26 Sep 2018

ADAPTASI NOVEL POPULAR, SELAMAT MALAM TAN SRI


TERDAHULU penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) pernah dihidangkan karya terbaik seperti adaptasi novel Srengenge (1973-2017) tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang mengambil masa 44 tahun untuk dijadikan supertelefilem. Telefilem ini kemudiannya diangkat sebagai Telefilem Terbaik Anugerah Telenovela 2018. 

Kali ini RTM kembali menghadiahkan kepada penonton setia salurannya adaptasi novel Selamat Malam Tan Sri (2009 - 2017) yang mengambil masa 18 tahun untuk dijadikan drama bersiri 26 episod dengan tajuk sama, Selamat Malam Tan Sri.

Karya arahan Raja Mukhriz, terbitan Iris Intergrated Sdn Bhd ini menampilkan pelakon handalan Datuk Seri Eizlan Yusoff, Julia Ziegler, Reen Rahim, Marissa Yasmin, Haliza Misbun dan Zain Alexander Mohamed. Ia mula bersiaran pada 27 September ini, setiap Rabu dan Khamis, pukul 8.30 malam di TV2.

Kisahnya berlegar tentang seorang wartawan bernama Hanim Hanani yang mahu membongkar rahsia Tan Sri Rahman yang dikatakan beristeri dua secara rahsia. Tan Sri Rahman Shah pula mengurus bisnesnya seperti tiada hari esok. Dia gigih bekerja, siang malam memikirkan untung dan rugi. Ditakdirkan tersiarnya satu rencana dalam majalah menjadikan hidupnya huru-hara. Wartawan itu dicari. 




Tanpa disangka, Tan Sri Rahman mula jatuh hati dengan wartawan bernama Hanim Hanani. Keputusan Hanim Hanani memilih lelaki itu bukan kerana harta. Jika itulah alasan dan tuduhan, dia menafikan. Dia bukan memburu kemewahan. Bukan juga kerana kasihan. Malah lamaran cinta lelaki muda telah ditolak mentah-mentah.

Bagaimanapun Hanim Hanani tidak menafikan soal harta, darjat dan prestij turut terbetik di hatinya. Sejak pertama kali memandang lelaki yang bergelar Tan Sri dalam tugasannya sebagai wartawan itu, hatinya mula berdetik. 

Dia tidak pasti apakah maknanya. Lelaki itu telah pun beristeri; bukan satu malah dua. Isteri-isterinya bukan calang-calang wanita. Isteri pertamanya wanita ternama, berharta dan berkedudukan iaitu Puan Sri Rosnita. Begitu juga isteri keduanya, Netty Karmila, bekas ratu cantik yang digilai ramai.

Sementara itu Puan Sri Rosnita boleh terima hakikat bermadu asalkan semua pihak saling menghormati, jangan sampai memperlekah kewujudannya sebagai isteri pertama. Sebagai suami Tan Sri Rahman Shah sememangnya hampir sempurna dan pandai berkongsi kasih. Dia adil dalam segala hal. Rumah banglo. Hal keperluan harian, duit belanja, percutian dan sebagainya semua lengkap. Cuma satu sahaja iaitu melibatkan populariti. Puan Sri Rosnita tidak glamor seperti isteri keduanya, Netty Karmila. 



Ketika itu Hanim Hanani sedikit pun tidak terfikir untuk bersaing dengan wanita-wanita itu. Dia pasti dia akan kalah tapi takdir menentukan segalanya.

Netty Karmila, bekas ratu cantik sukar menerima kenyataan dirinya sudah semakin pudar popularitinya sejak berkahwin. Apabila semuanya terjebak - Netty Karmila, Puan Sri Rosnita dan Hanim Hanani, terjadi situasi yang tidak masuk akal. Namun bukan semua perempuan tiada harga diri. Maruah mereka terpelihara demi lelaki bernama Tan Sri Rahman Shah.

Muncul pula Saiful Azam antara mereka. Tahap ego Tan Sri Rahman Shah dan anak bujangnya itu sanggup melakukan apa sahaja untuk merebut cinta Hanim Hanani. Hanim keliru memikirkan siapa yang harus dipilih. Dia mahu lari, pergi jauh tapi ke mana?



Selamat Malam Tan Sri
Bahasa: Melayu
Episod: 26   
Hari: Setiap Rabu & Khamis (Mulai 27 September 2018)
Masa: 8.30 malam 
Saluran: TV2 
Terbitan: Iris Intergrated Sdn Bhd 
Skrip: 
Arahan: Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin
Pelakon: Datuk Seri Eizlan Yusoff, Julia Ziegler, Reen Rahim, Marissa Yasmin, Haliza Misbun dan Zain Alexander Mohamed

[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan