18 Mac 2018

KONSERVASI BUAYA TEMBAGA, MAJALAH 3


PROGRAM dokumentari TV3, Majalah 3 mengajak para penonton untuk mendalami spesis buaya yang hampir pupus menerusi topiknya ‘Konservasi Buaya Tembaga’ pada hari Isnin (19 Mac 2018), pukul 9.00 malam.

Buaya adalah haiwan prasejarah yang telah wujud lebih 200 juta tahun. Buaya tembaga yang hidup di dalam air masin dan tawar adalah spesis buaya tempatan yang hampir pupus dan dilindungi sepenuhnya oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Penggambaran kru Majalah 3 dijalankan selama 10 hari di Sarang Buaya dan Universiti Putra Malaysia untuk mengikuti usaha dan langkah konservasi yang diusahakan di sini.




Ia melibatkan beberapa insan iaitu Ab Malek Ab Aziz dan Prof Dr. Abd Wahid Haron yang mengorbankan tenaga dan masa bagi mengekalkan survival sang bedal pada masa hadapan.


Kajian yang dilakukan di Santuari Sarang Buaya Pasir Gudang, Tanjung Langsat, di Johor itu fokus kepada pengumpulan dan kajian kualiti semen (air mani) yang pertama kali dilakukan di negara ini.

Bagaimanapun, di sebalik proses mengambil air mani (semen) buaya itu, mereka harus berdepan dengan cabaran dan risiko oleh haiwan reptilia pemangsa ini.




Ketua Penyelidiknya, Prof Dr Abd Wahid Haron, berkata kejayaan itu bakal menjadi titik tolak rujukan penyelidik seluruh dunia berhubung pembiakan reptilia berkenaan.

Melalui kaedah ini, pembiakan buaya terutama bagi buaya ganas boleh dilakukan melalui persenyawaan dalam tabung uji, selain cara normal.

Sarang buaya atau dikenali sebagai Santuari Buaya Tembaga dibangunkan dalam kawasan hutan paya bakau berhampiran Pelabuhan Tangjung Langsat, Pasir Gudang seluas 3.237 hektar itu mula didirikan pada tahun 2008.




Ia satu-satunya santuari seumpama itu diwujudkan di Negara ini dan mula dibuka pada orang awam sejak Februari 2009.

Kru Majalah 3 turut menyingkap kisah Ab Malek Ab Aziz, individu yang berpengalaman lebih dua dekad dalam pengendalian buaya.

Selain itu, para penonton juga bakal mengetahui tentang penjagaan anak buaya dalam paparan episod yang bersiaran pada hari Isnin yang akan datang nanti.


[CREDIT PHOTO & INFO: TV3]

Tiada ulasan:

Catat Komen