19 Mac 2018

CABARAN IBU BAPA SEGERA, LIFE AS WE KNOW IT


UNTUK memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa bukanlah mudah seperti yang disangka. Ia memerlukan kesefahaman dan komitmen antara satu sama lain. 

Kisah dua orang rakan yang terpaksa menjadi ibu bapa segera kepada seorang kanak-kanak perempuan selepas kematian ibu bapanya melatari filem bertajuk Life As We Know It, bersiaran pada 20 Mac ini, pukul 9.30 malam di TV2.

Menampilkan watak Holly Brenson, seorang pemilik kedai roti di Atlanta dan Eric Meser, seorang pengarah televisyen sukan di Atlanta Hawks. Rakan baik mereka, Peter dan Alison merancang satu temujanji untuk menyatukan mereka, tetapi temujanji itu tidak berjalan dengan lancar. Mereka berdua mula membenci antara satu sama lain. 

Plot penceritaan berkembang apabila Peter dan Alison terkorban dalam satu kemalangan, meninggalkan seorang anak perempuan bernama Sophie. Holly dan Eric dinamakan sebagai penjaga Sophie yang sah oleh Peter dan Alison tanpa pengetahuan mereka. Mereka terpaksa mengetepikan kemelut antara mereka dan berpindah ke rumah Sophie untuk menjaganya.




Hidup bersama tanpa persefahaman ternyata satu perkara yang mencabar. Holly meninggalkan Sophie dengan Eric kerana kerja. Pada masa yang sama, Eric juga perlu bekerja pada malam itu. Eric membawa Sophie bersama tetapi dia hilang fokus kerana Sophie yang tidak berhenti menangis. Pulang ke rumah, mereka bergaduh sesama sendiri.

Semakin hari mereka semakin sedar, membesarkan seorang anak bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan kewangan yang stabil. Holly tidak dapat meneruskan rancangannya untuk mengembangkan perniagaannya. 

Eric menawarkan untuk melabur dalam perniagaan Holly dan Holly bersetuju. Mereka sekali lagi bertemujanji untuk meraikan hubungan baru mereka sebagai rakan kongsi. Semenjak itu, cinta mula berputik antara mereka. 

Berjayakah mereka membina persefahaman antara satu sama lain demi menjaga Sophie? Adakah mereka dapat menjanjikan masa depan yang cerah buat Sophie? Saksikan kesudahan filem lakonan Katherine Heigl, Josh Duhamel, Hayes MacArthur dan Christina Hendricks ini di TV2.



Life As We Know It
Tarikh Siaran: 20 Mac 2018
Hari: Selasa
Masa: 9.30 Malam 
Saluran: TV2
Arahan: 
Pelakon: Katherine Heigl, Josh Duhamel, Hayes MacArthur dan Christina Hendricks 

Tiada ulasan:

Catat Komen