12 Okt 2018

LOVE H20, BILA CINTA BERALIH ARAH


REALITINYA kisah yang dikongsikan dalam filem Thailand mengisi slot Layar Asia pada 13 Oktober ini, pukul 10.30 malam di TV2 berlaku dalam kalangan kita. Garapan konflik yang dimuatkan dalam filem bertajuk Love H20 arahan Suttasit Dechintaranarak tahun 2016 ini memperlihatkan usaha dilakukan seorang gadis untuk membuktikan dirinya mampu bahagia walaupun ditinggalkan kekasihnya. 

Dibintangi pelakon utama Toni Rakkaen, Nutprapas Tanatanamaharat, Ananda Everingham dan Navin Yavapolkul, plot kisahnya disatukan menerusi konflik hubungan dalam percintaan, persahabatan, pekerjaan, kekeluargaan, dan sifat keegoan serta isu-isu lain.

Ikuti cerita watak bernama Nam, seorang wanita pemilik majalah yang berjaya, baru saja putus cinta dengan kekasihnya O, yang memilih untuk berkahwin dengan wanita lain. Bagi mengubat hatinya dan juga bagi membuat kekasih lamanya cemburu dia bertekad untuk berkenalan dengan seseorang untuk dibawa ke majlis pernikahan O pada 13 Ogos. 

Secara kebetulan Nam bertemu dengan tiga lelaki secara tidak sengaja. Yang pertama Dog seorang penerbit siri makanan di televisyen yang merupakan bekas pelajar di kolej yang sama dengan Nam. 

Dalam diam Dog menaruh hati kepada Nam dan mengajaknya untuk satu penggambaran di China. Nam juga ditugaskan dan berjaya mendapatkan khidmat Ohm, seorang selebriti terkenal untuk menjadi pengacara semasa penggambaran nanti. Di China Nam berkenalan dengan Joe seorang lelaki Thai yang telah 10 tahun menetap di China dan menjadi koordinator semasa penggambaran.

Semua lelaki ini diajak Nam ke satu majlis pada 13 Ogos. Sikap Nam yang mesra menyebabkan Dog, Ohm dan Joe bersetuju dan menaruh hati kepadanya. Nam juga jatuh cinta kepada semuanya dan mula kebingungan untuk memilih salah satu darinya untuk dibawa ke majlis perkahwinan bekas kekasihnya. 

Rahsia Nam terbongkar apabila dalam satu keadaan Nam dan ketiga-tiga lelaki berada di tempat yang sama dan kesemuanya menceritakan mengenai temu janji 13 Ogos. Dog dan Joe meninggalkan Nam tetapi Ohm tanpa disedari mengekori Nam dan menaiki bot yang sama sewaktu Nam menghadiri majlis perkahwinan O. 

Dalam perjalanan pulang mereka saling membantu dan menyelami perasaan masing-masing. Namun adakah cinta mereka kesampaian? Ikuti kesudahannya dalam filem ini.


LOVE H20
Tarikh Tayangan: 13 Oktober 2018
Hari: Sabtu
Masa: 10.30 Malam
Saluran: TV2 (Slot Layar Asia) 
Arahan: Suttasit Dechintaranarak   
Pelakon: Toni Rakkaen, Nutprapas Tanatanamaharat, Ananda Everingham dan Navin Yavapolkul



[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan