2 Ogo 2018

KONGSI RASA ISTIMEWA UNTUKMU, OKU


CHEF Liza Zainol bersama Orang Kurang Upaya (OKU) yang gigih mencari kecemerlangan hidup tampil menerusi program masakan terbaharu disiarkan RTM bertajuk Kongsi Rasa Istimewa Untukmu mulai 2 Ogos Ini, setiap Rabu dan Khamis, pukul 12.30 Tengah hari di TV1. 

Dalam 13 episod siarannya, Chef Liza mengundang individu-individu hebat ini yang nyata sudah membuktikan atas usaha keras mereka juga boleh berjaya walaupun tidak memiliki tubuh badan sempurna seperti orang lain.

Mereka terdiri daripada usahawan muda berjaya Md. Khairul Nizam Wahiddin, yang hanya dapat bergerak dengan bantuan kerusi roda sahaja. 

Dalam episod pertama ini Chef Liza menyediakan beberapa resipi sambil berbual santai dengan Khairul yang berkongsi pengalaman, perasaan dan cabaran beliau sebagai seorang kurang upaya. Resipi-resipi kegemaran Khairul yang disediakan oleh Chef Liza iaitu Sotong Masak Kurma dan Phad Thai.

Seterusnya Chef Liza bersama Ustaz Azadan menyediakan tiga resipi masakan istimewa menggunakan produk pertanian Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Selayang. Mereka memasak sambil berbual santai mengenai aktiviti pemulihan anak-anak OKU (autisma) di Pusat Pemulihan ini. Selain memasak terdapat segmen temu bual santai bersama penyelia dan Pengerusi PDK yang berkongsi rasa, perasaan dan pengalaman menjaga anak-anak ini. 




Episod berikutnya Chef Liza bersama tetamu, bekas pelatih Pusat Latihan Perindustrian & Pemulihan Bangi (PLPP) dan juga seorang usahawan gerai makanan, Subashini Kandasamy. 

Beliau berkongsi rasa makanan dan suka duka beliau dalam meneruskan kehidupan bersama anak yang masih kecil sebagai insan istimewa dan luar biasa. Beliau juga berkongsi cerita bagaimana kemalangan yang mengorbankan nyawa suami dan beliau kehilangan kaki didalam kemalangan tersebut. Beliau juga menyediakan dua resipi kaum India iaitu ketam verravel dan tosei kelapa.

Bersama tetamu Ikhsan Bin Hj. Sirat, OKU kerdil yang memiliki 4 cawangan food truck yang diberi nama Wak Ihsan Kebab di sekitar Selangor. Turut dilakukan temu bual bersama Pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia untuk berkongsi kisah perniagaan Wak Ikhsan dan juga peranan pertubuhan tersebut di dalam membantu golongan OKU kerdil ini. 

Chef Liza meluangkan masa melawat PDK Seri Penyayang yang terletak di Alor Gajah Melaka. Beliau memberi gambaran tentang peranan yang dimainkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam membantu ibu bapa/penjaga bagi program pemulihan OKU. Pelbagai latihan pemulihan disediakan untuk anak-anak istimewa ini. 

Menampilkan tetamu Ahmad Bin Wabusal, individu luar biasa pemenang Anugerah Peladang Jaya peringkat Negeri Sembilan. Beliau amat gigih, cekal dan berani dengan mengusahakan ladang pertanian dengan keupayaan hanya sebelah kaki akibat kemalangan semasa beliau mengusahakan ladang. Tiga resipi disediakan iaitu kuih kesirat tradisi, kerabu dedaun kampung dan jus durian belanda duda merindu.




Menarik dalam episod tujuh memaparkan individu OKU pendengaran, Muhammad Mubarak berkongsi tiga menu masakan hasil kejayaan beliau ketika menyertai pertandingan masakan Malaysia Culinaire 2017. Bersama Chef Liza dan jurubahasa isyarat beliau menyediakan tiga resipi istimewa.

Lawatan Chef Liza melawat PDK Seri Malindo yang terletak di Masjid Tanah, Melaka mengunjungi bengkel EEP jahitan untuk pelatih-pelatih OKU. Episod ini mengundang pelakon Catriona Ross, menyediakan tiga resipi iaitu pie crumble kelapa muda & labu, ikan parang asam pedas dan jus serai gula melaka Catriona Ross.

Lima lagi episod seterusnya bersama tetamu Azmi (vokalis kumpulan Caliph Busker), Ismail Arul Raj (Pengarah Pusat Latihan Perindustrian & Pemulihan Bangi OKU (PLPP Bangi), Ahmad Salman Zamri (pelakon dan penggiat seni teater), dan Norazian Daud (ahli sukan, OKU, peringkat negeri). 

Episod akhir Chef Liza mengundang Dato’ Seri Rohani Abd Karim yang membawa anak-anak OKU berlayar bersama di atas Cruise di Tasik Putrajaya. Chef Liza bersama Dato’ Seri menyediakan tiga resipi istimewa.



Kongsi Rasa Istimewa Untukmu
Episod: 13    
Hari: Setiap Rabu & Khamis
Masa: 12.30 Tengahari 
Saluran: TV1
Terbitan: RTM  
Pengacara: Chef Liza

[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan