapaian Hilmi. 

Kesihatan Aminah semakin merosot dan dia meninggal dunia. Situasi itu memberi kesan kepada Badrul dan Hilmi. Badrul terus-terusan menyalahkan Hilmi kerana dianggap beban Aminah menjaganya selama ini. 

Badrul seperti hilang semangat diserang angin ahmar dan Hilmi segera menghantarnya ke hospital. Hilmi sentiasa menjaga dan menyediakan makanan untuk ayahnya walaupun pada mulanya tidak disukai oleh ayahnya. Walaupun diherdik dan dimarahi, Hilmi tetap bersabar dan melayan ayahnya dengan baik. Masihkah ada ruang untuk keduanya membina kehidupan bahagia bersama? 



DRAMA AKSARA KASIH AYAH
Bahasa: Melayu
Episod: 13     
Hari: Setiap Isnin-Ahad
Masa: 6 petang 
Saluran: TV Okey (Astro 109) 
Pelakon: Saufi Qahhar, Wafiy Ilhan, Zamarul Hisham, Izreen Azminda dan Awang Hamyzan


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan