19 Okt 2018

FESTIVAL TEATER MALAYSIA 2018 - TEATER WARGA S


FESTIVAL Teater Malaysia (FTM) kembali lagi! Bermula 15-21 Oktober ini, sebanyak enam kumpulan bakal berentap untuk merebut gelaran Teater Terbaik.

FTM yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan berlangsung selama seminggu, di mana setiap hari finalis yang terlibat akan tampil membuat persembahan.

Pementasan ini akan berlangsung di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC, Jalan Ampang, jam 8.30 malam. 

Enam kumpulan teater yang layak ke peringkat kebangsaan ialah Tronoh Theater Shop Kuala Lumpur (Mahkamah Keadilan), Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching (Metamorfosa Kosong),  Kumpulan Politeknik Nilai, Negeri Sembilan (Dilarang Menyanyi Di Bilik Mandi), Persatuan Teater Opera Mimpi Negeri Perlis (Mat Derih Kola Perlih), Kelab Teater Smart Melaka (Warga S) dan Senandika Universiti Malaysia Pahang (Asrama-Ra).


FINALIS KELIMA 
Kelab Teater Smart (Melaka)
19 Oktober 2018, Jumaat, 8.30 malam 

Kelab Teater SMART atau KERTAS merupakan sebuah kumpulan teater yang diasaskan oleh pensyarah serta pelajar di bawah Program Teater, Sekolah Teknologi Media dan Seni (SMART), Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM). Kertas mula ditubuhkan pada tahun 2015 bagi memberi peluang serta ruang kepada pelajar, kakitangan serta penggiat teater untuk berkarya khususnya di negeri Melaka. “Kami Tak Ramai, Tapi Kami Ada” merupakan kata-kata yang sering diterapkan oleh ahli kumpulan. Kesungguhan dan ketekunan dalam bekerja adalah matlamat utama bagi merealisasikan sesebuah produk seni atau karya seni. Semoga KERTAS dapat memberikan coretan serta warna buat industri seni di negeri Melaka. 


Tajuk: Warga S
Karya: Norhan Fahmie Rayza
Arahan: Norhan Fahmie Rayza

Sinopsis
Kebahagian adalah impian bagi setiap manusia yang menghuni di atas muka bumi ini. Namun tidak semua kebahagiaan itu dapat dikecapi dengan keadaan yang selesa, seronok, buat selamanya. Sulong, Saadon, Selamat, Siti, Salmah dan Som antara warga yang tidak henti mencari impian, peluang serta harapan bagi mendapatkan sebuah kebahagiaan yang menjanjikan nikmat masa depan yang Terjamin. Warga ini menjadikan kolong jambatan sebagai tempat tinggal dan terpaksa hidup dalam keadaan yang survival demi mendapatkan perlindungan. Mereka ini tidak memilih untuk menjadi sebahagian warga gelandangan yang terbuang, dibuang serta sengaja membuangkan diri daripada masyarakat. Sampai bilakah Warga S ini akan terus berada di tempat tersebut? Siapakah antara mereka yang akan kekal untuk terus hidup di situ? Selamat Sejahtera Semua Wargaku!


[KREDIT: JKKN]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan