8 Mac 2018

PERHATIAN: SESEORANG SEDANG MENCARI MEL DAN AYU !


DILEMA seorang lelaki untuk memilih calon isteri di antara pilihan sendiri dengan pilihan keluarga melatari drama bersiri bertajuk Mencari Mel & Ayu yang sedang bersiaran di TV1 setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11.30 pagi.

Drama bersiri 26 episod ini menampilkan gandingan serasi Syafiq Kyle dan Mimi Ernida sebagai Zainuddin dan Catherine. 

Mengetengahkan watak Zainuddin yang belajar di luar negara telah jatuh cinta dengan seorang gadis Australia, Catherine. Pada masa yang sama Azimah, sepupu Zainuddin yang turut belajar di Australia sudah lama menaruh hati pada Zainuddin tanpa pengetahuannya. 

Azimah yang sangat mencintai sepupunya Zainuddin merasa sangat kecewa apabila mendapat tahu bahawa Zainuddin dan Catherine akan berkahwin dalam masa terdekat. Azimah cuba meminta nasihat ibunya di tanah air. 

Dalam masa yang sama Zainuddin sangat marah dan kecewa dengan perangai Azimah yang memaklumkan perkara tersebut kepada ibunya dan juga kepada kedua ibu bapa Zainuddin. Hubungan Azimah dengan Zainuddin menjadi renggang, tetapi Azimah tidak berputus asa. 

Dia menyusun beberapa strategi untuk mendapatkan Zainuddin. Begitu juga dengan Ghazali tidak berputus asa untuk memikat Azimah walaupun cintanya ditolak.

Zainuddin pulang ke Malaysia dengan membawa Catherine bersama untuk mendapat restu daripada kedua orang tuanya, tetapi bapanya Haji Mohsein menentang sekeras-kerasnya niat Zainuddin untuk memperisterikan Catherine. 

Sebaliknya, ibu Zainuddin berlapang dada  dan menerima calon pilihan Zainuddin. Bapanya bersikap dingin dengan Catherine. Sementara itu, orang kampung mula mengata tentang keluarga mereka. Zainuddin kecewa dengan tindakan ayahnya. Azimah pula berpakat dengan ibunya untuk memujuk bapa Zainuddin supaya menerima Azimah sebagai menantu. 




Bapa Zainuddin nekad tidak mahu menerima Catherine menjadi menantunya. Dia lebih memilih Azimah dan mahu menyatukan mereka berdua tanpa pengetahuan Zainuddin. Dalam masa yang sama Zainuddin akan berkahwin dengan Catherine, setelah mengetahui dia dengan Azimah akan ditunangkan. 

Pernikahan Zainuddin dengan Catherine hanya diketahui oleh Hajah Fatimah, ibu Zainuddin. Zainuddin tidak membenarkan Azimah memberitahu Catherine tentang pertunangan mereka. Dia sudah sah menjadi suami kepada Catherine, namun Azimah masih mencari helah untuk memisahkan mereka.

Zainuddin sangat gembira apabila mendapat tahu Catherine mengandung. Namun kegembiraan mereka hanya menjengah seketika. Catherine mengalami keguguran angkara Azimah. Namun, tidak lama kemudian, dia mengandung buat kali kedua. 

Azimah mendapat tahu perkara itu dan mula merancang sesuatu. Dia memerangkap Catherine. Zainuddin masuk ke rumah dan ternampak Catherine dan seorang lelaki sedang tidur di atas katil. Dengan perasaan marah, dia menceraikan Catherine dengan talak satu. 

Kifarah menunggu atas apa yang Azimah lakukan. Dia dirogol oleh Ghazali. Ghazali marah kerana selepas apa yang dilakukan untuk Azimah, dia tidak mahu menerima cintanya. Azimah buntu dan memberitahu tentang apa yang telah berlaku kepada ibunya. 

Pernikahan Azimah dengan Zainuddin disegerakan. Zainuddin berkerja di syarikat ayah Azimah. Setelah 9 bulan mereka berkahwin, Azimah selamat melahirkan anak lelaki. Ghazali datang dan mengugut Azimah supaya dia diberi kerja di pejabat Zainuddin. 

Setelah 25 tahun berlalu, Ghazali masih menggugut Azimah dengan status anak lelaki Azimah, membuatkan Azimah tertekan dan hidup dalam kegelisahan.

Apakah kesudahan kisah cinta Zainuddin dan Catherine? Adakah kejahatan Azimah akan terbongkar? Nantikan kesudahannya dalam drama bersiri terbitan Line Media yang turut menampilkan lakonan hebat Syiqin Kamal, Kuza, Eyra Hazali dan Amirul Faqeem hanya di TV1.



Mencari Mel & Ayu
Episod: 26
Hari: Isnin hingga Khamis
Masa: 11.3- pagi
Saluran: TV1 
Pengarah: 
Pelakon: Syafiq Kyle, Mimi Ernida

Tiada ulasan:

Catat Komen