18 Okt 2018

FESTIVAL TEATER MALAYSIA 2018 - TEATER MAT DERIH KOLA PERLIS


FESTIVAL Teater Malaysia (FTM) kembali lagi! Bermula 15-21 Oktober ini, sebanyak enam kumpulan bakal berentap untuk merebut gelaran Teater Terbaik.

FTM yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan berlangsung selama seminggu, di mana setiap hari finalis yang terlibat akan tampil membuat persembahan.

Pementasan ini akan berlangsung di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC, Jalan Ampang, jam 8.30 malam. 

Enam kumpulan teater yang layak ke peringkat kebangsaan ialah Tronoh Theater Shop Kuala Lumpur (Mahkamah Keadilan), Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching (Metamorfosa Kosong),  Kumpulan Politeknik Nilai, Negeri Sembilan (Dilarang Menyanyi Di Bilik Mandi), Persatuan Teater Opera Mimpi Negeri Perlis (Mat Derih Kola Perlih), Kelab Teater Smart Melaka (Warga 5) dan Senandika Universiti Malaysia Pahang (Asrama-Ra).


FINALIS KEEMPAT 
Persatuan Teater Opera Mimpi (Perlis)
18 Oktober 2018, Khamis, 8.30 malam 

Persatuan Teater Opera Mimpi Negeri Perlis atau dengan singkatannya dikenali sebagai TOPENG merupakan satu badan atau organisasi yang berorientasikan kepada aktiviti seni dan budaya khususnya menjurus kepada seni persembahan dan seni lakon.
Persatuan ini ditubuhkan atas dasar semangat kecintaan kepada dunia seni terutamanya seni lakon atau teater. Ilham penubuhan persatuan tercetus selepas menjuarai Festival Teater Malaysia Peringkat Negeri Perlis pada tahun 2015. Bagi meneruskan silaturrahim antara pelakon dan tenaga produksi serta menyambung perjuangan dalam bidang lakon teater, maka pada 3 Februari 2016, TOPENG telah Berjaya didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di Negeri Perlis.


Tajuk: Mat Derih Kola Perlih
Karya: Namron
Dekonstruksi: Siti Jasmina Ibrahim
Arahan: Syafiq Syazim

Sinopsis
Mat Derih Kola Perlih mengisahkan seorang budak lelaki bernama Mat Derih yang berasal dari Kuala Perlis. Ayahnya telah meninggalkan Mat Derih dan ibunya semasa dia masih kecil. Disebabkan kemiskinan, dia hanya mampu menamatkan pengajian setakat sekolah rendah dan kemudian menjadi nelayan bagi meneruskan kehidupan. Dalam satu insiden pergaduhan yang dimenangi oleh Mat Derih, dia telah dijulang menjadi ketua samseng di Kuala Perlis. Maka, bermulalah kehidupannya sebagai ketua samseng yang mengutip wang perlindungan dari peraih-peraih dan tokey-tokey ikan bersama sahabat baiknya Solleh. Satu insiden di rumah pelacuran yang ingin diserang oleh kumpulan Mat Derih telah menemukannya kembali dengan ayah yang tak pernah dikenalinya bersama seorang perempuan.


[KREDIT: JKKN]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan