10 Jul 2018

KONFLIK SOSIAL DALAM DOKUDRAMA CELARU


KISAH permasalahan sosial termasuklah remaja terlibat menagih dadah, tekanan emosi si anak, masalah psikologi menyeksa haiwan, remaja bertatu dan penglibatan dalam lumba haram bukanlah asing dalam masyarakat kita. 

Saban hari menerusi pelbagai saluran media berkongsi kisah yang sepatutnya tidak dipandang remeh ini. Hakikatnya penglibatan semua pihak terutama keluarga sangat diperlukan dalam mengatasi permasalahan ini supaya ianya tidak terus berlanjutan.

Berkongsi panduan dan kaedah yang disarankan untuk mengatasi masalah tersebut, RTM menyiarkan dokudrama terbaharu dengan tajuk Celaru mulai 11 Julai ini, setiap Rabu dan Khamis, pukul 11.05 pagi di TV1.

13 episod program ini menampilkan lakonan semula yang berkaitan dengan beberapa masalah yang seringkali berlaku dalam masyarakat kita. Sepanjang penceritaan terdapat beberapa babak yang dilakonkan semula serta temu ramah dengan mangsa yang terlibat.  

Turut dipaparkan kaedah yang digunakan dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang terbabit. Sesi temu bual dilakukan dengan beberapa orang individu yang pakar berkaitan dengan isu tersebut untuk mengupas lanjut tentang punca dan kaedah jalan penyelesaian sebagai rujukan buat para penonton.

Ikuti konflik cerita Shima yang seolah jatuh ditimpa tangga. Dia mengetahui suaminya menagih dadah namun demi anak dia masih tetap memberi peluang kepada suaminya itu meskipun keluarganya mendesak dia meminta cerai. 

Akhirnya Shima pula terjebak dengan dadah setelah dipaksa oleh Halim. Mereka berdua sering melepaskan gian di rumah dan gelagat ini diperhatikan oleh anak mereka yang sedang membesar. Akhirnya anak Shima turut terpengaruh dengan hasutan dari ayahnya sendiri dan ini mengejutkan Shima. Atas nasihat ibunya, Shima mendapatkan bantuan dari pusat pemulihan dengan harapan untuk kembali insaf dan kembali ke pangkal jalan. 

Turut dipaparkan kisah tekanan jiwa yang dialami oleh Ajak disebabkan sikap ayahnya yang sentiasa menyalahi dan memarahi beliau. Ajak meluahkan tekanan emosi ini dengan gaya hidup dan tindakan yang bercelaru dan non-konformis. 

Pada masa sama dia melakukan vendalisme dan terlibat dalam lumba haram. Ayahnya terkejut dengan perubahan Ajak dan cuba mendapatkan rawatan dari pakar psikiatrik untuk anaknya. Akhirnya Ajak beransur pulih dan memulakan kehidupan baru serta memasuki maktab untuk memajukan dirinya. Dipaparkan juga rintihan hati ibu sebenar, budak sebenar dalam kes ini, komen pakar psikiatrik dan seorang profesor dari USM. 

Episod seterusnya tentang Jojo yang mengalami masalah psikologi yang menyebabkan beliau suka menyeksa dan membunuh haiwan peliharan. Beliau telah membina makmal rahsia di rumahnya bagi menjalankan aktiviti membedah haiwan untuk kepuasannya. 

Masalah ini berpunca dari keadaan beliau tidak diberi perhatian yang sewajarnya oleh ibu-bapanya. Justeru, beliau cuba mengisi kekosongan dalam kehidupannya melalui aktiviti kejam seperti ini. Akhirnya beliau tersalah langkah dan telah menyeksa seekor kucing kepunyaan jirannya dan berikutan dari laporan oleh jiran itu, Jojo ditahan polis. 

Ikuti kisah Shera seorang wanita yang agresif dan berperwatakan ‘maskulin’ berkahwin dengan jejaka pilihannya, Ramli. Beliau gembira dengan keputusan Ramli untuk mengambilnya sebagai isteri walaupun ibu Ramli tidak menyukai Shera. Shera bekerja sebagai jurulatih di sebuah gimnasium dan masih bersikap kelakian tanpa mahu berubah ke arah wanita walaupun sudah bergelar isteri. 

Atas desakan keluarganya dan juga faktor belum mengandung, akhirnya Ramli keluar dari rumah dan berkahwin lain dengan wanita pilihan keluarganya. Ramli juga bertindak menceraikan Shera melalui panggilan telefon. Tanpa pengetahuan Ramli, ketika itu Shera sedang mengandung anak mereka dan kemudian beliau mula mengubah penampilannya menjadi wanita dan ibu kepada seorang cahaya mata. 

Episod bertajuk ‘Bukan Khunsa’ mengisahkan Sofian seorang remaja lelaki lembut memiliki butik pengantin sendiri. Sofian merancang untuk menjalani pembedahan menukar jantina di Bangkok. Ibunya jatuh sakit akibat terkejut mendengar pendedahan anaknya itu. Sofian berkeras untuk meneruskan hasrat tersebut sehinggalah Rem memberitahu yang Suzanne telah meninggal dunia. Sofian berubah fikiran dan kembali insaf serta bertaubat selepas melihat mayat Suzanne. 

Episod yang berkisar kepada ‘Mencacah’, kisah Azim yang terpengaruh dengan ajakan kawannya untuk bertatu. Tanpa berfikir panjang, Azim membuat tatu di lengah dan dia sungguh bangga dan terasa dirinya hebat bila melihat tatu di lengannya. Nasihat ibunya tidak dipedulikan. Namun segalanya berubah bila dia kemalangan dan terlantar koma di hospital menyebabkannya insaf. 

Dalam tajuk ‘Santau’ pula mengisahkan kehidupan pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan sendiri. Mereka kemudiannya menjadi mangsa perbuatan khianat jiran mereka yang cemburu dan merupakan pesaing dalam perniagaan. Di akhir rancangan, temu bual bersama Ustaz Asmawi dikongsi bersama yang mengupas lanjut tentang isu ‘Santau’ untuk difahami penonton.

Ikuti perkongsian cerita Zali bersama adiknya, Johan menjalankan perniagaan bengkel membaiki motosikal. Bengkel mereka sering menjadi tumpuan ramai kerana berupaya mengubahsuai motosikal bagi tujuan lumba haram. Dalam satu kejadian, kematian rakan adiknya dalam satu perlumbaan haram telah menyedarkan Zali. Namun tidak bagi Johan. Kemuncaknya bila Johan terbabas dengan menggunakan motosikal yang belum siap lagi proses pengubahsuaian dan kemudiannya disahkan meninggal dunia. 



Dokudrama Celaru
Bahasa: Melayu
Episod: 13   
Hari: Setiap Rabu Khamis
Masa: 11.05 pagi 
Saluran: TV1 


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan