20 Okt 2018

FESTIVAL TEATER MALAYSIA 2018 - TEATER ASRAMA-RA


FESTIVAL Teater Malaysia (FTM) kembali lagi! Bermula 15-21 Oktober ini, sebanyak enam kumpulan bakal berentap untuk merebut gelaran Teater Terbaik.

FTM yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan berlangsung selama seminggu, di mana setiap hari finalis yang terlibat akan tampil membuat persembahan.

Pementasan ini akan berlangsung di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC, Jalan Ampang, jam 8.30 malam. 

Enam kumpulan teater yang layak ke peringkat kebangsaan ialah Tronoh Theater Shop Kuala Lumpur (Mahkamah Keadilan), Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching (Metamorfosa Kosong),  Kumpulan Politeknik Nilai, Negeri Sembilan (Dilarang Menyanyi Di Bilik Mandi), Persatuan Teater Opera Mimpi Negeri Perlis (Mat Derih Kola Perlih), Kelab Teater Smart Melaka (Warga S) dan Senandika Universiti Malaysia Pahang (Asrama-Ra).


FINALIS KEENAM
Senandika Universiti Malaysia Pahang (Pahang)
20 Oktober 2018, Sabtu, 8.30 malam 

Ditubuhkan sekitar tahun 2002 dan telah diberi nama SENANDIKA pada tahun 2005. Kumpulan yang berasal dari Pahang ini dianggotai oleh pelajar-pelajar Universiti Malaysia Pahang tidak kira umur atau bangsa. Ditubuhkan atas rasa cinta dan minat yang sama kepada seni teater. Kumpulan ini telah berjaya mementaskan beberapa pementasan teater antaranya ialah Sudirmania hasil kolaborasi bersama WARIS THEATER dan RTM Pahang pada tahun 2015, Rumah Lama Kampung Baru hasil nukilan DR Lenny Irwan pada April 2018. SENANDIKA juga telah mengambil bahagian dalam Top Teater MAKUM’18 dan telah memenangi Anugerah Khas Juri. Kami juga turut menyertai Festival Teater Malaysia Negeri Pahang 2013 dengan membawa pementasan Assalamualaikum YB, berjaya mendapat tempat ke-3 dan memenangi anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik. Di Festival Teater Malaysia Negeri Pahang 2015 juga SENANDIKA telah berjaya mendapat tempat ke-3  dan memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik. Pada tahun 2018, SENANDIKA turut menyertai Festival Teater Malaysia Negeri Pahang, menaruhkan teater Asrama-Ra. SENANDIKA telah berjaya dinobatkan sebagai Johan keseluruhan dan juga turut memenangi Anugerah Sinografi Terbaik, Anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik, Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan Anugerah Pengarahan Terbaik. Pertama kalinya SENANDIKA UMP layak ke peringkat kebangsaan 2018 dengan naskah Asrama-ra.


Tajuk: Adrama-RA
Karya: Khairunazwan Rodzy
Arahan: Fendi Shah

Sinopsis
Asrama-ra mengisahkan tentang sekumpulan pelajar sekolah yang sedang menjalani kem kepimpinan di asrama sekolah mereka sendiri sambil diiringi oleh Cikgu Sabariah dan juga Cikgu Adam. Pada malam terakhir, dua orang pelajar perempuan mengalami histeria secara tiba-tiba dan perkara menjadi semakin rumit apabila kejadian demi kejadian berlaku. Dalam masa yang sama, mereka didatangi mimpi-mimpi ngeri yang bercerita tentang rahsia mereka masing-masing dan mimpi tersebut berkaitan dengan kematian kawan baik mereka, Nor. Dalam keadaan yang keliru dan penuh prasangka diantara mereka, wujud satu pertelagahan besar yang membawakan kepada pembongkaran sebenar punca Nor yang mati membunuh diri di bilik asrama yang sedang didiami pelajar-pelajar tersebut ketika itu..


[KREDIT: JKKN]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan