22 Mac 2018

MENGINTAI SYURGA MAMA, NAD ZAINAL DAN HALIZA MISBUN


IBU merupakan anugerah terindah yang dikurniakan tuhan kepada seorang anak. Tanpa ibu tidak terjejak sepasang kaki ke tanah dan tidak kenal apa itu erti kehidupan.

RTM prihatin dalam menghargai pengorbanan seorang insan bergelar ibu dengan membawakan telemovie bertajuk Mengintai Syurga Mama, bersiaran pada 23 Mac, pukul 2.00 petang.

Telemovie terbitan Zeel Production ini menampilkan gandingan pelakon utama Nad Zainal dan Haliza Misbun yang menghidupkan watak sebagai pasangan ibu dan anak, telemovie khas arahan Tony Francis Gitom ini berkongsi memaparkan kekuatan hubungan kasih sayang suci antara kedua-duanya yang tidak akan putus sampai bila-bila. Malah ikatan ibu dan anak yang terjalin adakalanya menuntut pengorbanan besar salah seorang daripadanya.

Ikuti perjalanan kisah watak utama gadis bernama Lia, pelajar kolej yang aktif dan miliki personaliti yang ceria. Dia dibesarkan oleh ibu tunggal, Aishah yang sangat menyayanginya. Hubungan mereka mesra dan rapat malah mereka selalu berkongsi cerita dan masalah bersama.  

Masa berlalu Lia mengenali seorang pemuda dikenali sebagai Ryan. Hubungan mereka kemudiannya mesra sebagai pasangan bercinta. Serius dengan hubungan itu, Lia turut memberanikan diri memperkenalkan Ryan kepada ibunya. Lia gembira kerana hubungan mereka mendapat restu daripada Aishah.

Begitu pun segalanya tidak lama. Sikap Lia berubah menjadi bengkeng, pemberontak, kerana cemburu melihat kemesraan yang ditonjolkan oleh ibunya dengan teman lelakinya, Ryan. Dia menyangka Aishah mahu merebut Ryan daripadanya.

Sejak itu Lia mula dingin dengan ibunya. Pada masa sama dia cuba mengorek rahsia di sebalik hubungan rapat mereka. Namun rasa cemburu bertukar simpati setelah mengetahui ibunya bersikap demikian lantaran tekanan perasaan yang melampau akibat didera mental dan fizikal oleh bekas suaminya yang telah meninggal dunia iaitu Rahman. Ternyata Rahman menikahi Aishah disebabkan mahu melangsaikan hutang bapanya.

Turut dibintangi oleh Hefny Saad, Dato’ Rahim Razali, Lia Natalia, Fahrin Ahmad dan Shah Iskandar, saksikan kesudahan konflik antara ibu dan anak ini di TV2.



Mengintai Syurga Mama
Tarikh Siaran: 23 Mac 2018
Hari: Jumaat
Masa: 2.00 Petang 
Saluran: TV1
Terbitan: Zeel Productions 
Pelakon: Nad Zainal, Haliza Misbun

Tiada ulasan:

Catat Komen