30 Jan 2018

JUARA MINGGU KETIGA, MARK ADAM TERKEJUT


MARK Adam telah memenangi RM10,000 pada minggu ketiga Arena Bintang Bersama Bintang. Bekerjasama dengan seorang pelakon kecil molek, Wan Sharmila, duo ini membawakan kisah sepasang suami isteri yang hidup mewah namun tiada masa untuk satu sama lain kerana terlalu sibuk dengan gadget. Ini merupakan kali pertama Mark Adam bergandingan dengan selebriti wanita dalam Arena BBB.

Berbicara mengenai potensi persembahannya malam semalam, Mark Adam bersyukur dan tidak menyangka kemenangan akan berpihak kepadanya, 

“Saya akan terus buat yang terbaik untuk peminat-peminat saya dan penyokong-penyokong Bintang Bersama Bintang.  
Sebenarnya sketsa itu adalah berdasarkan kisah benar di antara saya dan isteri tetapi dengan sedikit kelainan. Saya fikir sketsa ini sedikit sebanyak dapat memberi peringatan kepada pasangan suami isteri yang hidup dalam dunia yang pantas dan serba moden ini,” katanya

Sejak minggu pertama lagi, para peserta berhempas-pulas dalam memberikan persembahan terbaik bersama selebriti undangan sebagai pasangan mereka. Wan Sharmila diminta oleh Mark Adam untuk membantunya dalam minggu ketiga berkata, 

“Pada awalnya saya sangat gemuruh kerana saya bukan seorang pelawak tetapi saya beranikan diri untuk mencuba sesuatu yang baru. Sejujurnya, berlakon di set dan berlawak di atas pentas berhadapan dengan ratusan penonton di studio merupakan sesuatu yang amat berbeza.  
Apabila Mark dinobatkan sebagai juara pada minggu ini, saya juga dapat menumpang gembira dan bangga dengan kemenangan ini,” kataya.



Bintang Bersama Bintang 2018 merupakan medan peperangan lawak era baharu dinamakan Arena Bintang Bersama Bintang yang dibarisi oleh nama-nama besar seperti Abam, Ajak, Issey, Mark Adam, Achey dan Shuk. 

Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap Ahad bermula 14 Januari 2018 pada pukul 10.00 malam, para peserta Bintang Bersama Bintang 2018 dibenarkan membawa seorang selebriti jemputan untuk mengambil bahagian dalam sketsa mereka.

Minggu lalu Arena Bintang Bersama Bintang membawakan beberapa nama besar dalam industri seni negara sebagai pasangan kepada para peserta. Artis undangan pada minggu ini adalah Sabri Yunus, Wan Sharmila, Aiman Tino, Vicha, Sharif Zero dan Ropie. manakala juri jemputan pada adalah heroin drama Titian Cinta yang diminati ramai, Farah Nabilah.




Membuka gelanggang minggu ketiga, Shuk merantau ke Asia Selatan membawa irama Bollywood ke Arena Bintang Bersama Bintang. Menemani Shuk di pentas adalah Sharif Zero yang tidak kurang hebatnya dalam memberikan ‘punchline’ tanpa henti mengisahkan kehidupan adik dan abangnya yang telah lama terpisah.

Persembahan kedua pada malam semalam, Ajak dan artis undangannya Vicha. Diterbangkan dari Indonesia, membawa sketsa yang amat kelakar dengan kisah pembantu rumah yang berasal dari Malaysia tetapi menjadi pembantu rumah di Indonesia. Pelik dan menghiburkan, itulah yang dapat digambarkan tatkala menonton persembahan memukau mereka.

Masih dengan konsep lagu-lagu lama, Abam mencuba nasib untuk memenangi hadiah mingguan Arena Bintang Bersama Bintang dengan kehadiran pelawak Ropie bersamanya di atas pentas. Kisah si abang yang menguruskan perkahwinan adiknya namun sentiasa timbul masalah demi masalah. Mereka berjaya menghiburkan penonton dengan lawak-lawak yang tidak kering gusi.

Tentu ramai yang masih ingat keletah Wan Ismail Golok dalam siri klasik TV3, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang menjadi tontonan seluruh rakyat Malaysia sekitar tahun 90an hingga 2004. Kini Sabri Yunus kembali dengan watak kelakarnya bertemu dengan Bijjan Jenaka Kampung Kalut (JKK) yang dibawa oleh Issey. 



Pemenang bagi episod dua yang lalu, Achey mengambil langkah berani dengan menjemput penyanyi kegemaran ramai, Aiman Tino sebagai pasangannya pada minggu ini. Mereka mempersembahkan sketsa mengenai dua beradik yang minat menyanyi namun hanya adik-adiknya yang berjaya menembusi pasaran seni Malaysia.

Tiada penyingkiran dilakukan pada setiap minggu namun pemenang mingguan mendapat hadiah wang tunai berjumlah RM 10,000. Manakala, pada peringkat akhir iaitu Super Bintang Bersama Bintang, pemenang keseluruhan bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 100,000.

Sistem pemarkahan Bintang Bersama Bintang 2018 dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 70% daripada panel juri dan 30% daripada undian atas talian. Untuk mengundi dan ketahui info lebih lanjut mengenai Bintang Bersama Bintang 2018, para penonton boleh ke laman sesawang www.xtra.com.my/BBB2018. Undian atas talian hanya dibuka pada hari bersiaran bermula jam 6.00 petang. Portal xtra (www.xtra.com.my) menampilkan berita hiburan dan kandungan sensasi dari seluruh negara selain siaran LIVE TV secara percuma yang dikuasakan oleh tonton.

Para penonton Bintang Bersama Bintang 2018 boleh mengikuti perkembangan para peserta Bintang Bersama Bintang 2018 melalui Komik Bintang Bersama Bintang (BBB) pada setiap Ahad jam 6.00 petang di TV3. Komik BBB memaparkan aktiviti harian para peserta di samping persediaan mereka untuk mempersembahkan sketsa mingguan. Para penonton boleh memeriahkan media sosial dengan #BBB2018.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan