22 Apr 2018

LAKSAMANA DO RE MI, DAN KRITIKAN SOSIALNYA


DO RE MI  kembali lagi dengan gelagat mencuit hati yang pastinya membuatkan penonton tidak kering gusi. 

Kali ini mereka bertiga bergelar laksamana dengan misi menyelamatkan Tuan Puteri kepada Raja Negara Pasir Dua Butir. Saksikan Laksamana Do Re Mi pada 23 April ini, pukul 9.30 malam di TV2.

Setelah dihalau dari rumah yang didirikan secara haram di atas pokok, mereka merantau dan menyelamatkan Puteri Bunian iaitu Puteri Buluh Betung. Puteri tersebut mengurniakan tiga ganjaran untuk mereka kerana menyelamatkannya. 

Do mendapat tikar terbang yang akan membawa mereka ke mana sahaja yang dikehendaki. Re pula mendapat teropong sakti yang mampu melihat mana-mana tempat, mana-mana peristiwa yang berlaku pada bila-bila masa di seluruh dunia. Mi pula mendapat bangsi hikmat yang akan mendapatkan apa sahaja yang diingini setelah berniat dan meniupnya.

Mereka bertiga menuju ke negara Pasir Berdengung untuk mencari kerja sebagai pendekar. Di sana, mereka menyertai perlawanan untuk mencari pendekar. Mereka bertiga berjaya mengalahkan pendekar negara setelah memakan ubat kuat lalu mereka dilantik menjadi Laksamana Negara. 

Mereka diminta untuk memberi bantuan kepada Negara Pasir Dua Butir yang telah diserang Menteri Fasola. Menteri Fasola merupakan bekas menteri pertahanan negara Pasir Dua Butir. Dia memberontak kerana pinangannya kepada Puteri Punchak Mahligai ditolak baginda Sultan Pasir Dua Butir. 

Pengembaraan mereka bermula dengan mencari Tuan Puteri dan mengalahkan Menteri Fasola menggunakan senjata yang dikurniakan Puteri Buluh Betung. Pada mulanya mereka agak sukar untuk menewaskan Fasola kerana dia kebal, tetapi dengan bantuan Tuan Puteri Buluh Betung, Fasola mati dibunuh oleh Do menggunakan sebatang buluh runcing yang ditikam di tapak kakinya. 

Pelbagai kisah lucu berlaku ketika mereka bertiga menjaga Tuan Puteri Punchak Mahligai semalaman sebelum menghantar pulang ke negara Pasir Dua Butir keesokkan harinya. Keesokannya mereka pulang ke Pasir Dua Butir. Di sana Laksamana Do Re Mi menuntut janjinya daripada Sultan. 

Oleh kerana keadaan negara itu yang belum stabil, Sultan telah menitahkan anaknya untuk pulang bersama-sama dengan laksamana bertiga ke Pasir Berdengung untuk melaksanakan upacara perkahwinan.

Maka berangkatlah Tuan Puteri Punchak Mahligai bersama dengan laksamana bertiga pulang ke Pasir Berdengung. Tiba di sana, lain pula ceritanya. Sultan Pasir berdengung terpikat dengan kecantikan Tuan Puteri Punchak Mahligai. Lalu mengambilnya menjadi permaisurinya.

Namun sebagai Sultan yang adil, baginda telah menggantikan Tuan Puteri dengan tiga orang dayang istana yang paling disayangi baginda. Mereka bertiga kembali tersenyum tetapi setelah melihat dayang istana itu, Laksamana Do Re Mi lari meninggalkan istana. 



Laksamana Do Re Mi
Tarikh Tayangan: 23 April 2018
Hari: Isnin
Masa: 9.30 Malam
Saluran: TV2 
Arahan: Tan Sri P.Ramlee 
Pelakon: Tan Sri P.Ramlee, A.R Tompel, Ibrahim Din

Tiada ulasan:

Catat Ulasan