17 Ogo 2018

HIDAYAH ITU MILIK ILAHI, ARDELL ARYANA


BENAR hidayah itu milik Allah. Sebab Allah lebih mengetahui hamba-hambaNya yang benar-benar ikhlas ingin mendapatkan cintaNya.  Dia lebih mengetahui hamba-hambaNya yang mencari-cari sinar hidayah itu. Dia lebih mengetahui hamba-hambaNya yang sanggup berkorban demi meraih cintaNya. Dan Dia maha adil memberikannya pada yang benar-benar inginkan hidayah itu.  

Mengajak penonton salurannya kembali mencari kebahagiaan hidup dunia dan akhirat, RTM menyiarkan telemovie bertajuk Hidayah Itu Milik Ilahi pada 18 Ogos Ini, pukul 10.00 malam mengisi slot Panggung Seri di TV1. 

Menampilkan pelakon terkenal Razak Ahmad, Ariel Zafrel, Izzue Islam, Ardell Aryana, dan Anne Abdullah, telemovie kekeluargaan arahan Pali Yahya ini memaparkan kisah gaya hidup keluarga Dato' Hafiz seorang kontraktor berjaya yang hidup dalam kemewahan.

Beliau lebih mementingkan kehidupan duniawi berbanding akhirat. Masa sama dia menyokong minat isterinya Salina berpersatuan. Begitu juga masa lapangnya banyak dihabiskan bersama burung kesayangannya. 

Sementara itu anaknya Faliq diamanahkan untuk membantunya menguruskan syarikat perniagaannya. Gaya hidup Faliq sama sepertinya suka berfoya. Manakala dua anaknya yang lain iaitu Farish dan Faizura masih menuntut di kolej. 



Pada masa sama Dato' Hafiz mula merasai tekanan emosi apabila mendapat keputusan hasil pemeriksaan kesihatannya yang menyatakan beliau menghidapi barah otak. Jangka hayatnya diberitahui oleh doktor yang merawatnya kini terlalu singkat. 




Menyedari hakikat yang selama ini bekalan amalan agamanya amat sedikit, beliau mengadakan mesyuarat keluarga dan melahirkan hasratnya supaya setiap anggota keluarga mengubah cara hidup mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah. Ianya supaya kesedaran itu dapat membantu apabila beliau meninggal dunia nanti. 

Lalu cuba merealisasikan hasratnya itu, beliau telah mengupah seorang guru agama mengajar keluarganya di rumah. Dia mahu kembali menjadi hamba Allah yang beriman agar ketika ajalnya tiba nanti bekalan amalannya sudah bertambah.

Setelah Farish menamatkan pengajiannya beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan di syarikat ayahnya, walau pun dia tidak bersetuju kerana ingin berdikari. Pelantikan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati Faliq yang selama ini banyak membantu ayahnya. Lebih-lebih lagi Rara, teman wanita Faliq mula menjadi batu api. 

Keadaan mula kecoh apabila Rara telah menipu Faliq menggunakan wang syarikat membayar hutangnya kepada along untuk mengubati penyakit ibunya. Menjejaki Rara akhirnya Faliq dibelasah along. 

Kehilangan Faliq merisaukan keluarganya. Farish keluar mencarinya dan cuba melawan penjahat ketika cuba menyelamatkan Faliq. Namun malangnya dia mengalami kecederaan teruk dan lebih malang lagi dirinya gagal diselamatkan.

Pada itu, pemeriksaan seterusnya pegawai perubatan mengesahkan bahawa penyakit Dato' Hafiz telah beransur sembuh. Beliau seterusnya bersetuju meneruskan rawatan dan amalan secara as-shifak bersama guru agama yang mengajarnya.




Telefilem Hidayah Itu Milik Ilahi
Tarikh Tayangan: 17 Ogos 2018
Hari: Jumaat
Masa: 10.00 Malam
Saluran: TV1
Arahan: Pali Yahya   
Pelakon: Razak Ahmad, Ariel Zafrel, Izzue Islam, Ardell Aryana, Anne Abdullah


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan