21 Apr 2018

WARIS, KOMPAS MUZIK


RTM membawakan sebuah program travelog terbaharu bertajuk Kompas Muzik menampilkan penyanyi yang terkenal menerusi lagu Rembau Most Wanted, Waris sebagai hos. 

Travelog 13 episod ini bakal menemui penonton setiap Ahad, bermula 22 April ini, pukul 2.30 petang.

Penonton akan dibawa menjelajah ke beberapa bandar dan tempat menarik di rantau ASEAN untuk meninjau aspek-aspek sosio-budaya, kesenian serta muzik tradisi kawasan tersebut. Jakarta adalah lokasi terawal yang dikunjungi. 

Waris berkongsi dengan penonton kewujudan senario muzik yang aktif di bandaraya ini khususnya dalam kalangan pemuzik jalanan atau lebih dikenali sebagai pengamen di sana. Waris juga mengunjungi Taman Fatahhila yang merupakan tapak beberapa muzium yang mempamerkan sejarah Indonesia. 

Bagi segmen Instrumen, Waris memperkenalkan kepada penonton Gambang Keromong, sejenis alat muzik tradisional masyarakat Batawi yang menggabungkan Gamelan dengan alat muzik kaum Tionghua. Segmen Tiga Anak Seni menampilkan White Shoes and The Couples Company serta dua orang penyanyi iaitu Agnes Monica dan Iwan Fals.

Masih lagi di Indonesia, Waris seterusnya menjelajah ke Surabaya. Di sini Waris ke Wisata Kuliner dan Food Court Penjaringan Sari. Selepas itu beliau ke Gunung Bromo, salah satu gunung berapi yang masih aktif. 




Beliau turut melawat Rumah Batik Java Timur bagi melihat pembuatan batik Indonesia, Kuil Hong Tiek Hian iaitu tokong Tionghua yang tertua di Surabaya dan Pasar Tradisional Genting yang terkenal dengan makanan tempatan. 

Segmen Instrumen memaparkan alat muzik tempatan iaitu Trumpet Reog manakala segmen Tiga Anak Seni memperkenalkan barisan pemuzik Surabaya iaiatu Mus Mulyadi, seorang legenda keroncong, Ari Lasso dan Gombloh.

Pengembaraan diteruskan ke negara gajah putih. Waris mengunjungi Victory Monument, Pasar Chatuchak, Kuil Four Face Buddha dan kawasan Kau San Road yang popular dengan makanan tempatan. Turut dilawati ialah Pasar Terapung atau Floating Market. 

Dalam Segmen Instrumen dipaparkan ‘Khim’, sejenis alat muzik bertali. Bagi segmen Tiga Anak Seni, dipaparkan Koh atau Mr Saxman, seorang pemuzik yang terkenal dengan kebolehannya bermain alat muzik saxophone, Thongchai McIntyre dan Lam Morrison yang juga digelar sebagai 'The Rock and Roll King of Thailand'. 

Episod seterusnya membawa penonton ke Phnom Penh, Cambodia. Tempat pertama yang dilawati ialah Muzium Genocide yang mempamerkan bahan-bahan yang mengambarkan kekejaman regim Khmer Rouge. 




Beliau kemudian singgah di Central Market yang menjual produk tempatan. Turut diperkenalkan beberapa aspek kesenian dan muzik seperti Tro Khmer, sejenis alat muzik bertali Cambodia dan tarian-tarian tradisional yang mencerminkan mitos cerita Ramayana. 

Bagi segmen Tiga Anak Seni, Waris memperkenalkan kepada penonton Sinn Sisamouth yang digelar ‘Elvis’ Cambodia, kumpulan Dengue Fever dan penyanyi Ros Serey Sothea.  

Ho Chi Min, Vietnam menjadi lokasi pilihan episod kali ini. Ikuti lawatan ke Pasar Ben Thanh iaitu pusat membeli belah tradisional yang menjual pelbagai produk tempatan khususnya kain dan pakaian. 
Dalam Segmen Instrumen Waris memperkenalkan alat muzik tradisional Vietnam, ‘Dan Da’ iaitu alat muzik percussion yang terdiri daripada batu bata yang mengasilkan muzik apabila dipukul. Alat ini telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan Vietnam. 

Seterusnya Waris  berjalan-jalan di kawasan Sungai Mekong atau Mekong Delta dan melakukan ‘freestyle rap’ secara ‘impromptu’ bersama beberapa orang pemuzik tempatan. Bagi segmen Tiga Anak Seni, menampilkan Trinh Cong Son, seorang penulis lagu dan komposer muzik, Tai Phong sebuah kumpulan progresif Rock Perancis dan Cuong Vu, seorang pemain trumpet genre Jazz.

Ikuti episod-episod seterusnya yang bakal membawa penonton ke beberapa tempat menarik di sekitar Vietnam, Indonesia, Laos dan juga Brunei hanya di saluran TV1. 



Kompas Muzik
Episod: 13  
Hari: Ahad 
Masa: 2.30 Petang 
Saluran: TV1   
Pengacara: Waris

Tiada ulasan:

Catat Ulasan