5 Ogo 2018

WARISAN EMAS AJAK PENONTON KENALI SEJARAH BANGSA MELAYU


RTM mengajak penonton melihat, mengetahui dan mengenali asal-usul sejarah kewujudan bangsa Melayu dan negara Malaysia bermula dari zaman pra-sejarah sehingga ke zaman moden hari ini menerusi dokumentari bertajuk Warisan Emas.

Sepanjang 13 episod siarannya, dokumentari yang mula disiarkan 6 Ogos ini, setiap Isnin, pukul 4.30 petang di TV2 berkongsi memaparkan mengenai kewujudan manusia yang dikatakan bermula zaman pra-sejarah berdasarkan penemuan beberapa artifak sejarah di negeri-negeri semenanjung Malaysia hingga ke Sabah dan Sarawak.

Ikuti episod permulaan di negeri Perak yang memperkatakan mengenai kewujudan manusia yang dikatakan bermula di zaman pra sejarah dikawasan seperti Pulau Kalumpang, Kuala Gula dan Bukit Bunuh di Perak lebih kurang 1.8 juta tahun yang lampau berdasarkan penemuan beberapa artifak sejarah seperti peralatan dari batu, manik, rangka manusia dan lain-lain. 

Kemudian sejarah zaman pertengahan, kolonial dan moden Perak disusur-galurkan seperti zaman-zaman kesultanan Gangga Negara, Bruas, Dinding, Manjung dan pemerintahan kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris. 

Kewujudan perdagangan antarabangsa kesultanan tersebut dengan kerajaan Rom dan Arab Parsi dinyatakan berlaku 200 tahun sebelum masehi. Di akhir episod dipaparkan peranan bandar Taiping dalam pembangunan moden Perak dan peranan hasil bumi di Perak kepada negara Malaysia sebelum dan selepas merdeka pada tahun 1957.

Di Kelantan pula cerita tentang kewujudan Negeri Kelantan dan sejarah silamnya sehinggalah ke hari ini. Kesan kesan peninggalan sejarah di Gua Cha dan Gua Musang dikatakan berumur lebih dari 10 ribu tahun. 

Kelantan juga mempunyai beberapa gelaran lain seperti Serambi Mekah, Tg Indrapura, Tanah Rendah Sekebun Bunga dan Negeri Che Siti Wan Kembang. Sistem pengajian pondok dan penggunaan mata wang emas adalah merupakan perkara yang unik bermula di negeri tersebut pada awal kurun ke 19. 

Warisan senibina di istana-istana dan masjid-masjid merupakan hasil peninggalan kraftangan yang unik selain daripada peralatan muzik, makanan dan juga gaya bahasa yang mana tidak terdapat di negerinegeri lain. Diakhir episod dipaparkan bandar Kota Bharu yang terdapat pada masa sekarang. 

Kunjungan di Terengganu memperkatakan perkembangan negeri ini sehingga ke hari ini. Warisan sejarah dan peninggalan bahan artifaks di Gua Bewah, Tasik Kenyir menerangkan kewujudan dan penempatan manusia telah wujud sejak zaman Hoabinh lagi di Terengganu. 

Masjid Putih di Kuala Terengganu merupakan peninggalan sejarah tentang perkembangan Islam di negeri ini. Pulau Duyung pula dikatakan tapak permulaan bandar Kuala Terengganu selain dari pusat pembinaan kapal yang terkenal. 

Hasil senibina seperti Istana Maziah dan yang terdapat di muzium Terengganu merupakan hasil senibina yang unik oleh masyarakat tempatan di zaman dahulu. Diakhir episod di susur-galurkan juga salasilah kesultanan Terengganu yang dikatakan bermula dari kesultanan Pagar Ruyung dan dipaparkan bandar Kuala Terengganu pada masa ini.

Episod di Selangor menerokai sejarah warisan zaman logam Selangor yang mana beberapa tempat dimana artifak telah ditemui seperti di Banting dan Klang. Kehidupan pra sejarah yang di temui menunjukkan Selangor telah didiami seawal abad 300 tahun sebelum masehi. 

Kemudian sejarah kesultanan Selangor disusur-galurkan bermula dengan kerajaan di Kuala Selangor dari keturunan kaum Bugis, Sulawasi. Peninggalan sejarah seperti Kota Melawati dan perkampongan Bugis di Ujung Permatang dipaparkan. Diakhir episod dipaparkan bandaraya Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mana merupakan sebahagian dari Negeri Selangor pada satu ketika dahulu.

Turut dibincangkan mengenai kesultanan Johor-Riau yang telah bermula dan bertapak di Kota Batu, Johor Lama, Kota Tinggi pada abad ke 16. Beberapa tinggalan artifaks sejarah di kawasan tersebut dipamerkan di Muzium Negeri. 

Zaman pra sejarah Johor dikatakan bermula sezaman dengan tamaddun Dong Song di Vietnam. Tun Sri Lanang dengan legasinya 'Sejarah Melayu' di lahirkan di Kg. Seluyut, Kota Tinggi pada zaman kesultanan Johor di abad ke 16 dan merupakan tokoh yang mahir dalam istiadat masyarakat Melayu pada masa itu. 

Diakhir episod dipaparkan pembangunan bandar Kota Tinggi dan pekan-pekan disekelilingnya dan bandar raya Johor Bharu pada masa kini yang menjadi ibu negeri Johor.

Ikuti juga kisah peninggalan sejarah Melaka bermula di Sg Melaka dan empayar Melaka berkembang sehingga ke Sumatera semasa zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah. Pendudukan oleh orang Melayu dan kesultanan Melaka dikatakan bermula pada abad ke 13 dan bertahan sehingga ke tahun 1511 apabila ditakluki oleh orang Portugis. 

Beberapa tokoh penting dinyatakan seperti Tun Perak, Hang Tuah, Tun Kudu dan Tun Fatimah. Dipaparkan juga produk-produk pelancongan di Melaka pada hari ini seperti Menara Taming Sari, monorel dan jelajah sungai di Sg Melaka dan dipaparkan panorama Bandar Raya Melaka ketika ini. 

Di Negeri Sembilan kisah bermula pada abad ke-14 setelah dibuka oleh tokoh agama iaitu Sheikh Ahmad. Kesultanan Negeri Sembilan pula bermula di abad ke-16 apabila orang-orang Minangkabau yang membuka beberapa kawasan pendalaman membentuk satu persekutuan dan memulakan adat perpatih dalam kalangan masyarakat mereka. 

Seri Menanti telah dijadikan pusat pemerintahAn, ekonomi dan sosial. Berdasarkan beberapa peninggalan sejarah Negeri Sembilan dikatakan telah diduduki sejak awal masehi. Jalan Penarikan, Serting dimana tiga ulu sungai bertembung dan telah menjadi jalan pintas darat oleh pedagang-pedagang dari Selat Melaka ke Laut Cina Selatan merupakan salah satu peninggalan sejarah. 

Diakhir episod diperihalkan mengenai Zaaba dan sumbanganya kepada kesusteraan Melayu dan paparan mengenai bandar Seremban pada masa kini.

Tidak dilupakan dua negeri Sabah dan Sarawak yang menerangkan tentang warisan emas yang terdapat di Sabah dan beberapa fakta geografi dihuraikan. Sabah moden dikatakan bermula pada zaman kesultanan Sulu dan kemudian dipajak oleh syarikat Inggeris North Borneo Company. 

Zaman pra sejarah Sabah telah bermula 35 ribu tahun yang lampau berdasarkan penemuan artifak di kawasan Bukit Tengkorak dan Kunak di timur Sabah. Turut diterangkan mengenai asal usul nama Kinabalu dan peranan yang dimainkan oleh arkib Sabah dalam meningkatkan kesedaran umum tentang sejarah Sabah. 

Episod akhir di Sarawak berkongsi beberapa fakta geografi mengenai Sarawak dan peranan Sungai Sarawak keatas sosio-ekonomi penduduk pada masa sekarang. Fakta pra sejarah dan sejarah moden di huraikan dengan beberapa bukti yang dijumpai ditapak-tapak arkeologi dan dari bahan-bahan yang terdapat di muzium. 

Manusia telah mula menetap di Gua Niah, Sarawak sejak 40 ribu tahun yang lampau. Warisan emas Sarawak dikatakan telah bemula dari zaman Srivijaya dan Majapahit sehinggalah kepada kesultanan Brunei dan rajah putih. 

Semasa pemerintahan Rajah Brook pula dinyatakan beberapa pejuang kemerdekaan telah wujud seperti Panglima Rentap, Linggir dan lain yang dikatakan bermulanya semangat kemerdekaan menentang penjajahan dari barat. turut dipaparkan Gunung Santubong dengan sejarah dan legendanya.


Dokumentari Warisan Emas
Episod: 13     
Hari: Setiap Isnin (Mulai 6 Ogos)
Masa: 4.30 Petang
Saluran: TV2
Terbitan: RTM   


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan